IMPIAN seorang tukang emas dan usahawan, Lai Chern Mun untuk membuka sebuah muzium emas akhirnya direalisasikam selepas berjaya memperkenalkan muzium tersebut awal tahun ini.
Chern Mun, yang mewarisi kemahiran menghasilkan barang kemas emas daripada bapanya berkata, dia mula jatuh cinta dengan industri emas sejak kecil selepas terlibat dalam perniagaan keluarga.
“Saya mula membantu perniagaan pembuatan emas milik bapa ketika kecil, dengan gaji hanya RM180 sebulan.
"Apabila memasuki usia 20-an, saya mula menyimpan impian untuk membuka kedai barang kemas dan sebuah muzium emas suatu hari nanti,” katanya.
Menurut Chern Mun yang juga Pengasas dan Pengarah Kedai Emas Ros Merah Sdn Bhd, emas bukan sahaja bernilai sebagai barang kemas, tetapi juga memainkan peranan penting dalam ekonomi global.
Ujarnya, ia merupakan satu bentuk pelaburan yang baik dan berfungsi sebagai lindung nilai berkesan terhadap inflasi.
"Saya mahu mendidik masyarakat tentang kepentingan emas dalam pelbagai aspek kehidupan,” tuturnya.
Impian Chern Mun menjadi nyata dengan penubuhan sebuah muzium emas.
Lelaki ini mengambil langkah berani meninggalkan perniagaan keluarga dan membuka kedai barang kemas sendiri kira-kira lapan tahun lalu.
Operasinya kemudian berkembang ke sebuah bangunan baharu di Pandan Industrial Park, Johor Bahru, Johor pada 2022.
Di tingkat atas bangunan itu, impiannya menjadi nyata dengan penubuhan sebuah muzium emas, yang dibuka kepada orang ramai awal tahun ini.
“Saya ingin muzium ini menjadi komponen bukan berasaskan keuntungan. Orang ramai boleh melawat muzium ini secara percuma tanpa sebarang kewajipan untuk membeli barang,” ceritanya teruja.
Ungkap Chern Mun lagi, muzium tersebut memerlukan masa setahun untuk disiapkan, termasuk penyelidikan dan pembinaan pameran seperti gua perlombongan emas serta bilik kebal yang menunjukkan kaedah penyimpanan emas.
Selain itu, muzium berkenaan turut mempamerkan penggunaan emas dalam industri elektronik dan penerbangan.
“Kami juga memaparkan kadar tukaran mata wang terkini dan harga emas pada skrin televisyen di muzium,” tambahnya.
Bagi mengimbau nostalgia, pengunjung boleh melihat resit asli pembelian barang kemas emas yang bertarikh beberapa dekad lalu dan menyaksikan demonstrasi menghasilkan barang kemas secara langsung.
Satu-satunya muzium emas aktif
Chern Mun percaya bahawa muzium emas miliknya adalah satu-satunya yang aktif di Malaysia.
“Dulu ada sebuah muzium emas di Pulau Pinang, tetapi saya difahamkan ia telah ditutup beberapa tahun lalu,” katanya.
Muzium itu telah menarik kunjungan pelbagai kumpulan universiti dan pelajar sekolah yang menyertai lawatan berpandu.
“Selepas setiap lawatan, kami menggalakkan pengunjung untuk menderma kepada badan amal,” katanya.
Sebagai tambahan, usahawan itu merancang untuk menganjurkan seminar pada Disember ini untuk membincangkan topik berkaitan emas, termasuk bagaimana konflik global memberi kesan kepada harga logam berharga tersebut. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram