Sokong kenyataan PM Anwar larang siasat Fahmi Reza, cadangan moratorium Shahredzan wajar lindungi karya satira dan parodi


  • Primer
  • Sabtu, 21 Dis 2024

Syahredzan (kanan) mencadangkan agar moratorium siasatan terhadap karya-karya satira dan parodi perlu dilaksanakan.

AHLI Parlimen Bangi, Syahredzan Johan sekali lagi menegaskan bahawa cadangannya mengenai pelaksanaan moratorium ke atas apa-apa siasatan dan pendakwaan di bawah Seksyen 233(1) Akta 588 berkait karya satira dan parodi adalah wajar dilakukan.

Mengulas lanjut, Syahredzan pada masa sama menyokong kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak bersetuju sekiranya aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza ditangkap atau didakwa.

Anwar pada Sabtu menyatakan bahawa beliau tidak percaya setiap kritikan terhadap kerajaan perlu disiasat jika ia tidak keterlaluan hingga menyentuh aspek raja, agama dan kaum (3R).

BACA LAGI: Tiada istilah menganggur, guru di Temerloh rasai manisnya jana pendapatan cecah RM1,000 sehari lukis potret

BACA LAGI: Kartel punca utama kos sara hidup meningkat di Malaysia

GfI84RgbQAA-Ufu

Fahmi Reza sebelum ini disiasat polis berhubung karikaturnya yang mengkritik pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah. — X

Menurutnya, setiap individu atau aktivis mempunyai hak untuk memberi kritikan terhadap kerajaan termasuk Perdana Menteri.

Beliau bagaimanapun berkata, ia boleh diambil tindakan sekiranya menyentuh sensitiviti 3R atau membabitkan bidang kuasa Majlis Raja-Raja.

Susulan itu, Syahredzan berkata, moratorium yang dicadangkan adalah untuk melindungi karya-karya satira dan parodi yang mewakili rakyat Malaysia.

"Saya mengatakan bahawa apabila Parlimen sudah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2024 terhadap Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, kita dah jelas bahawa untuk elemen palsu itu karya satira dan parodi tidak terangkum dalam elemen tersebut.

"Tetapi, akta itu belum lagi dikuat kuasa kerana perlu melalui proses mendapat kelulusan daripada Dewan Rakyat awal minggu ini.

"Disebabkan itu, saya kata perlu ada satu moratorium, maknanya jangan ada tindakan bagi karya-karya satira dan parodi buat masa ini sehinggalah akta itu berkuat kuasa dan kemudian sudah tentu perlindungan akan diberikan kepada karya-karya seperti ini," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Katanya, ia juga selari dengan kehendak Anwar yang tidak bersetuju dengan siasatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa terhadap Fahmi sebelum ini.

Terdahulu, polis mengambil tindakan untuk merakam keterangan Fahmi terhadap siasatan karikatur serta kenyataannya yang berbaur memperlekeh pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Tindakan itu dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Rabu lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram