PERCATURAN penjenamaan semula dibuat oleh pemilik restoran stik dan udang galah premium, Kay’s Steak & Lobster kira-kira enam tahun lalu ternyata membuka peluang baharu buatnya.
Bagi Pengarah Urusan Restoran Kay’s Steak & Lobster, Mohd Aizuddin Mohd Khalid, 40, dirinya tidak menjangkakan perniagaan itu mampu berkembang kepada empat cawangan sejak diperkenalkan pada 2016.
Selain terkenal dalam kalangan penggemar di sekitar Putra Heights, dan Subang Jaya, Kay’s & Lobster juga mempunyai tiga lagi cawangan di sekitar Ampang yang dibuka pada 2021, Putrajaya, Kuala Lumpur (2022) dan Elmina, Shah Alam tahun ini.
BACA LAGI: [VIDEO] Pemergian bapa jadi titik pemula bekas auditor tawar servis 'live TikTok premium'
Berteraskan menu Barat premium dan konsep fine casual halal, jenama itu bakal membuka dua lagi cawangan di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), Bukit Kiara, Kuala Lumpur dan Johor Bahru, Johor menjelang 2025.
Mohd Aizuddin memberitahu, pengalaman hampir menutup operasi perniagaan ketika baru berjinak dalam dunia kulinari banyak mengajar dirinya untuk bijak merancang strategi dan berani mengambil risiko.
Mohd Aizuddin tidak menjangkakan perniagaan itu mampu berkembang kepada empat cawangan sejak diperkenalkan pada 2016.
Pengalaman
Dalam perniagaan industri makanan dan minuman, komitmen tinggi yang tinggi amat diperlukan selain rancangan perniagaan dan operasi perniagaan tersusun serta kumpulan sokongan kuat.
“Pada mulanya, saya fikir berniaga makanan cukup sekadar ada modal pusingan dan makanan enak dihidangkan kepada pelanggan.
“Ternyata percaturan saya silap. Berniaga juga perlu berdepan dengan cabaran kewangan dan paling utama adalah hubungan sesama manusia,” ujarnya.
Mohd Aizuddin memberitahu, ketika menjalankan perniagaan restoran pertama pada 2014, dia tidak mempunyai sebarang pengalaman.
Sebagai individu berlatarbelakangkan perbankan, dia juga tidak mempunyai inspirasi untuk memulakan perniagaan. Berulang-alik dari kediamannya di Putra Heights ke ibu kota membuatkan dirinya terasa bosan dengan kesesakan lalu lintas.
“Bermodalkan RM150,000 saya labur untuk membuka restoran yang menyajikan hidangan Barat.
“Cabaran bermula apabila perniagaan kurang mendapat sambutan sedangkan ketika itu tidak banyak restoran dibuka di kawasan ini,” ujarnya yang mengendalikan perniagaan bersama isteri, Nor Athiqah Amin Teo.
Sebagai Pengarah Pemasaran dan Operasi, Nor Athiqah, 37, juga memastikan operasi perniagaan sentiasa berjalan lancar.
Kata anak kelahiran Ampang, Selangor itu, tiga tahun pertama menguruskan perniagaan, pihaknya tidak memperoleh keuntungan. Keadaan tersebut, memaksanya tidak mengambil upah gaji.
Dia juga bekerja sebagai pemandu e-hailing sambilan untuk menambah baik, membeli peralatan dan selenggara gaji pekerja dengan baik.
Rusuk kambing dimasak sempurna untuk memuaskan selera pelanggan.
Aliran tunai
Setiap hari selepas Subuh, Mohd Aizuddin akan keluar bekerja sebagai pemandu e-hailing selama empat jam sebelum singgah ke pasar basah membeli barangan keperluan restoran.
Rutin itu berjalan selama beberapa tahun demi kelangsungan perniagaan kerana baginya, menjalankan dan mengekalkan operasi perniagaan restoran adalah tidak mudah.
“Saya bimbang jika aliran tunai tidak cukup. Pernah juga, lewat membayar gaji pekerja membuatkan mereka hampir berhenti beramai-ramai,” ujarnya sambil memberitahu bahawa Kays adalah singkatan daripada nama bapanya, Khalid.
Ketika Perintah Kawalan Pergerakan, usahawan itu nekad melaburkan wang simpanan untuk penjenamaan semula perniagaan.
“Penjenamaan semula merangkumi perubahan pada menu, dekorasi restoran dan harga.
“Selain itu, usaha pemasaran menggunakan media sosial dan iklan di enjin Google juga dipertingkatkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Udang galah yang dihidangkan kepada tetamu dibeli dari Kanada dan Amerika Syarikat.
Kay’s Steak & Lobster terkenal menerusi menu stik import dari Australia, Korea dan Argentina dan resipi Beef Wellington halal.
Udang galah dihidangkan kepada tetamu dibeli dari Kanada dan Amerika Syarikat serta dibawa masuk tiga minggu sekali secara segar.
Menu lain berasaskan ikan dan kambing turut diketengahkan mengikut konsep masakan Barat dan mewah.
Katanya, restoran dikendalikan itu juga menitikberatkan penerimaan sijil halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Jenama itu juga mahu menjadi pelopor restoran premium berkonsepkan halal bagi setiap cawangan.
Restoran berkenaan juga melantik 10 eksekutif halal bagi memastikan kepentingan konsep halal dipatuhi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram