Usahawan Sabah kembangkan inovasi sisa organik jadi makanan haiwan kaya nutrien, baja mesra alam sehingga ke Taiwan dan Filipina Selatan


  • Bizz
  • Jumaat, 13 Dis 2024

Pendekatan inovatif Global Cerah melayakkan syarikat itu menjadi salah satu daripada lima pemenang kebangsaan dalam pertandingan Shell LiveWIRE Malaysia 2024.

USAHAWAN asal Sabah, Willie Ng berjaya mencipta inovasi yang mengubah sisa organik menjadi makanan haiwan kaya nutrien dan baja mesra alam.

Kepakarannya dalam pengurusan sumber membawa pada pelancaran projek unik yang menjanjikan manfaat besar kepada komuniti dan alam sekitar.

Perjalanan Willie bermula pada 2018 apabila dia bersama sekumpulan individu yang berkongsi visi sama menubuhkan Global Cerah.

BACA LAGI: [VIDEO] The Make bikin ramai 'confuse', bekas penyelia kilang bawa kafe dialek Kelantan ke Sabak Bernam

BACA LAGI: Gabung piza dan kopi 'culture', 4 usahawan muda ada rahsia pilih doh NY, sasar buka 108 cawangan Mokk

Dengan sokongan dana daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), pasukan tersebut menjalankan penyelidikan dan pembangunan intensif selama dua tahun untuk memperhalusi teknologi mereka.

Hasilnya pada 2021, Global Cerah melancarkan produk revolusioner yang menggunakan Proses Automasi Robotik (RPA) dan sensor suhu canggih untuk menukar sisa pertanian kepada sumber protein alternatif.

Teknologi itu turut melibatkan penggunaan larva lalat tentera hitam (black soldier fly) untuk mengubah sisa menjadi baja atau makanan haiwan.

Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan kos pengeluaran tetapi juga meningkatkan keselamatan makanan dan mempromosikan ekonomi agri-makanan kitaran.

Pengiktirafan Pertandingan Shell LiveWIRE Malaysia

Pendekatan inovatif Global Cerah melayakkan syarikat itu menjadi salah satu daripada lima pemenang kebangsaan dalam pertandingan Shell LiveWIRE Malaysia 2024, selepas dipilih daripada 180 peserta.

Pemenang lain termasuk Koperasi Opah Sri Aman Bhd dan 4x4 Quest Sdn Bhd dari Sarawak, serta Reclimate Sdn Bhd dan Synbiozymes Sdn Bhd dari Semenanjung Malaysia.

Setiap pemenang menerima dana permulaan sebanyak RM30,000 yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Dana tersebut diberikan selepas para peserta melalui program pemecut dan sesi pembentangan akhir yang mencabar.

Willie yang juga Pengarah Urusan Global Cerah menyatakan rasa syukur atas pengiktirafan dan sokongan yang diterima.

“Sokongan ini membuka jalan untuk kerjasama lebih erat dengan Shell. Kami ingin menunjukkan bagaimana kerjasama ini boleh memberi manfaat besar kepada komuniti tempatan, termasuk petani kecil serta menyumbang pada kelestarian alam sekitar,” katanya.

Dia turut menegaskan bahawa kejayaan itu hasil daripada kerjasama erat dengan Universiti Kaoyuan Taiwan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) selain sokongan daripada MOSTI dan Qhazanah Sabah.

W2

Willie yang juga Pengarah Urusan Global Cerah menyatakan rasa syukur atas pengiktirafan dan sokongan yang diterima. — Global Cerah

Ubah sisa jadi protein

Global Cerah, yang beroperasi di Papar, Sabah, menggunakan proses dehidrasi terkawal untuk memastikan nutrien dipelihara sambil mencegah pencemaran bakteria.

Proses berkenaan menghasilkan produk berkualiti tinggi yang lebih baik berbanding kaedah kompos tradisional yang memerlukan tenaga kerja intensif.

Jelas Willie, sebagai seorang akauntan secara profesional dan usahawan hijau kerana minat, dia mempelajari cara untuk mengoptimumkan sumber dengan berkesan.

“Kemahiran ini adalah penting bagi mana-mana syarikat baharu untuk terus berkembang,” ujarnya.

Kini, Global Cerah telah mengembangkan operasinya ke Taiwan dan Filipina Selatan bagi memanfaatkan sisa pertanian yang melimpah di kawasan tersebut.

Inovator Terbaik Global Shell

Selain dana, pemenang juga mendapat akses ke rangkaian global Shell LiveWIRE serta peluang bersaing dalam Anugerah Sepuluh Inovator Terbaik Global Shell.

Tambahan pula, Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) menganugerahkan RM20,000 kepada pemenang dari Sarawak bagi menggalakkan lebih banyak penyertaan dari wilayah tersebut.

Ewon dalam pada itu turut memuji semangat keusahawanan yang ditonjolkan para pemenang.

“Usahawan yang berjaya bukan sahaja membina perniagaan berimpak tinggi tetapi juga memberi inspirasi dan sokongan kepada orang lain.

"Kitaran bimbingan ini menggalakkan ekosistem yang berkembang pesat, mendorong inovasi, pertumbuhan ekonomi dan kemajuan masyarakat,” katanya.

Menurut Pengerusi Shell Malaysia, Siti Sulaiman, Program Shell LiveWIRE yang diperkenalkan di Sabah pada 2015, Sarawak (2016) dan Semenanjung Malaysia (2022) bertujuan menyokong usaha perniagaan lestari dengan menggalakkan keusahawanan tempatan, mewujudkan pekerjaan serta menangani cabaran sosioekonomi.

Katanya, program tersebut menjadi pemangkin perubahan sosial, membolehkan usahawan merealisasikan idea cemerlang mereka kepada usaha yang berimpak besar.

"Shell komited untuk memperkasakan usahawan tempatan demi menaikkan taraf komuniti dan mencipta pekerjaan yang bermakna menerusi inisiatif global mereka.

"Dengan visi dan usaha gigih, Global Cerah terus membuktikan bahawa inovasi dapat mengubah cabaran menjadi peluang untuk kemajuan masyarakat dan kelestarian alam sekitar," bicaranya. — The Star/SANDRA SOKIAL

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram