[VIDEO] Pernah hampir diboikot gara-gara hapus shisha, anak jati Bangi tekad bangunkan kafe fusion Barat


  • Bizz
  • Jumaat, 29 Nov 2024

Muhammad Nazeem (tengah) kerap mengadakan kerjasama bersama mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT).

KAFE Tuah, sebuah jenama yang kini sinonim dengan masakan fusion Barat, bermula dari akar yang cukup unik.

Ditubuhkan pada 2014, ia bermula sebagai sebuah perniagaan berkonsepkan kafe shisha sebelum melakukan transformasi drastik kepada sektor makanan dan minuman (F&B) sepenuhnya.

Pengasas Kafe Tuah, Muhammad Nazeem Rahman, 35, yang ketika itu seorang mahasiswa dalam bidang bioteknologi di Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, memulakan perjalanan keusahawanannya pada 2013 dengan membuka gerai shisha di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Bangi, Selangor.

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

BACA LAGI: Gabung piza dan kopi 'culture', 4 usahawan muda ada rahsia pilih doh NY, sasar buka 108 cawangan Mokk

“Saya bermula dengan membuka gerai tepi jalan, menjual shisha ketika masih belajar pada usia 25 tahun. Kemudian pada 2014, saya berjaya membuka kafe pertama dan menamakannya sebagai Kafe Tuah.

"Ketika itu, kafe dengan konsep shisha sedang menjadi trend dan saya juga merupakan antara pelopor konsep ini di Bangi, ” katanya kepada Majoriti.

Berbekalkan modal awal sekitar RM60,000, usahawan tersebut memulakan operasi kafe dengan bantuan kakitangan dan kudratnya sendiri.

"Saya sendiri yang mengecat kedai, pasang lampu dan membuat perabot untuk menjimatkan kos. Menu awalnya juga sangat asas, seperti ayam goreng dengan nasi dan sos lada hitam yang dikenali sebagai Chicken Set berharga RM5 sahaja," ujarnya.

Meskipun pada awalnya, perniagaan itu mendapat sambutan hangat terutamanya dalam kalangan anak muda, situasi mula berubah sekitar 2017.

Fenomena rokok elektronik atau juga dikenali sebagai vape menyebabkan jualannya mulai merosot.

Selepas membuat pertimbangan, Muhammad Nazeem memutuskan untuk mengambil satu langkah yang memberi impak besar kepada perniagaannya, yakni menghentikan penjualan shisha.

Untitled design (47)

Kafe Tuah memperkenalkan perniagaan kafe yang berkonsepkan fusion barat.

“Saya tahu keputusan ini akan menjejaskan jualan kerana pelanggan utama kami adalah anak muda yang datang untuk (menghisap) shisha.

"Namun selepas munculnya vape keadaan mulai berubah dan ketika itu juga, saya melihat peluang dalam pasaran keluarga muda yang memiliki kuasa beli adalah lebih tinggi,” kongsi anak keempat daripada lima beradik itu lagi.

Transformasi itu jelasnya, dilakukan secara berperingkat. Shisha dipindahkan di meja luar kafe sebelum akhirnya dimansuhkan sepenuhnya.

Keputusan tersebut menimbulkan kemarahan dalam kalangan pelanggan lama, sehingga ada yang menyeru untuk memboikot kafe tersebut.

“Saya terima banyak kritikan di media sosial, malah ada pelanggan tetap yang terasa dikhianati.

"Namun, saya tetap yakin dengan hala tuju baharu ini. Memang ada kejatuhan (dari segi jualan) pada awalnya, tetapi Alhamdulillah kira-kira selepas setahun kami bangkit semula,” tambahnya.

WhatsApp Image 2024-11-28 at 19.23.07

Muhammad Nazeem yakin dengan keputusannya untuk menerokai dunia perniagaan.

Berhenti belajar

Tidak semua perjalanan ke arah kejayaan bermula dengan sokongan penuh daripada keluarga.

Itu pengalaman yang dilalui anak jati Bangi itu selepas mengambil keputusan besar dengan meninggalkan pengajian tahun akhir dalam bidang Bioteknologi untuk membuka perniagaan sendiri.

Berkongsi pengalaman itu, Muhammad Nazeem mengakui bahawa kedua-dua ibu bapanya pada awal tidak bersetuju dengan keputusan tersebut.

“Apabila saya cakap nak berhenti belajar, ibu bapa memang tak benarkan. Lagipun saya dah hampir tamatkan pengajian, tinggal setahun sahaja lagi.

"Namun sejujurnya, saya nampak potensi dalam perniagaan lebih daripada bidang pengajian saya.

"Tambahan pula, pada waktu itu saya dah mula berniaga kecil-kecilan di depan kedai dekat Seksyen 7, Bandar Baru Bangi dan sambutannya menggalakkan,” ungkapnya yang turut dibantu rakan-rakan dalam bidang kulinari bagi proses penyediaan menu.

WhatsApp Image 2024-11-28 at 14.43.32

Muhammad Nazeem ketika dipanggil sebagai penceramah untuk berkongsi tentang F&B bersama golongan muda asnaf.

Menurut anak keempat daripada lima beradik itu lagi, keputusan tersebut dibuat bukan sekadar ingin mencuba, tetapi kerana dia benar-benar yakin dengan jalan yang dipilih.

Namun menariknya, walaupun melarang, kedua-dua ibu bapanya tetap mengambil pendekatan berbeza selepas dia membuka perniagaan.

"Semasa 'zaman kejatuhan' iaitu selepas merombak konsep bisnes, saya perasan boleh dikatakan hampir setiap hari mereka lalu depan kedai tanpa maklumkan kepada saya, (mereka) tidak berhenti pun cuma nak pastikan keadaan saya baik sahaja.

"Dari situ saya sedar, walaupun tak menyatakan secara langsung, mereka sebenarnya khuatir akan masa depan anak mereka selepas saya putuskan untuk berhenti belajar.

“Selepas melihat kedai semakin mendapat sambutan, ibu bapa semakin kurang risau. Saya tahu mereka hanya mahu saya berjaya,” katanya menambah, visi perniagaannya adalah untuk menjadikan Kafe Tuah bukan sekadar tempat makan, tetapi sebagai institusi yang memberi kembali kepada masyarakat.

WhatsApp Image 2024-11-28 at 14.59.37

Muhammad Nazeem bersama kakitangannya pernah menjalankan infaq 'Misi Solat Jumaat' dengan mengedarkan makanan ke surau dan masjid sekitar Bangi pada setiap Jumaat.

Katering dan ruang acara

Setelah 10 tahun beroperasi, Kafe Tuah kini memiliki dua cawangan iaitu di Bandar Baru Bangi dan Eco Majestic, Semenyih, Selangor.

Menu di premis itu juga telah berevolusi dengan sajian popular seperti Spicy Beef Olio, Butter Chicken, dan Crispy Chicken Carbonara antara yang berjaya memenuhi selera pelanggan dari segenap lapisan masyarakat.

Cerita Muhammad Nazeem, sejak pembukaan cawangan di Eco Majestic pada 2021, Kafe Tuah menampilkan kelainan dengan turut menawarkan ruang acara dan perkhidmatan katering bagi acara tertentu.

“Ruang tingkat atas kafe kami di premis berkenaan digunakan sepenuhnya untuk acara persendirian.

"Perkhidmatan katering juga semakin mendapat sambutan dan ini membuka peluang untuk kami berkembang ke arah perkhidmatan F&B yang lebih menyeluruh,” katanya.

Untitled design (46)

Kafe Tuah turut menyediakan perkhidmatan katering untuk acara tertentu sejak 2021.

Ditanya tentang jualan bulanan kafe itu, bapa kepada seorang cahaya mata tersebut memberitahu, dalam tempoh sebulan, kafe ini menyasarkan jualan antara RM250,000 hingga RM300,000 untuk memastikan kelangsungan operasi kedua-dua cawangan.

“Saya sangat bersyukur atas perjalanan ini. Meskipun ada saat jatuh, usaha keras dan sokongan daripada keluarga serta rakan-rakan menjadikan Kafe Tuah semakin dikenali dari hari ke hari.

"Dalam tempoh lima tahun akan datang, misi saya adalah untuk menambah satu cawangan setiap tahun. Jadi, mungkin dalam tempoh itu saya boleh ada sekurang-kurangnya tiga cawangan baharu,” katanya optimis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram