BERMULA dengan hanya RM500 sebagai modal awal, Mohd Fadhli Mohd Fadzil, 29, memanfaatkan setiap peluang yang hadir untuk merealisasikan impian membuka kafe di bawah jenamanya sendiri.
Menjadikan minat dan dedikasi sebagai kunci kejayaannya, usahawan berasal dari Bachok, Kelantan itu kini aktif mengendalikan kafe The Make yang beroperasi di daerah Sabak Bernam, Selangor.
Mohd Fadhli yang dahulunya bertugas sebagai penyelia di sebuah kilang di Batu Pahat, Johor, menamatkan perkhidmatan pada 2020 dan berpindah ke Sabak Bernam.
Seperti kebanyakan ahli perniagaan lain, inspirasi utama untuk dirinya menjalankan bisnes itu muncul ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Perjalanan Mohd Fadhli dan pasangan, Norshuhada Abdul Shukur, 29, bagaimanapun bermula dengan pembuatan dan jualan biskut secara kecil-kecilan.
"Berlatarbelakangkan pengajian dalam bidang teknologi makanan, kami memasang impian untuk buka kafe sendiri.
“Kami bermula dari bawah, tanpa bantuan kewangan daripada mana-mana agensi kerajaan atau swasta.
"Modal semuanya daripada simpanan dan usaha sendiri. Pada awalnya, kami hanya fokus pada penyediaan wafel, kemudian berkembang kepada roti, kek dan aneka menu lain,” katanya kepada Majoriti.
Mohd Fadhli memiliki latar belakang pengajian dalam bidang teknologi makanan.
Memperkenalkan jenama The Make, Mohd Fadhli menjelaskan, nama itu dipilih berikutan dirinya yang berasal dari Kelantan.
Akuinya, Make yang membawa maksud makan dalam dialek Kelantan adakalanya mendatangkan kekeliruan dalam kalangan pelanggan.
"Nama itu sendiri menimbulkan persoalan tentang cara sebutan. Ada yang menyebutnya sebagai make (bahasa Inggeris), ada juga yang menyebutnya dengan betul.
"Namun itulah keunikan yang kami cuba bawakan di Sabak Bernam," tuturnya sambil tertawa.
Mohd Fadhli (kiri) dan isteri (kedua dari kiri) bermula dengan pembuatan dan jualan biskut secara kecil-kecilan.
Kecilkan operasi
Seperti mana-mana perniagaan, pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makanan dari Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) ini turut tidak terlepas daripada berdepan masalah kewangan.
Meskipun The Make berkembang hingga mampu memiliki empat cawangan, kini selepas empat tahun Mohd Fadhli membuat keputusan untuk mengecilkan operasi kepada dua cawangan sahaja bagi mengurus kos operasi dengan lebih berkesan.
“Saya melihat situasi ini dari sudut positif, mengurangkan cawangan bukan penurunan, tetapi satu langkah strategik untuk memantapkan perniagaan.
"Selain itu, kami juga akan menggabungkan operasi kilang dan kafe di satu lokasi untuk memperkukuhkan kedudukan perniagaan, di samping masih meneruskan kerjasama dengan pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk,” katanya optimis.
Berkongsi antara detik mencabar sepanjang mengendalikan bisnes, lelaki berasal dari Bachok, Kelantan itu mengakui, perjalanannya diselangi momen pahit dan manis.
"Ada masanya terasa sukar, tetapi saya percaya saingan dalam perniagaan adalah peluang untuk kita tampil dengan keunikan tersendiri,” jelasnya yang turut mempromosikan perniagaannya menerusi laman Instagram the_makeofficial.
Antara aneka pastri yang ditawarkan di kafe The Make Sabak Bernam.
Bagi memastikan perniagaan terus relevan, pasangan suami isteri itu tidak berhenti menambah ilmu.
Ditambah dengan minat yang mendalam terhadap pembikinan pastri memudahkan proses pembelajaran.
“Kami sertai kelas secara dalam talian untuk belajar membuat roti, kek dan minuman,” jelasnya yang merancang untuk memasarkan produknya di stesen minyak.
Bercerita tentang perancangan masa depan, ujar bapa kepada seorang cahaya mata itu, mereka menyimpan hasrat untuk menjadi pembekal roti dan kek di sekitar Sabak Bernam menjelang tahun depan.
Dengan sokongan isteri yang menguruskan bahagian produksi dan seramai sembilan kakitangan, usahawan ini yakin mampu mengembangkan lagi jenama kafenya.
“Kejayaan ini adalah hasil doa ibu bapa, sokongan isteri dan semangat untuk tidak berputus asa.
"Selagi boleh berjuang, saya akan terus mengayuh demi perniagaan ini,” kata penuh tekad.
Menutup sesi temu bual, Mohd Fadhli mengingatkan usahawan lain untuk tidak takut mencuba dan mengubah diri mengikut arus semasa.
"Dunia tidak akan berubah untuk kita, tapi kita yang perlu berubah mengikut dunia. Itu rahsia untuk terus kekal dalam perniagaan,” katanya sambil tersenyum. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram