AKTIVIS mendakwa kucing betina yang ditemui mati di Universiti Malaya (UM) dalam keadaan menyayat hati baru-baru ini dibunuh dengan menggunakan senjata tajam.
Aktivis haiwan, Shima Aris berkata, dia meminta doktor pakar veterinar dari sebuah klinik veterinar swasta di Kuala Lumpur menjalankan pemeriksaan terhadap bangkai haiwan tersebut secara lebih terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kematian kucing yang diberi nama Lily.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ujian imbasan sinar-X ke atas Lily mendapati haiwan berkenaan jelas bukan mati kerana dibunuh anjing.
BACA LAGI: Tiada laporan polis dibuat, kucing mati di UM dipercayai diserang haiwan liar — Polis Brickfields
BACA LAGI: Polis bantuan TNB maut, kereta bertembung 4X4 terlibat kemalangan dengan 9 ekor lembu
"Berdasarkan laporan perubatan, boleh dikatakan bahagian tubuh badannya (Lily) seperti kita tengok dalam gambar, dipotong dengan menggunakan senjata yang tajam.
"Agak mustahil kalau kita mengatakan anjing yang melakukan perbuatan itu," katanya menerusi video sidang media yang dikongsikan di TikTok @mystrayrescue, pada Isnin.
Shima menambah, dia dimaklumkan terdapat sejumlah kes pembunuhan kucing yang tidak didedahkan di kampus itu dalam beberapa bulan lalu, dengan bangkai haiwan berkenaan ditanam di kawasan tersebut.
Untuk rekod, Lily ditemui mati dalam keadaan mengerikan apabila empat kakinya seperti dipotong dan perutnya juga terbelah.
Selain Lily, dua kucing lain turut ditemui mati di universiti itu dalam keadaan sama sebelum ini.
Lily ditemukan mati dalam keadaan menyayat hati dipercayai dibunuh individu tidak dikenali di sekitar kawasan UM.
Meskipun polis memaklumkan kematian haiwan itu dipercayai akibat serangan sekumpulan anjing liar, para aktivis menegaskan bahawa mereka tidak bersetuju dengan laporan tersebut.
Sementara itu, peguam Rajesh Nagarajan daripada Lawyers for Animal Rights pada Isnin berkata, beliau percaya terdapat seorang psikopat yang berkeliaran di kawasan kampus UM dan membunuh kucing-kucing tersebut dengan kejam.
Tegasnya, doktor veterinar swasta yang memeriksa bangkai kucing berkenaan menyatakan dalam laporan perubatan bahawa anggota badan haiwan tersebut dipotong dengan senjata tajam.
“Bagaimana polis boleh membuat kesimpulan kucing-kucing tersebut dibunuh anjing liar?
"Adakah bedah siasat dilakukan ke atas bangkai oleh DVS (Jabatan Perkhidmatan Veterinar)?
“Cara (badan) kucing-kucing itu dicerai-ceraikan menunjukkan ia bukan akibat diserang anjing. Kami mempunyai imbasan sinar-X dan laporan perubatan.
"Kami mendesak polis untuk menyiasat semula kes ini dan buktikan kami salah. Jika ini adalah kerja seorang psikopat, kita (juga) bimbang tentang keselamatan pelajar dan kakitangan UM," ujarnya.
Beberapa pelajar memulakan petisyen bagi mendesak tindakan undang-undang lebih tegas terhadap pelaku kekejaman haiwan. — KittyCorps
Dalam pada itu, pakar dermatologi, Dr Kartini Farah Rahim menegaskan, luka dialami kucing-kucing yang mati itu tidak seperti serangan anjing.
“Apabila anjing menyerang, mereka biasanya menyerang bahagian leher atau abdomen.
“Namun dalam kes ini, pemotongan anggota badan kucing di bahagian sendi adalah potongan yang bersih dan tiada tanda-tanda luka tusukan atau koyakan,” katanya yang juga seorang aktivis hak haiwan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram