SETELAH mengharungi satu musim mengecewakan, Negeri Sembilan FC boleh dikatakan sedang dalam usaha untuk bangkit menjadi pencabar bagi saingan akan datang.
Perubahan terhadap struktur pengurusan merupakan langkah awal diambil pasukan itu dengan Faliq Firdaus hadir menggantikan Satwant Singh sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab.
Ia diikuti kejayaan pasukan menyelesaikan isu tunggakan gaji dialami musim lalu yang pastinya akan menjadi titik perubahan untuk mereka menarik lebih ramai pemain.
Namun, sehingga kini, skuad Jang masih berdiam diri sejak jendela perpindahan dengan hanya beberapa nama sudah meninggalkan mereka secara rasmi.
Malah, lebih merisaukan lagi, pasukan di tangga kesembilan Liga Super 2023 tersebut masih belum memiliki pengendali selepas jurulatih terdahulu, K Devan sah tidak akan lagi bersama mereka.
K Devan tidak akan lagi mengendalikan skuad Jang musim depan. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Situasi itu pasti menggusarkan penyokong yang mahu mengetahui sekiranya Negeri Sembilan FC masih serius untuk bersaing di tahap tertinggi musim depan.
Bagaimanapun, berdasarkan khabar angin, pihak pengurusan dilaporkan sudah memiliki perancangan sendiri mengenai pemain yang bakal dibawa masuk.
Hal terbabit dikongsikan pengguna Facebook Fazrul Ayoi yang mengatakan 10 nama baharu akan menyertai skuad Jang dengan empat daripadanya merupakan bintang import.
Aliyu Abubakar dari Nigeria dan Takumi Sasaki dari Jepun merupakan dua nama yang tidak pernah beraksi dalam Liga Super, namun menjadi sebutan ramai kerana kehadiran mereka digembar-gemburkan media tempatan.
Selain itu, dua import lagi, iaitu penyerang sayap muda, Hein Htet Aung dan pemain tengah PDRM FC, Jacque Faye dikatakan berada dalam radar Negeri Sembilan FC.
BACA LAGI: Lepas harungi musim sukar di NSFC, Sean mahukan sesuatu dari Fandi, Sri Pahang
Htet Aung (kanan) difahamkan akan sekali lagi dipinjamkan ke skuad Jang dari Selangor FC. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Kehadiran kedua-dua pemain itu boleh dikatakan cukup sesuai buat pasukan berkenaan yang tidak mempunyai bajet besar jika hendak dibandingkan dengan pencabar Liga Super yang lain.
Di samping itu, beberapa nama turut dipetik penyokong itu untuk menyertai skuad Jang dengan empat daripada mereka kini masih bersama skuad Sang Saka Biru.
Norfiqrie Talib, Aqil Razak, Dzulfahmi Abdul Hadi dan Alifh Aiman merupakan antara yang disebut selepas masing-masing menjadi watak penting ketika pasukan berkenaan menjuarai MFL Challenge Cup musim lalu.
Sekiranya mereka sah menyertai Negeri Sembilan FC, ia akan meningkatkan pilihan buat skuad Jang untuk saingan akan datang, sekali gus membuka peluang memperbaiki kedudukan.
Dua pemain lain yang dikatakan bakal menjadikan skuad Jang destinasi mereka musim depan ialah 'ubi muda' Selangor FC, Azrin Afiq serta seorang pemain berprofil tinggi.
Ia turut diakui CEO Negeri Sembilan FC yang mengatakan pasukan itu akan membuat marquee signing pada jendela perpindahan kali ini, namun enggan mendedahkannya.
Bagaimanapun, kesemua nama-nama dipetik itu hanya tekaan penyokong dengan bajet pasukan serta kesesuaian taktikal pasukan memainkan peranan lebih penting. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram