[VIDEO] Pemergian bapa jadi titik pemula bekas auditor tawar servis 'live TikTok premium'


  • Bizz
  • Selasa, 26 Nov 2024

Siti Sarah mula menjalankan servis siaran langsung selepas mengenal pasti trend warga maya yang gemar berinteraksi berbanding memuat naik kandungan video semata-mata.

PEMERGIAN bapa tercinta sejak dua tahun lalu memberi tamparan besar buat kehidupan Siti Sarah Mohd Zaki sekeluarga.

Sebagai anak sulung dalam keluarga, wanita berusia 27 tahun itu sedar tanggungjawab untuk membantu ibu dan empat orang adik kini berada di bahunya.

Situasi itu menjadi titik perubahan besar dalam hidupnya, mendorong anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan ini meninggalkan kerjaya sebagai auditor di ibu kota pada 2022 untuk mengejar sesuatu yang lebih bermakna.

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

BACA LAGI: Gabung piza dan kopi 'culture', 4 usahawan muda ada rahsia pilih doh NY, sasar buka 108 cawangan Mokk

“Saya kehilangan ayah yang menderita penyakit kencing manis pada Ogos 2022. Ayah adalah tulang belakang keluarga kami.

"Pemergiannya menyebabkan kesihatan saya mula merosot, disebabkan kesedihan dan tekanan yang dialami.

"Malah saya berasakan apa yang saya buat ketika itu masih tidak cukup untuk membantu keluarga, termasuk menanggung adik yang masih bersekolah.

"Jadi saya ambil risiko berhenti kerja dan mula mencari peluang lain di samping cuba membina jenama saya sendiri,” katanya kepada Majoriti.

Beralih daripada kerjaya di sektor perbankan dan pengauditan, Siti Sarah akui bahawa pengalaman sebelumnya tidak banyak memberikan ruang untuk dia membina potensi diri sepenuhnya.

"Saya perlukan sesuatu yang bukan sahaja dapat membantu diri sendiri, tetapi juga keluarga,” bicaranya dengan tutur kata penuh sopan.

WhatsApp Image 2024-11-26 at 11.18.24

Siti Sarah bermula dengan membuat ulasan berbayar bagi jenama tertentu.

Terokai platform TikTok

Minat terhadap kamera dan penghasilan kandungan membawa wanita berkenaan menerokai aplikasi TikTok, yang muncul sebagai platform media sosial paling hangat digunakan di seluruh dunia ketika ini.

Dengan usaha memuat naik beberapa rakaman video di platform TikTok pada 2022, dia yang lebih dikenali dengan nama Sara Zaki berjaya mengumpul sehingga 20,000 pengikut, pada ketika itu.

Pencapaian itu menjadi pemangkin semangat untuk dirinya mendalami konsep jualan secara siaran langsung di aplikasi tersebut yang kini berperanan sebagai medium interaktif semakin diminati.

“Saya mula buat siaran langsung selepas mengenal pasti trend warga maya yang gemar berinteraksi berbanding memuat naik kandungan video semata-mata.

"Pada awalnya saya lebih kepada membuat video berbentuk live-host atau ulasan berbayar bagi sesetengah jenama seperti Nukilan Biruni dan beberapa lagi.

"Namun saya tertanya-tanya, macam mana nak buat siaran langsung yang lain daripada orang lain? Saya biasa tengok live yang cantik di YouTube dan Facebook, tapi di TikTok masa itu belum ada,” jelasnya.

WhatsApp Image 2024-11-25 at 14.14.08

Wanita ini sentiasa mencari peluang untuk membina jenamanya sendiri.

Berbekalkan pengalaman dalam bidang produksi, Siti Sarah bersama pasukanya mula melakukan kajian selama lebih setahun untuk menghasilkan konsep siaran langsung premium.

Menggunakan kamera berkualiti tinggi, pencahayaan yang sesuai ditambah latar belakang unik, lulusan daripada Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) ini cuba mencipta pengalaman berbeza buat penonton.

Namun pada awalnya, fokus utama Siti Sarah adalah lebih kepada memperkenalkan personal branding.

“Kami tak pernah berniat untuk buat servis siaran langsung premium ini, tapi apabila ramai yang bertanya hingga ada antara mereka yang sanggup bayar, saya dan pasukan mula mempertimbangkan idea tersebut,” katanya.

IMG_3689

Siti Sarah sudah mengendalikan lebih 70 klien sejak menawarkan servis tersebut pada Februari lalu.

Tak terbayang oleh usahawan ini, servis siaran langsung premium ditawarkan sejak Februari lalu kini mendapat sambutan luar biasa, terutamanya dalam kalangan usahawan fesyen yang mahu produk mereka tampil lebih jelas dan menarik semasa sesi siaran langsung.

"Dengan servis ini, warna dan tekstur pakaian dapat dilihat dengan lebih tepat sekali gus membantu menyelesaikan masalah pelanggan yang sering menerima produk tidak seperti dipamerkan,” tambah Siti Sarah yang sudah mengendalikan lebih 70 klien.

Untuk memulakan perniagaan tersebut, wanita yang berstatus bujang itu melaburkan pendapatan diperoleh hasil berkhidmat sebagai model jenama tertentu, ulasan berbayar dan juga live-host, selain duit simpanannya sendiri.

Bermain dengan alat optik canggih memerlukan Siti Sarah mengeluarkan modal sekitar RM50,000 hingga RM80,000 termasuk kos penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Saya bersyukur dengan sambutan yang memberangsangkan. Segala usaha yang saya dan pasukan lakukan, termasuk membawa peralatan berat ke lokasi luar akhirnya berbaloi,” katanya yang turut menerima tempahan daripada individu berpengaruh seperti Neelofa dan Khairul Aming.

Snapinsta.app_375309587_243879084818446_2488233421248079175_n_1080

Usahawan muda ini terus melakukan penambahbaikan untuk memastikan servis yang ditawarkan kekal relevan dan berkualiti.

Bercerita lanjut mengenai tawaran harga, graduan lulusan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) Kuala Lumpur itu memberitahu, servisnya bermula dengan harga RM12,000 hingga RM15,000 bagi pakej normal set-up.

Pakej tersebut ujarnya, merangkumi semua peralatan seperti kamera, lensa, tripod, pencahayaan, mikrofon dan kabel.

“Untuk pakej ini, peralatan yang digunakan akan menjadi hak milik klien. Saya masukkan kos peralatan dalam bajet keseluruhan supaya mereka dapat anggaran penuh sebelum membuat keputusan.

"Dengan cara ini, klien tidak perlu risau tentang tambahan kos tersembunyi,” jelasnya sambil menambah nilai jualan sebulan boleh mencecah anggaran RM80,000 hingga RM300,000, bergantung jumlah projek yang diuruskan.

Selain itu, Siti Sarah turut menawarkan perkhidmatan custom set-up bagi klien yang memerlukan lebih banyak kamera atau kelengkapan tertentu, dengan harga bergantung pada keperluan mereka.

Snapinsta.app_178505861_3558686820904075_3011796032558886885_n_1080

Siti Sarah bersama pasukanya membuat kajian selama lebih setahun untuk menghasilkan konsep siaran langsung premium.

Dikecam

Meskipun menawarkan servis berbeza, perjalanan Siti Sarah tidak semuanya indah.

Dia juga tidak terlepas daripada menerima kecaman hebat pada awal pembabitannya di TikTok, terutama selepas satu potongan video pod siar (podcast), disalah tafsir oleh penonton.

“Ramai salah faham tentang kenapa saya tidak mendedahkan jenis kelengkapan yang digunakan. Hakikatnya, kami menjual kepakaran bukan peralatan,” tegasnya.

Enggan kritikan mengganggu emosinya, usahawan itu kini terus melakukan penambahbaikan untuk memastikan servis yang ditawarkan kekal relevan dan berkualiti.

Baginya, perniagaan ini bukan sahaja menjadi sumber rezeki tetapi juga peluang membantu usahawan lain.

“Matlamat saya adalah untuk terus mencipta kelainan dan memberi inspirasi kepada orang lain. Saya mahu bantu mereka yang benar-benar berusaha tetapi masih belum berjaya,” ujarnya.

Pemergian bapa mungkin menjadi permulaan kepada perubahan hidup Siti Sarah, tetapi dedikasi dan keberaniannya menjadikan segala yang diimpikan kini satu kenyataan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram