Pengalaman berkhidmat di Melbourne cetus inspirasi tubuh kafe konsep artisan di Damansara


  • Bizz
  • Rabu, 18 Dis 2024

Flint Cafe and Roastery menawarkan suasana yang nyaman dan menenangkan. — Instagram/flint.kl

NIKMATI secangkir kopi artisan yang sempurna di Flint Cafe and Roastery, dengan atmosfera tenang dan santai bersama teman-teman membantu mengembalikan keceriaan hari anda.

Elemen artisan diterapkan pada kafe yang terletak di pusat beli-belah, The Curve, Damansara, Selangor itu menyuntik suasana nyaman dan menenangkan.

Konsep rekaan dalaman yang moden dan minimalis menjadikan Flint Cafe and Roastery, antara kafe dikunjungi khususnya dalam kalangan pencinta kopi.

BACA LAGI: [VIDEO] The Make bikin ramai 'confuse', bekas penyelia kilang bawa kafe dialek Kelantan ke Sabak Bernam

BACA LAGI: Gabung piza dan kopi 'culture', 4 usahawan muda ada rahsia pilih doh NY, sasar buka 108 cawangan Mokk

Dibuka sejak Mei tahun lalu, pemilik kafe artisan tersebut, Azri Ahmad Jamaludin, 39, berkata, kafe itu menggabungkan cita rasa kopi, menu dan suasana berbeza buat pengunjung.

Jelasnya, Flint Cafe and Roastery menggunakan konsep terbuka untuk proses penyediaan kopi artisan ideal dijadikan hidangan pagi sehingga petang.

Akuinya, pengalaman menyediakan kafe berkonsepkan artisan berkenaan bermula ketika dia bekerja di salah sebuah syarikat pembinaan di Melbourne, Australia kira-kira 14 tahun lalu.

Sambal nasi lemak

Bicaranya di bumi Kanggaru itu, budaya artisan sangat dihargai dan setiap menu baik kopi mahupun manisan dihasilkan dengan penuh teliti agar memberikan cita rasa terbaik untuk pelanggan.

Justeru, mengambil kira keistimewaan budaya itu, maka Azri cuba menerapkan suasana sama di Flint Cafe and Roastery, apabila setiap menu dihasilkan menggunakan teknik buatan sendiri.

Snapinsta.app_442508543_433748912945216_8504499965177216362_n_1080

Setiap minuman dihasilkan menggunakan olahan menu sendiri. — Instagram/flint.kl

Padanya, kopi bukan sekadar minuman, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada gaya hidup masyarakat.

“Terdapat aneka pilihan kopi artisan di Flint Cafe and Roastery seperti espresso, latte, cappucino dan americano yang dibancuh menggunakan biji kopi berkualiti bagi memberikan aroma.

“Bertambah istimewa kami turut menyajikan dua pilihan moktel berasaskan kopi. Setiap minuman dihasilkan menggunakan olahan menu sendiri. Begitu juga dengan menu makanan,” jelasnya.

Selain kopi, tarikan kafe itu juga terletak pada resipi sambal nasi lemak.

Menerusi siri nasi lemak, Heritage by Balut, empat variasi sambal dihidangkan bermula daripada tahap pedas, sederhana dan manis.

Snapinsta.app_469128190_17949116747903366_7442525054553305997_n_1080

Konsep memasak sambal nasi lemak turut menerapkan elemen artisan. — Instagram/flint.kl

Sambal nasi lemak ditawarkan adalah daripada pilihan sambal Kelantan (manis), sambal biasa, sambal arwah (sangat pedas) dan sambal Terengganu dengan sedikit isi ikan di dalamnya.

Konsep memasak sambal itu turut menerapkan elemen artisan apabila proses memasak mengambil masa hingga 12 jam menggunakan api kecil.

“Sambal memainkan peranan untuk membangkitkan aroma dan rasa nasi lemak dihidangkan. Jadi, penting untuk memastikan sambal disediakan memenuhi cita rasa pelanggan, selain rasa dan teksturnya konsisten,” ujarnya.

Kesungguhan dalam menyediakan menu berasaskan buatan sendiri tidak ketinggalan diselitkan pada hidangan berasaskan daging lembu di bahagian dada (brisket).

Brisket Noodle Bowl isi daging lembu dimasak lembut dan berjus antara menu harus dicuba.

Snapinsta.app_442411023_433752252944882_161323126842232335_n_1080

Flint Cafe and Roastery beroperasi di pusat beli-belah, The Curve, Damansara. — Instagram/flint.kl

Santai

Mi yang digunakan juga dihasilkan sendiri di dapur Flint Cafe and Roastery bagi memastikan sajian dihidangkan mengekalkan sentuhan artisan dan kesegaran.

“Boleh dikatakan, kesemua menu Barat dan tempatan dihasilkan sendiri di dapur kafe. Saya mahu pastikan konsep artisan dapat diterjemahkan pada hidangan,” jelasnya.

Dalam pada itu, menu lain menanti para pengunjung adalah seperti Flint’s Morning Feast, wafel dan salad seperti salad kerabu ikan siakap untuk sarapan pagi. Ini termasuklah hidangan berasaskan pasta dan burger.

Kepada anda yang tidak meminati kopi, usah bimbang kerana minuman berasaskan buah-buahan juga ditawarkan dan pelanggan boleh membeli serbuk kopi artisan di kafe tersebut.

Flint Cafe and Roastery juga sesuai dijadikan lokasi untuk menganjurkan pelbagai majlis kerana keluasannya mampu memuatkan maksimum 100 tetamu pada satu-satu masa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram