'Kita tak pilih bulu', Maszlee komited buka pintu kepada Fahmi Reza apabila kembali ke Putrajaya


  • Politik
  • Ahad, 13 Nov 2022

Maszlee meluahkan rasa kecewanya terhadap isu pihak universiti menghalang program ‘kelas demokrasi’ yang dianjurkan oleh Fahmi Reza.

BEKAS Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik meluahkan rasa kecewanya terhadap tindakan pihak universiti menghalang program ‘kelas demokrasi’ yang dianjurkan oleh pereka grafik dan aktivis, Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin.

Dalam satu rakaman video, calon Pakatan Harapan bagi Parlimen Simpang Renggam itu berkata, program yang dianjurkan Fahmi Reza itu wajar diadakan di universiti awam kerana ia bertujuan memberi kesedaran mengenai demokrasi negara.

Tambahnya, Fahmi Reza tidak berpihak kepada mana-mana parti politik dan program berkenaan hanyalah sebagai pendidikan yang neutral.

“Saya amat kecewa membaca berita bagaimana Fahmi Reza yang menganjurkan kelas demokrasi telah dihalau dari satu universiti ke satu universiti.

“Walhal dia bukanlah seorang yang mewakili mana-mana parti politik dan bersikap begitu kritikal terhadap parti-parti politik. Dia juga jujur di dalam usaha mendidik masyarakat dengan kesedaran terhadap politik dan demokrasi. Ini yang kita perlukan," katanya.

Menurut Maszlee, sejak Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 diluluskan pada 2018, pihak universiti tidak sepatutnya menghalang untuk para siswa terlibat dalam isu politik.

Bekas pensyarah itu menegaskan bahawa menghalang majlis ilmu seperti itu hanya merencatkan pemikiran siswa dan merendahkan tahap intelektual mereka.

“Saya pelik kerana pada pindahan AUKU 2018, kita telah membenarkan segala aktiviti politik untuk berlaku dalam kampus dan untuk para pelajar, siswa yang sudah matang, sudah besar terlibat dengan politik. Apa yang saudara Fahmi bawa adalah pendidikan politik yang neutral. Bebas parti,” jelasnya.

Oleh itu, Maszlee bertekad bersama Pakatan Harapan (PH), blok pembangkang itu akan menyokong dan membuka peluang seluas-luasnya untuk penganjuran program pendidikan kepada Fahmi Reza serta orang lain.

“Kita tidak pilih bulu. Kita tahu Fahmi juga kritikal terhadap Pakatan Harapan tetapi kita terima kerana itu merupakan hak dia sebagai seorang warga.

“Kita hargai komitemen beliau untuk mendidik rakyat dengan pendidikan demokrasi. Jadi komitmen kita, kita akan buka seluas-luasnya pintu untuk beliau selepas kita kembali ke Kementerian Pendidikan Malaysia,” akhirinya.

Screenshot 2022-11-13 at 11.24.47 AM

Tangkap layar akaun Twitter Mohd Fahmi mengenai programnya yang dijadualkan berlangsung di salah sebuah kafe di USM.

Terdahulu, Universiti Sains Malaysia (USM) tidak membenarkan aktivis itu menganjur sebarang program dalam kawasan kampus.

Akur dengan arahan pihak universiti berkenaan, Fahmi Reza meneruskan program tersebut di restoran mamak yang terletak tidak jauh dari kampus universiti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram