Adik terlelap, wanita OKU di Mentakab dilaporkan hilang sejak Ahad


  • 112
  • Rabu, 25 Dis 2024

Siti Zaharah dilaporkan hilang oleh adiknya yang berusia 41 tahun pada hari kejadian.

POLIS memohon kerjasama orang ramai bagi mengesan seorang wanita orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang dari kediamannya di Jalan Karak-Mentakab, Pahang, sejak Ahad.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, wanita tersebut, Siti Zaharah Mohd Anuar, 47, dilaporkan hilang oleh adiknya yang berusia 41 tahun pada hari kejadian.

Menurutnya, dia menyedari tentang kehilangan wanita itu kira-kira pukul 7 pagi.

BACA LAGI: [VIDEO] Melawan hukum alam berniaga Nasi Lemak Kangkung RM2 'portion' menimbun, Zila pernah kena 'sapu' PBT tapi kini sudah miliki kedai sendiri

BACA LAGI: 'Peribadi rendah diri Sultan Ibrahim buat kami tenang', pemilik generasi ke-3 restoran asam pedas Lee besar hati kerabat diraja jadi pelanggan setia

"Pada hari kejadian, kira-kira pukul 6 pagi semasa pengadu bangun dari tidur, (dia) mendapati kakaknya masih berada di dalam bilik.

"Selepas itu pengadu terlelap sebentar dan apabila sedar kira-kira 7 pagi, pengadu mendapati kakaknya tiada di rumah.

"Pengadu bersama suami dan adiknya yang lain telah keluar mencari di kawasan sekitar seperti taman-taman berhampiran, bandar Mentakab sehingga ke bandar Temerloh namun tidak ditemui sebelum membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatan kakaknya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mazlan memaklumkan, Siti Zaharah kali terakhir dilihat memakai baju berwarna biru, berseluar hitam dan tudung warna merah hati.

Jelasnya, ciri-ciri fizikal wanita tersebut juga memiliki ketinggian kira-kira 150 sentimeter dengan berat 60 kilogram serta berkulit hitam manis.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang wanita berkenaan diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di 09- 2716222," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram