'Tauke tak malu lap meja makan', bekas kontraktor terokai sektor F&B lepas hampir 3 dekad dalam dunia pembinaan


  • Bizz
  • Jumaat, 13 Dis 2024

Norfaizal (lima dari kiri) kini menerokai dunia F&B selepas hampir tiga dekad mengabdikan diri dalam bidang pembinaan.

DAHULU sibuk dengan rutin harian sebagai kontraktor, kini Norfaizal Sairi, 50, memilih untuk menerokai dunia makanan dan minuman (F&B), satu perubahan besar selepas hampir tiga dekad mengabdikan diri dalam bidang pembinaan.

Lelaki berasal dari Tanjung Karang, Kuala Selangor itu mengambil keputusan untuk meninggalkan kerjaya lama bagi mencari hala tuju baharu yang lebih santai dan seiring dengan minatnya.

Norfaizal mula mengoperasikan D' Pakman Station di Putra Heights sejak Ogos 2023, namun dia mengakui perjalanan sebagai usahawan baharu ini tidak semudah yang disangka.

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

BACA LAGI: Gabung piza dan kopi 'culture', 4 usahawan muda ada rahsia pilih doh NY, sasar buka 108 cawangan Mokk

“Selepas hampir 30 tahun dalam bidang pembinaan, saya rasa sudah tiba masanya untuk ‘berehat’ daripada tekanan industri itu dan mencuba sesuatu yang baharu.

"Bidang F&B ini memang sesuatu yang saya minati terutamanya menyediakan hidangan ala barat, tetapi realitinya penuh dengan cabaran tersendiri,” katanya kepada Majoriti.

6256013389163773443

Norfaizal sentiasa memastikan kebajikan pelanggan dijaga bagi memberi keselesaan kepada mereka.

Rumah ditenggelami banjir

Meskipun diuji dengan pelbagai dugaan, dia yang mesra disapa Pakman tetap berdiri teguh, menjadikan pengalaman pahit sebagai batu loncatan untuk mencipta masa depan yang lebih baik.

"Masih ingat tak banjir (yang melanda) Kampung Bukit Lanchong, Subang Jaya pada 2021 dulu. Saya dan isteri salah seorang mangsa," ungkapnya.

Banjir yang melanda kawasan tersebut bukan sahaja memusnahkan kediaman bernilai hampir RM800,000, tetapi juga memaksanya mengeluarkan simpanan untuk membaik pulih rumah.

Musibah itu memaksa bapa kepada tujuh cahaya mata ini menggunakan kesemua simpanan peribadi, selain terpaksa membuat pinjaman untuk membaik pulih kediamannya yang tenggelam sehingga ke paras bumbung.

Biarpun perit katanya, ujian tersebut sama sekali tidak mematahkan semangat ahli perniagaan ini.

Selepas peristiwa itu, Norfaizal nekad untuk bangkit semula dengan membuka kedai makanan atas ajakan seorang kenalan.

"Kami berpakat untuk keluarkan modal RM50,000 setiap seorang, namun selepas pembinaan siap 60 peratus, dia (rakan) terpaksa tarik diri kerana tidak dapat memenuhi komitmen yang dijanjikan.

"Mahu tak mahu, terpaksalah saya pinjam modal tambahan daripada emak kira-kira RM60,000 untuk menyiapkan proses keseluruhan pembinaan kedai.

"Dengan itu, saya dapat siapkan kedai dan susun semua peralatan. Saya buat semuanya sendiri sebab pengalaman sebagai kontraktor memudahkan saya menguruskan bahan dan kos," jelasnya.

2

Lampu yang dipasang di pekarangan kedai berhasil menarik lebih ramai pelanggan.

Lampu di pokok

Konsep makanan barat dipilih ekoran dirinya yang meminati masakan itu, selain kemudahan penyediaannya yang agak mudah, bergantung pada kuah dan sos.

Bermula dengan usaha kecil-kecilan untuk menarik perhatian pelanggan, anak ketiga daripada 10 beradik itu berjaya mengubah keadaan perniagaannya dengan strategi kreatif dalam pencahayaan dan hiasan luaran kedai.

Menurutnya, pada bulan-bulan awal perniagaan, premisnya agak kurang dikenali. Justeru bagi meningkatkan daya tarikan, dia memulakan langkah mencipta suasana menarik dengan memasang lampu di pekarangan kedai dan pokok-pokok, bermula Disember tahun lalu.

"Idea ini mula berkembang selepas saya pasang lampu berwarna merah dan biru di pagar kedai.

"Ternyata, langkah tersebut berhasil menarik lebih ramai pelanggan, terutamanya mereka yang melihat dari jauh," ujarnya yang turut menawarkan hidangan masakan panas.

WhatsApp Image 2024-12-12 at 21.04.25

Strategi kreatif dalam pencahayaan dan hiasan luaran kedai berjaya mengembangkan perniagaannya.

Bercerita lanjut, tutur Norfaizal, pengorbanan besar dari segi masa beristirahat perlu dilakukan demi memastikan bisnes beroperasi dengan lancar dan pelanggan menerima hidangan berkualiti.

Dengan rutin harian yang padat, pemilik perniagaan itu mengakui hanya dapat berehat selepas waktu Subuh, itupun dalam tempoh yang singkat.

"Setiap hari selepas kedai tutup sekitar pukul 1, saya sendiri pergi beli barang masak untuk memastikan kualiti terjaga, sampai rumah lebih kurang pukul 4 atau 5 pagi.

“Lepas Subuh baru boleh tidur, tapi kadang-kadang empat hingga lima jam saja,” tambahnya yang turut dibantu isteri dan anak perempuan.

6256013389163773440

Norfaizal (lima dari kiri) bergambar bersama kakitangannya di hadapan restoran D'Pakman Station.

Tauke lap meja

Enggan selesa dengan status sebagai pemilik kedai makan, Norfaizal berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk membantu kakitangannya melancarkan operasi harian.

Ia termasuk menolong dari segi membersihkan kawasan kedai dan mengelap meja makan usai pelanggan beredar.

"Adakalanya jika saya nampak meja kotor atau masih belum sempat dibersihkan, saya akan pergi lap sendiri.

"Saya tak kisah kalau orang cakap apalah tauke pun lap meja. Buat apa nak malu, ini kedai kita.

"Sebagai usahawan, kita kena berani dan yakin dengan rezeki," katanya yang memiliki seramai 18 kakitangan di premis tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram