'Saya hanya peniaga kecil', bekas juruukur bahan tetap merendah diri walaupun sudah cipta nama di Eropah


  • Bizz
  • Sabtu, 14 Dis 2024

Wei Chun bukan sahaja terkenal sebagai pemaju hartanah tetapi juga dermawan yang aktif menyokong badan amal.

WALAUPUN menikmati kejayaan besar sebagai pemaju hartanah, Datuk Seri Dr Eng Wei Chun sentiasa mengambil pendekatan untuk merendah diri dengan menyifatkan dirinya sebagai hanya seorang peniaga kecil.

Sebagai pengasas bersama dan pengarah urusan Orando Holdings Sdn Bhd, Wei Chun telah menerima pelbagai anugerah di peringkat Malaysia dan Eropah atas kecemerlangan pemasaran dan perniagaan.

Antara projek pembangunan hartanah beliau yang berjaya ialah Villa Crystal dan Lavile Kuala Lumpur, yang turut mendapat pengiktirafan dalam industri.

BACA LAGI: Dari kecil jarang masuk dapur, bekas juruukur bahan kini miliki 'central kitchen' sendiri bekalkan kek sekitar Lembah Klang

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

Berusia 51 tahun, Wei Chun bukan sahaja terkenal sebagai pemaju hartanah tetapi juga seorang dermawan yang aktif menyokong badan amal serta pelbagai inisiatif kebajikan.

“Saya bukan berasal dari keluarga kaya, jadi saya tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang pemaju hartanah,” katanya.

2

Sky Vista Residensi merupakan antara projek yang berjaya disiapkan Orando Holdings.

Juruukur bahan

Selepas menamatkan pengajian pada usia 22 tahun, Wei Chun memulakan kerjayanya dalam sektor hartanah dan pembinaan sebagai juruukur bahan.

Ketika itu, ekonomi berada dalam keadaan baik sebelum krisis kewangan Asia muncul pada 1997.

Kerjayanya berkembang pesat dan pada usia 25 tahun, Wei Chun dilantik sebagai pengurus projek sebelum dinaikkan pangkat menjadi pengarah projek pada usia 27 tahun.

Namun, beliau menyimpan cita-cita besar untuk memulakan perniagaannya sendiri.

Pada 2000, ketika berusia 28 tahun, Wei Chun menubuhkan JBM Engineering Sdn Bhd, yang memberi tumpuan pada kerja-kerja berkaitan bekalan air.

Bermula dengan modal RM100,000, beliau dan pasukannya bergantung pada kepercayaan pembekal yang memberikan terma kredit yang baik.

Lima tahun kemudian, syarikatnya berjaya menjalin usaha sama dengan kumpulan pembinaan antarabangsa untuk projek bernilai RM150 juta.

Selepas menjual JBM Engineering, Wei Chun mengabdikan masa tiga tahun sebagai pengarah kumpulan sebelum memberi fokus sepenuhnya kepada pembangunan hartanah melalui Orando Holdings.

Di bawah kepimpinannya, Orando Holdings berjaya menyiapkan beberapa projek utama di Lembah Klang, termasuk Taman Yarl, Sri Angkasa Homes, Vistaria Residensi, Sky Vista Residensi, Vila Vista dan Villa Crystal, yang melibatkan hampir 900 unit kediaman.

3

Wei Chun (tengah) ketika menerima Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri bersempena Hari Wilayah Persekutuan 2023.

Pasaran kini lebih mencabar

Mengenai strategi pembangunan hartanah, Wei Chun menegaskan pentingnya pendekatan khusus berdasarkan lokasi dan kos pemerolehan tanah.

“Setiap projek saya anggap seperti anak sendiri, saya dan pasukan berusaha memberikan hasil terbaik dan nilai kepada pembeli,” katanya.

Namun, beliau tidak menafikan terdapat cabaran besar dalam industri akibat tekanan inflasi, kenaikan kos bahan binaan, kadar faedah yang tinggi dan persaingan sengit.

Jelasnya, pasaran kini jauh lebih sukar berbanding dahulu.

“Dulu, saya boleh menjual satu blok unit dalam masa dua hari. Sekarang, mengambil masa dua bulan pun sudah cukup baik,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan membangunkan hartanah yang memberikan nilai pelaburan jangka panjang kepada pembeli.

“Hartanah mesti praktikal dengan kos penyelenggaraan munasabah, supaya ia menjadi aset dan bukan liabiliti kepada pembeli,” tambahnya.

Melihat ke arah masa hadapan, Wei Chun berharap agar Malaysia akan menjadi destinasi yang lebih menarik untuk pelaburan asing dan domestik.

Beliau percaya dasar kerajaan yang mesra pelabur mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi lebih kukuh.

“Sebagai peniaga kecil, saya berharap kerajaan dapat memperkenalkan dasar yang menyokong pertumbuhan ekonomi dan menarik lebih ramai pelabur,” katanya.

Dengan pengalaman dan strategi unik yang diterapkan, Wei Chun terus meletakkan Orando Holdings di barisan hadapan dalam pembangunan hartanah, sambil kekal merendah diri di sebalik kejayaan besar yang diraih. — The Star/THOMAS HUONG

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram