Tiada istilah menganggur, guru di Temerloh rasai manisnya jana pendapatan cecah RM1,000 sehari lukis potret


  • Massa
  • Jumaat, 20 Dis 2024

Abdul Raoof menganggap seni sebagai bidang yang berpotensi buat penggiatnya menjana pendapatan.

BDANG seni boleh ditafsirkan satu ruang yang menggabungkan kreativiti, ekspresi diri, dan inovasi dalam pelbagai bentuk.

Dari seni visual seperti lukisan, ukiran, seni grafik, sehingga seni persembahan seperti muzik, tarian, dan teater.

Bidang itu juga memberi peluang kepada individu untuk menyampaikan idea, perasaan serta pandangan mereka dengan bebas.

BACA LAGI: ‘Hamburg jadi Hamburger’, petugas DBP kongsi asam garam ajar bahasa Melayu pada warga asing

BACA LAGI: 'Sekurang-kurangnya kena ada bakat', pelajar perlu lepas 'audition' untuk belajar muzik di UiTM

6276191355973779788

Setiap lukisan mempunyai maksud dan kisah tersirat.

Wakil Persatuan Senilukis dan Senireka Pahang (SENIKA), Abdul Raoof Ali, 47, turut beranggapan bahawa seni bukan hanya sekadar karya atau produk akhir, tetapi ia juga melibatkan proses, penghayatan, pengembangan keupayaan mental serta emosi.

Abdul Raoof yang juga merupakan guru di Sekolah Menengah Kampung Awah, Temerloh, Pahang berkata, tugasnya itu bukan hanya sebagai pendidik, malah turut menjadi seorang penggiat seni aktif khususnya lukisan dan seni visual.

Bercerita serba sedikit tentang jejak awal Abdul Raoof di dalam bidang itu, katanya, minatnya terhadap seni bermula sejak kecil.

"Ia mula sebelum saya bersekolah lagi dan selepas saya bertemu seorang lelaki tua yang pandai melukis potret.

"Daripada situ, saya tergerak hati untuk belajar melukis tanpa sebarang bantuan guru di sekolah," katanya kepada Majoriti.

6276191355973779790

Abdul Raoof juga terlibat aktif dalam bengkel-bengkel seni di sekitar Pahang.

Namun, ia tidak menjadi penghalang buatnya untuk terus berlatih sehingga dapat memberi ilmu tersebut kepada masyarakat.

Abdul Raoof juga memanjatkan rasa syukurnya kerana kini berada dalam komuniti seni yangbukan sahaja memberinya inspirasi dan menjadi tempatnya belajar dan mengembangkan potensinya.

Sebagai seorang guru seni, dia tidak menafikan bahawa pelbagai cabaran yang dihadapinya sepanjang mengajar para pelajarnya.

"Cabaran utama yang saya hadapi adalah bagaimana untuk mengajar seni dengan berkesan kepada pelajar-pelajar yang memiliki latar belakang dan minat berbeza.

"Sementara itu, saya pun dijemput untuk beri bengkel-bengkel seni. Jadi, daripada awal pun cabaran yang pertama adalah kemampuan kita untuk mengajar sebenarnya.

"Macam baru-baru ini pun saya pergi beberapa sekolah. Ada yang Tingkatan Lima pun tahap melukis macam budak-budak baru umur tiga hingga empat tahun," jelasnya.

Katanya, perkara itu berlaku disebabkan ada yang dipaksa untuk mengambil subjek seni di sekolah.

6276191355973779789

Abdul Raoof (kiri) bukan sahaja memberi ilmu, tetapi menjadikan seni sebagai elemen penting dalam hidupnya.

Ia juga bercanggah dengan kemampuan para pelajar secara tidak langsung memberi tekanan kepada mereka.

Bagaimanapun, Abdul Raoof menegaskan bahawa sebagai tenaga pengajar khusus dalam bidang seni perlu mempersiapkan diri dengan ilmu yang cukup untuk mengajar subjek tersebut.

Seni boleh jana pendapatan

Bila bercakap tentang seni, pastinya akan menjadi satu kebimbangan sekiranya ia tidak dapat dijadikan sebagai kerjaya tetap.

Namun, Abdul Raoof berkata bahawa seni bukan hanya sekadar subjek akademik, tetapi ia adalah satu medium yang boleh memberi peluang kerjaya yang baik.

"Saya sendiri sering meluangkan masa melukis karikatur dan potret di luar waktu sekolah.

"Dalam beberapa jam, saya mampu jana pendapatan lebih tinggi daripada gaji pekerja profesional.

"Misalnya, dengan melukis karikatur sahaja, saya boleh dapat lebih daripada RM500 dalam sehari.

"Lukisan potret pula lebih menguntungkan dan boleh mencapai pendapatan sehingga RM1,000 sehari," katanya.

Baginya, seni juga adalah satu kerjaya yang berpotensi besar jika digali dengan usaha dan minat mendalam.

"Tiada istilah 'menganggur' bagi mereka yang berbakat dalam seni.

"Yang penting adalah usaha dan kemahiran mereka," jelasnya.

Abdul Raoof pada masa sama mencadangkan agar setiap pelajar terutama di ekolah menengah tanpa mengira latar belakang akademik diberi peluang untuk mengambil subjek seni. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram