SEDIKIT demi sedikit pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman memberi petunjuk mengenai usahanya dalam membuat persiapan terbaik buat skuad The Red Warriors (TRW) menjelang musim 2023.
Meskipun ada penyokong dahulunya mempersoalkan mengenai gerak kerja pihak pengurusan yang disifatkan agak lambat bertindak dalam mempersiapkan pasukan berikutan banyak kelab Liga Malaysia (Liga M) lain mulai memperkenalkan pemain baharu mereka.
Namun kini, penyokongnya mulai tersenyum semula apabila pemilik Kelantan itu membuat pendekatan dengan berkongsi di media sosialnya mengenai perkembangan terbaharu pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur itu.
Terbaharu, usahawan berkenaan mengumumkan bahawa dia berjaya mengenal pasti ketua jurulatih baharu buat TRW namun enggan mendedahkan identiti jurulatih tersebut sehingga masa sesuai.
Dalam perkongsiannya lain juga mengumumkan bekas pemain kebangsaan, Rezal Zambery Yahya sebagai pembantu jurulatih yang baharu bagi musim 2023.
"Coach Rezal (Zambery Yahya) sah jadi penolong ketua jurulatih pada tahun depan. Ketua jurulatih pula dalam proses terakhir.
"Surat tawaran tiga pemain baharu TRW dah ditandatangani. Seorang penyerang, seorang pertahanan dan seorang penjaga gol.
"Insya-ALLAH, ada tiga lagi pemain lokal yang akan tandatangan bersama TRW. Satu pemain import sudah tandatangan juga pada minggu lalu," katanya menerusi laman Facebook.
Terdapat beberapa pemain dari senarai bocor itu merupakan pemain utama skuad TRW.
Kegembiraan tersebut tidak bertahan lama apabila kecoh dalam kalangan penyokong mengenai senarai bocor pemain Kelantan yang bakal digugurkan pada musim depan.
Lebih mengejutkan apabila senarai tersebut mengandungi seramai 12 orang pemain tempatan yang didakwa tidak berada dalam perancangan naib juara Liga Perdana 2022 itu pada musim 2023.
Antaranya pemain yang tersenarai ialah penjaga gol (Solehin Mamat, Asfa Abidin, Amin Faisal Saidi), barisan tengah (Jasmir Mehat, Shyamierul Razmee, Azrie Basalie, Syed Sobri, Dzulfahmi Abdul Hadi, Shahrul Igwan), jentera pertahanan (Danial Hadri, Osman Mohamad Yusoff) dan seorang penyerang iaitu Alifh Aiman.
Jika dicampur dengan penyingkiran tiga pemain import iaitu Nixon Gulyherme, Kenta Hara dan Felipe Herda, skuad TRW menggugurkan seramai 15 pemain musim ini.
Bagaimanapun, jika dilihat dalam senarai pemain yang ditunjukkan jalan keluar oleh pihak pengurusan itu, hanya enam pemain sahaja yang merekodkan sebanyak enam sehingga 14 penampilan pada musim ini.
Syed Sobri mulai menyarung jersi skuad TRW pada musim 2021. — Facebook/TRW
Antaranya ialah Jasmir, Syed Sobri (14 penampilan), Danial Hadri (13 penampilan), Dzulfahmi (sembilan penampilan), Shahrul Igwan (lapan penampilan) dan penyerang muda, Alifh Aiman yang tampil sebanyak enam kali.
Difahamkan, antara sebab para pemain ini tidak berada dalam senarai pemain Kelantan pada musim depan kerana masalah prestasi yang kurang memuaskan, sikap dalam padang dan isu kecederaan.
Seperti tonggak tengah TRW, Jasmir yang mempunyai rekod disiplin kurang baik ketika perlawanan menentang Johor Darul Takzim (JDT) dalam perlawanan pusingan suku akhir Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu pada November lalu.
Terdapat penyokong mulai berasakan isu pemain berusia 28 tahun mengasari pemain skuad Harimau Selatan merupakan sebab Jasmir disingkirkan, meskipun menyumbangkan dua gol pada musim ini.
Jasmir sewaktu perlawanan menentang JDT. — Facebook/TRW
Berbeza pula dengan Syed Sobri, ada pihak mulai membuat spekulasi bahawa faktor kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang pernah menimpanya dikhuatiri punca dia tidak tersenarai bersama skuad TRW.
Walaupun senarai bocor yang mengandungi nama pemain itu boleh menjadi benar, ia tidak bermakna perjalanan karier mereka sebagai bintang bola sepak akan tamat begitu sahaja.
Hal ini kerana, kelab Liga Malaysia (Liga M) lain seperti Kedah Darul Aman (KDA) FC, Perak FC, Sri Pahang FC, Terengganu FC (TFC) dan Penang FC wajar menyambar bakat-bakat pemain TRW itu.
Pasukan seperti TFC, KDA FC dan skuad Harimau Kumbang yang baru sahaja melepaskan lebih sedozen pemainnya boleh mencuba untuk meninjau para pemain Kelantan tersebut untuk diisi dalam senarai pasukan pada musim depan.
Langkah drastik yang dibuat oleh ketiga-tiga pasukan berkenaan dilihat agar menggusarkan penyokong dan mulai mempersoalkan siapa pemain yang bakal menyarung jersi kelab kegemaran mereka.
Walaupun pasukan tersebut tidak meletakkan tonggak skuad TRW itu dalam senarai pemain utama, namun dengan pengalaman mereka, adalah berbaloi jika mereka beraksi bersama skuad simpanan musim 2023.
Azam Azih dikatakan akan bertukar angin baharu pada musim depan. — Facebook/Sri Pahang
Bagi pasukan Sri Pahang pula, khabar angin mengenai perpindahan jeneral tengah, Nor Azam Azih mulai berlegar dan didakwa pemain berusia 27 tahun itu berada dalam radar beberapa kelab Liga M.
Meskipun tiada perkembangan terbaharu mengenai khabar angin itu, skuad Tok Gajah boleh bersiap sedia mencari atau menambah arkitek tengah baharu bagi memperkukuh pasukan Pahang.
Dalam senarai tersebut pelbagai pemain yang bleh dipertimbangkan dan ada di antara mereka memberikan persembahan cukup konsisten seperti Jasmir, Syed Sobri dan Dzulfahmi.
Alifh Aiman sebelum ini beraksi untuk TRW Kelantan FC B. — Facebook/TRW
Perak FC juga dilihat antara kelab yang sesuai untuk menggunakan khidmat pemain itu terutamanya bintang muda berikutan skuad tersebut sedang agresif dalam membawa masuk beberapa ubi muda.
Penyerang skuad TRW yang berusia 23 tahun, Alifh Aiman antara pemain muda yang dilihat boleh disambar skuad The Bos Gaurus dan sekali gus membantu mengeluarkan lagi potensi dirinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram