TIDAK pernah terlintas dalam fikiran Ketua Pegawai Eksekutif Joe’s Barbershop, Mohd Safuan Bachtiar Mad Tan, dirinya akan mengurus 24 cawangan kedai gunting rambut di bawah jenama diasaskan oleh penyanyi rap tersohor tanah air, Joe Flizzow.
Sebagai bekas pramugara syarikat penerbangan tempatan yang diberhentikan kerja kerana penstrukturan syarikat pada Disember 2015, kini Mohd Safuan Bachtiar, 40, mencipta nama dalam perniagaan dikendalikan.
Sehingga hari ini, jenama kedai gunting rambut Joe’s Barbershop kekal sohor kini, malah memiliki cawangan di sekitar Lembah Klang, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Johor, Kelantan, Melaka dan Langkawi, Kedah.
Akademi berpusat di Bangi tersebut turut membantu anak muda meneroka kerjaya. — Instagram/safuanbachtiar
Mesra dengan panggilan Safuan Bachtiar, usahawan itu tidak berhenti mencari peluang perniagaan baharu apabila membuka satu-satunya akademi barbering, Joe’s Barberschool di negara ini.
Diiktiraf Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjut, akademi yang dibuka pada 2018 itu sudah melahirkan 120 tukang gunting rambut bertauliah.
Akademi berpusat di Bangi, Selangor tersebut turut membantu anak muda meneroka kerjaya sepanjang enam bulan mengikuti program pembelajaran.
Dibuang kerja
“Pelajar akan diberikan latihan teori dan praktikal selama dua bulan pertama program di akademi itu bersama jurulatih gunting rambut yang berpengalaman.
“Baki empat bulan lagi pelajar akan diberi penempatan di cawangan Joe’s Barbershop yang dibimbing oleh Joe’s Coach di cawangan masing-masing.
“Semua pelajar yang menamatkan pengajian akan mendapat pengiktirafan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 (SKM Tahap 2) yang diiktiraf oleh JPK,” ujarnya.
Mengimbas kisah hidupnya, kata Safuan Bachtiar, pembabitannya dalam bidang gunting rambut bermula apabila dia mencari peluang perniagaan yang dekat dengan dirinya.
Rentetan daripada kisah bakal dibuang kerja kerana masalah kesihatan dan penstrukturan semula syarikat penerbangan yang disertai lebih sedekad, usahawan lulusan Diploma Kajian Perniagaan, Universiti Teknologi Mara, Jengka, Pahang ini melakukan persediaan awal.
“Pada mulanya agak runsing, tetapi saya sedar tidak boleh ikut perasaan dan bangkit mencari penyelesaian.
“Saya fikirkan perkara yang dekat dengan diri saya dan kemahiran itu boleh menjana pendapatan kerana enggan lagi makan gaji,” ujar anak kelahiran Negeri Sembilan itu.
Sebagai bekas pramugara, penampilan diri baginya sangat penting. Bapa kepada empat anak itu mengakui gemar bereksperimen dengan rambut.
Jadi, dia mengambil keputusan mengikuti kelas menggunting rambut yang ditawarkan oleh Joe’s Barbershop. Bermodalkan RM3,500, Safuan Bachtiar mengikuti kelas sebanyak lima sesi.
Antara cabaran mengikuti kelas itu ialah dia terpaksa membahagikan masa antara kerja dan kelas.
“Saya mula dengan kerja sambilan sebagai tukang gunting rambut di cawangan Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur sehingga Disember 2015.
“Pada Februari 2016, saya mendapat persetujuan daripada Joe Flizzow untuk membuka satu cawangan kedai gunting rambut di bawah jenama itu,” katanya mula membuka kedai pertama di Seksyen 9, Bangi, Selangor.
Fasiliti
Ujarnya, kemudahan fasiliti seperti surau dan tandas dengan sistem nombor digunakan juga antara faktor penarik keselesaan pelanggan.
“Hari ini, kami menerima kira-kira 5,000 pelanggan sehari dengan 12 kerusi dan 15 tenaga kerja,” ujarnya yang turut membuka cawangan di Senawang, Negeri Sembilan pada tahun sama.
Didorong atas respons positif tersebut, dia menubuhkan Akademi Joe’s Barberschool untuk menampung keperluan tenaga kerja ketika itu.
Pelajar akan diberikan latihan teori dan praktikal selama dua bulan pertama program di akademi itu. — Instagram/safuanbachtiar
Sambutan diterima di luar jangkaan apabila pada bulan pertama pembukaan kedai gunting lebih 1,000 pelanggan datang mendapatkan perkhidmatan. Keadaan itu menuntut dirinya untuk mendapatkan perkhidmatan tukang gunting sambilan.
Pada masa sama, dia turut didekati oleh pemilik Joe’s Barbershop lain untuk membantu menguruskan cawangan perniagaan sebagai perunding perniagaan.
Berbekalkan bakat mengurus, Safuan Bachtiar diberi tanggungjawab untuk mengurus lapan cawangan dimiliki rakan perniagaan lain dan dua lagi milik sendiri.
Ekoran rekod cemerlang pencapaian singkat itu, pengasas jenama itu, Joe Flizzow melantik individu tersebut sebagai ketua pegawai eksekutif.
“Sekali lagi proses pembelajaran untuk saya bermula. Jadi, bagi menambah kemahiran mengurus kumpulan lebih besar, saya mengikuti kelas perniagaan dan jurulatih,” ujarnya yang dilantik sebagai pakar motivasi untuk beberapa program keusahawanan dan kepimpinan.
Safuan Bakhtiar turut bekerjasama dengan Institut Keusahawanan Negara dan menjadi tenaga pengajar kepada usahawan lain yang baru menceburi bidang barbering.
Ujar anak ketiga daripada empat beradik itu, bagi mengembangkan perniagaan sedia ada, dia membuka satu lagi cabang perniagaan di bawah jenama berkenaan membabitkan makanan dan minuman (F&B), Joe’s Kitchen di Nilai, Negeri Sembilan.
Pembukaan restoran itu pada tahun lalu menyediakan aneka hidangan Barat sejajar dengan minatnya.
“Kedai itu dibuka bersebelahan Joe’s Barbershop, dengan tujuan untuk menyediakan perkhidmatan lengkap kepada pelanggan,” tuturnya.
Joe’s Kitchen yang beroperasi di Nilai menyediakan aneka hidangan Barat. — Instagram/safuanbachtiar
Sokongan
Mengulas keberaniannya membuka perniagaan baharu, akuinya, sama seperti individu lain ada ketikanya dia juga pernah timbul rasa ragu-ragu.
Namun, bapa empat anak itu mengakui, semua yang dikecapi hari ini adalah berkat doa dan sokongan arwah ibu dan bapanya, Mad Tan Khamis dan Norfadzillah Duaji. Begitu juga isterinya, Nurrul Affida Abdul Mudtalib.
Sepanjang bergelar tukang gunting rambut, antara individu yang pernah mendapatkan sentuhan Safuan Bachtiar adalah pasukan bola sepak dari Filipina dan selebriti seperti Mawi.
“Saya tidak pernah sangka akan sampai ke tahap ini, sedangkan sedekad lalu telah hilang pekerjaan,” ujarnya yang mahu berkongsi kejayaan itu bersama masyarakat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram