BEKAS anggota tentera Indonesia ditemui mati dalam keadaan terikat di sebuah perigi lama di ladang kelapa sawit, Dusun III Bulu Telang, Desa Aek Tapa, Kecamatan Merbau, Indonesia pada Sabtu lepas selepas dilaporkan hilang selama 14 hari.
Mangsa, Andreas Sianipar dipercayai telah diculik dan didera oleh seorang anggota tentera, Serka Holmes Sitompul bersama beberapa individu lain sebelum video penemuan mayat mangsa mula tular di media sosial sejak Selasa.
Pada awalnya, mangsa dilaporkan diambil secara paksa oleh Serka di Jalan Medan-Binjai KM 10, Kecamatan Sunggal pada awal pagi 8 Disember lepas.
Andreas kemudian dibawa ke kediaman Serka di asrama tentera Abdul Hamid.
Di lokasi tersebut, mangsa didera di hadapan rumah sebelum penderaan berlanjutan ke kandang lembu yang berada di belakang asrama.
Pada 11 Disember, anak mangsa membuat laporan kehilangan bapanya kepada pihak polis.
Selepas siasatan, mayat Andreas ditemui di dalam perigi lama dengan kaki dan tangan diikat menggunakan tali telekom.
Ketua Polis Medan, Pesuruhjaya Gidion Arif Setyawan berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat dijerat di leher sehingga sesak nafas.
"Hidung mangsa juga ditutup sebelum mayat dibuang ke dalam perigi.
"Hasil bedah siasat menunjukkan kecederaan serius seperti lebam di belakang, mulut, kesan tali di leher, selain pendarahan di kepala akibat terkena objek tumpul," katanya.
Pihak polis kini berjaya menahan tiga suspek atas kejadian itu yang mengaku terlibat dalam penculikan dan pembunuhan tersebut untuk siasatan lanjut.
Difahamkan, motif kejadian itu dilakukan adalah berkaitan masalah penyelewengan kereta yang pernah terjadi antara mereka.
Seorang lagi suspek masih diburu oleh pihak berkuasa.
Kes ini sedang disiasat bersama oleh pihak polis bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram