MENURUT kepercayaan masyarakat Cina, batu jed antara permata berharga dikenali sebagai batu syurga.
Atas kepercayaan tersebut, batu itu juga menjadi aksesori kerana dipercayai memiliki daya penarik dan membawa tuah dalam hubungan serta kewangan.
Penggunaan batu jed juga dikatakan memiliki tenaga yang dapat membantu penyembuhan, membawa kestabilan, keharmonian emosi dan mengimbangi yin dan yang.
BACA LAGI: Bermula dari aksesori rambut, Antah 'hantar' tekstil asli Sabah ke persada global
Sejak lebih 7,000 tahun, batu jed digunakan oleh masyarakat Afrika Selatan, Mesir dan Asia sebagai alat mengurut dan meditasi.
Dari segi saintifik, jed adalah gabungan dua mineral berbeza iaitu nefrit yang mengandungi kalsium, magnesium dan silikat manakala jadeit daripada natrium, aluminium dan silikat.
Kajian Pusat Perubatan Universiti Columbia mendedahkan, kandungan ion negatif dalam batu jed memberi kesan sebanyak 50 peratus membantu memulihkan tenaga dan meningkatkan emosi positif.
Penggunaan batu rona hijau itu turut membantu meningkatkan keyakinan dan motivasi diri, kerehatan dan merangsang tidur berkualiti.
Penggunaan batu rona hijau itu turut membantu meningkatkan keyakinan dan motivasi diri.
Inframerah
“Dari segi kandungan, komposisi batu ini tinggi dengan zat besi, magnesium dan kalsium untuk memberi efek kehangatan inframerah yang membantu melancarkan peredaran darah.
“Batu jed dikatakan mampu memproses tenaga inframerah meresap sejauh 10 sentimeter (sm) ke dalam otot dan sendi,” jelas pemilik Pusat Urutan Bee Inspiration Massage, Nur Akmar Yanti Kamal.
Usahawan tersebut memberitahu, faedah terapeutik batu permata itu bertindak dengan membantu meningkatkan peredaran darah.
Menurutnya, apabila peredaran dipertingkatkan, badan bertindak menyerap nutrisi dan oksigen secara langsung membawa kepada kelegaan lebih pantas.
“Batu jed juga dianggap sebagai kristal pembersih menyahtoksik badan,” katanya turut menawarkan teknik urutan menggunakan batu itu.
Urutan
Berbeza daripada urutan batu panas di kebanyakan spa, ujar Nur Akmar, batu jed memberi kesan terapi urutan terapeutik tisu tanpa kesakitan.
Jelasnya, batu jed dipotong tersebut dipotong dalam pelbagai bentuk dan saiz. Gilapan batu menghalang bakteria daripada berhimpun.
"Jed adalah batu urut yang dapat menahan haba panas dan sejuk dengan baik.
“Satu tekanan dikenakan pada titik tumpu atau saraf menggunakan batu jed panas, ibarat tujuh kali tekanan tangan.
“Warna hijau batu itu juga membantu menenangkan badan untuk sembuh sendiri,” tuturnya.
Warna hijau batu itu juga membantu menenangkan badan untuk sembuh sendiri
Teknik
Nur Akmar berkata, batu jed sejuk dapat membantu meredakan tisu meradang, mengurangkan kekejangan otot dan mengurangkan bengkak.
“Bagi sesi urutan menggunakan batu panas dan sejuk, peralihan antara kedua suhu itu membantu saluran darah mengembang dan mengecut secara berganti.
“Tindakan itu membawa kepada peningkatan pergerakan cecair dalam badan, penyingkiran toksin dan peningkatan penyembuhan,” jelasnya yang memperkenalkan teknik urutan menggunakan batu jed sejak lima tahun lalu.
Antara teknik digunakan untuk terapi jed panas adalah urutan Sweden meliputi gerakan pukulan, membulat, getaran dan torehan.
Urutan Sweden adalah terapi urutan yang terkenal dengan kesan menyegarkan badan menerusi tekanan pada otot.
“Batu itu diletakkan di sepanjang bahagian tulang belakang, perut, dada, muka, tapak tangan atau kaki dan jari,” bicaranya yang turut menawarkan perkhidmatan urutan tradisional dan berpantang.
Setiap sesi urutan mengambil masa maksimum 90 minit bergantung pada ketahanan masing-masing.
Sapuan minyak aroma terapi yang dirumus sendiri turut digunakan untuk melicinkan kulit dan membantu merangsang ketenangan emosi sepanjang sesi urutan.
Trivia:
Penggunaan batu jed turut terkenal dalam budaya masyarakat Barat.
Masyarakat Maori di New Zealand, menggunakan batu itu sebagai pupur pada wajah.
Masyarakat Sepanyol turut mempercayai batu yang dikenali sebagai piedra de ijada itu memiliki tenaga membantu menyembuh penyakit buah pinggang.
Selain warna hijau, jed juga boleh didapati dalam rona merah dan putih.
Komposisi, kekerasan, ketumpatan dan struktur kristal jed berbeza.
Batu jed turut digunakan dalam rawatan gua sha iaitu terapi alternatif menggeserkan kulit dengan alat urutan untuk keanjalan kulit dan aliran darah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram