'Fans' TRW pelik Norizam tandatangan, singkir pemain sebelum ada ketua jurulatih


  • Podium
  • Isnin, 19 Dis 2022

Seramai 15 pemain disingkirkan TRW untuk memberi laluan kepada kemasukan pemain baharu.

PENYOKONG Kelantan FC bagaikan bermain dengan teka-teki tidak berpenghujung berkenaan perancangan musim depan kelab tersebut biarpun pemiliknya, Norizam Tukiman sudah mula buka mulut berkenaan hal itu.

Usahawan dari Johor tersebut memecah kebuntuan penyokong dengan memberi pengesahan bahawa pihaknya sudah menandatangani tiga pemain tempatan dan satu pemain import buat The Red Warrior (TRW).

Pengumuman menerusi media sosial itu disusuli dengan khabar tiga lagi pemain tempatan akan menandatangani kerjasama bersama TRW pada musim depan.

Tidak lama kemudian, timbul pula senarai 12 orang pemain tempatan yang didakwa tidak berada dalam perancangan naib juara Liga Perdana 2022 itu untuk musim 2023.

Rezal 'turun pangkat' dari ketua jurulatih TRW kepada penolong jurulatih kerana tidak memiliki lesen kejurulatihan Pro A.

Antaranya pemain yang tersenarai ialah penjaga gol (Solehin Mamat, Asfa Abidin, Amin Faisal Saidi), barisan tengah (Jasmir Mehat, Shyamierul Razmee, Azrie Basalie, Syed Sobri, Dzulfahmi Abdul Hadi, Shahrul Igwan), jentera pertahanan (Danial Hadri, Osman Mohamad Yusoff) dan seorang penyerang iaitu Alifh Aiman.

Jika dicampur dengan penyingkiran tiga pemain import iaitu Nixon Gulyherme, Kenta Hara dan Felipe Herda, skuad TRW menggugurkan seramai 15 pemain musim ini.

Senarai itu dikuatkan lagi dengan muat naik Jasmir yang mengucapkan selamat tinggal kepada pasukan dari Pantai Timur berkenaan dengan nada seperti dia teraniaya dengan cara dia digugurkan.

Melihat kepada situasi berkenaan, penyokong TRW, Abe Aziz meluahkan rasa pelik dengan proses pemilihan pemain yang dilakukan pengurusan TRW memandangkan pasukan itu masih lagi tidak memiliki ketua jurulatih.

Menurut muat naik Norizam, pihaknya telah melantik semula ketua jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery sebagai penolong jurulatih musim depan, namun masih lagi dalam proses akhir menandatangani ketua jurulatih bagi saingan 2023.

"Sepatutnya perlu cari jurulatih dahulu baru boleh tandatangan pemain. Pemilihan dan penilaian pemain atas jurulatih. Pemain mana dia nak ambil, pemain mana dia nak serap.

Tangkap layar muat naik Jasmir pada Ahad dengan hashtag 'doa orang teranaya sentiasa terjawab'.

"Jurulatih akan lihat sekiranya gaya pemain itu sesuai dengan taktikal dia. Nanti kalau sampai separuh musim asyik kalah, jurulatih juga dipersalahkan,

"Sepatutnya tak payah coach. Biar owner sendiri jadi coach sebab sekarang pun dah ambil tugas jurulatih. Pelik-pelik sahaja" katanya.

Perkara itu dipersetujui Zainul Amri yang merasakan perkara itu perlu diubah Norizam supaya pasukan itu tidak perlu melakukan kesilapan sebelum liga bermula.

"Ni antara benda perlu diubah. Boszam cakap pemain dipilih oleh barisan kejurulatihan. Tapi bagaimana dia buat keputusan tanpa jurulatih utama?" soalnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram