MINAT mendalam terhadap bunga segar menginspirasikan Norfarahdilahzety Abdullah untuk membawa sentuhan istimewa ke dalam industri tumbuhan itu.
Sebagai pengasas Ferraflora, wanita berusia 34 tahun itu menjelaskan, biarpun secara formal jenama tersebut baru sahaja ditubuhkan pada 2023, kehadiran butik bunga miliknya berupaya mencipta penyelesaian kepada masalah aksesibiliti bunga segar di Malaysia.
"Saya amat meminati bunga tetapi di Malaysia, bunga segar sering dikaitkan dengan stigma mahal dan sukar diakses.
Ferraflora menyediakan bunga yang bukan sahaja unik dan cantik, malah mengikut trend terkini.
"Kalau nak beli bunga cantik-cantik, kita kena pergi ke tempat seperti pasar bunga yang kurang menyediakan persekitaran menyenangkan.
"Membeli bunga di pasar tradisional bukanlah pengalaman terapi seperti diinginkan ramai, terutamanya bagi golongan wanita yang sering menjadikan bunga sebagai elemen terapi atau hiasan rumah.
"Justeru penubuhan Ferraflora bertujuan mengubah tanggapan ini dengan menawarkan bunga segar yang unik, berkualiti dan mudah diperoleh," katanya kepada Majoriti.
Bercerita lanjut, bicara usahawan berasal dari Pontian, Johor itu lagi, tidak dinafikan kebanyakan pengguna menghadapi kekangan untuk mendapatkan bunga segar dalam kuantiti yang sedikit.
"Kebiasaannya jika di pasar, pengguna perlu membeli bunga secara pukal. Kita tidak boleh beli setangkai-setangkai. Contohnya, kalau nak beli ros merah atau ros kuning, kena beli satu bundle (ikatan)," jelasnya.
Melihat situasi itu, ujar Norfarahdilahzety, Ferraflora diwujudkan dengan misi menjadi penyelesai masalah buat pengguna akhir, terutama golongan wanita.
Selain itu, butik tersebut turut mempermudahkan pembelian pelanggan dengan menawarkan konsep single stalk.
"Pelanggan tidak lagi perlu membeli secara pukal, tetapi boleh memilih bunga mengikut kuantiti dan warna diinginkan.
"Butik kami menjual bunga yang sudah melalui proses pemilihan dan pembersihan rapi sebelum sampai ke tangan pelanggan.
"Ini menjadikan pembelian di sini lebih mesra bajet dan sesuai untuk keperluan peribadi," jelasnya sambil memberitahu konsep unik itu menjadikan Ferraflora bukan sekadar tempat membeli bunga, tetapi juga pengalaman terapi yang menyeronokkan.
Bunga yang dijual di Ferraflora sudah melalui proses pemilihan dan pembersihan rapi sebelum sampai ke tangan pelanggan.
Kejayaan sebenar
Bercerita tentang awal pembabitannya dalam perniagaan, ujar bekas pengurus operasi dalam industri pelancongan itu, pandemik Covid-19 yang melanda negara meninggalkan impak besar terhadap sektor tersebut.
Meskipun sempat kembali ke dalam kerjaya korporat selepas situasi mulai reda, Norfarahdilahzety mengakui, peranan sebagai ibu kepada dua bahaya mata mengubah perspektif dirinya terhadap makna sebenar kejayaan.
Bagi pemegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini, kejayaan tidak semestinya diukur melalui pencapaian besar dalam dunia korporat, tetapi juga dengan melakukan hal yang disukai dan membawa manfaat.
"Melakukan perkara yang anda cintai bukan hanya sekadar membelanjakan wang, tetapi juga sesuatu yang boleh menjana pendapatan. Itulah yang saya rasa melalui bisnes ini.
"Ferraflora adalah perniagaan yang dimiliki wanita dan saya mahu memberi inspirasi serta memperkasakan golongan wanita lain.
"Perniagaan ini turut menyokong peniaga kecil lain seperti pembuat kek tempatan dan perancang acara kecil-kecilan. Mereka boleh mendapatkan bunga daripada Ferraflora pada harga berpatutan," jelasnya.
Peranan sebagai ibu mengubah perspektif Norfarahdilahzety terhadap makna sebenar kejayaan.
Impian ibu pencinta bunga
Minat terhadap bunga segar katanya, telah berakar sejak kecil, hasil pengaruh arwah ibu yang begitu mencintai bunga, khususnya orkid.
"Orkid ialah bunga kegemaran ibu, tetapi harga yang agak mahal menyebabkan dia tidak mampu untuk membelinya ketika itu.
"ALLAH SWT lebih menyayangi ibu apabila dia dijemput Ilahi pada 2019, sebelum Ferraflora diwujudkan.
"Itu antara pemangkin yang mendorong saya melakukan sesuatu untuk memenuhi impian ibu, walaupun kini saya lakukan tanpa kehadirannya," tuturnya sebak.
Bagaimanapun Norfarahdilahzety akui, memori dan kecintaan ibunya terhadap bunga menjadi tunjang utama perniagaan tersebut.
Logo Ferraflora sendiri kongsinya, menampilkan simbol orkid sebagai penghormatan kepada ibunda tercinta.
"Jika ibu masih ada, pasti dia akan menjadi orang yang paling bangga dan gembira dengan apa yang saya lakukan.
"Saya harap usaha ini juga dapat merealisasikan impian ibu," kata anak keempat daripada lima beradik itu.
Pelanggan boleh memilih bunga mengikut kuantiti dan warna yang diinginkan.
Variasi menu bunga
Di butik bunga milik wanita mesra disapa Farah ini, pelanggan disajikan dengan konsep unik dan eksklusif.
Ujarnya, setiap minggu, premis tersebut akan menyediakan menu yang menampilkan variasi bunga, termasuk bunga tempatan yang dikurasi agar tampak istimewa.
“Kami cuba menyediakan bunga yang bukan sahaja unik dan cantik, malah mengikut trend pembelian terkini.
"Contohnya, walaupun bunga daisi kelihatan biasa, kami akan tawarkan beberapa jenis (daisi) untuk menambah nilai kepada pelanggan,” katanya yang menampilkan lebih 50 jenis bunga setiap minggu.
Ferraflora diwujudkan dengan misi menjadi penyelesai masalah untuk pengguna akhir, terutama golongan wanita.
Bufet bunga
Ferraflora turut memperkenalkan bufet bunga berkonsepkan pop-up atau troli bunga (flower cart) pertama di Malaysia, yang diinspirasikan dari Eropah.
Ceritanya lagi, konsep berkenaan menyerupai bufet makanan, tetapi dengan sentuhan kreatif yang mana para tetamu boleh memilih bunga mengikut cita rasa mereka sendiri.
Jelas Norfarahdilahzety, idea interaktif ini membolehkan tetamu menjadi sebahagian daripada proses gubahan bunga.
“Kami menyajikan bunga dengan cara yang sama seperti bufet makanan. Tetamu boleh memilih menu bunga yang disediakan dan seterusnya, bunga dipilih akan digubah secara langsung.
"Mereka tidak lagi hanya menerima hasil akhir yang digubah oleh penggubah, namun juga berpeluang menyumbang kepada hasil gubahan sendiri.
"Kami ingin menjadikan pengalaman membeli bunga sebagai terapi, bukan beban," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram