BERBEKALKAN minat mendalam terhadap sektor makanan dan minuman (F&B), bekas akauntan di sebuah syarikat swasta memutuskan untuk berhenti kerja dan memulakan bisnes hidangan tradisional dari kampung halamannya.
Dengan semangat untuk memperkenalkan budaya utara, Mohd Syafraf Mat Nor, 30, menubuhkan perniagaan Nasi Apollo Sambal Geprek pada 2018, bermula dengan hanya RM2,000 modal permulaan.
Katanya, idea untuk memulakan perniagaan tersebut datangnya daripada tradisi di kampungnya yang terletak di Arau, Perlis, yang sering masak nasi menggunakan pengukus khas dikenali sebagai Apollo.
Bagi usahawan itu, penggunaan pengukus sedemikian sudah menjadi sebahagian daripada budaya kenduri di utara tanah air, justeru dia berhasrat untuk memperkenalkannya kepada penduduk di kawasan lain, terutamanya di selatan Malaysia.
"Saya mulakan perniagaan ini dengan sangat kecil. Sebahagian besar barang yang digunakan pun saya ambil daripada peralatan keluarga yang memang menjalankan bisnes katering.
"Saya bawa Nasi Apollo ini ke kawasan Pantai Tembok, Johor dan orang ramai mula tertarik dengan cara penyediaan nasi yang unik ini.
"Tak ramai yang tahu tentang (Nasi Apollo) di luar utara," katanya kepada Majoriti.
Kurangnya pengetahuan masyarakat tentang Nasi Apollo yang dimasak menggunakan teknik pengukusan itu memberi kelebihan untuk Mohd Syafraf menguasai pasaran, terutamanya di Johor, yang terkenal dengan daya beli tinggi.
Berkongsi mengenai resipi pula, pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Selangor (Unisel) itu berkata, Nasi Apollo jualannya dilengkapi dengan sambal geprek, yang berasal dari Indonesia.
Bagaimanapun ujar lelaki itu lagi, pada awalnya dia memulakan menu Nasi Apollo dengan padanan kuah kari resipi utara, yang juga dipanggil nasi ganja.
"Namun, apabila kami mula menjelajah ke beberapa negeri dengan menyertai beberapa program, hidangan tersebut agak sukar diterima khususnya dalam kalangan masyarakat di pantai timur.
"Jadi selepas mempertimbangkan beberapa perkara, saya ubah kepada Nasi Apollo yang dimakan dengan pilihan set ayam, ikan tilapia dan ikan teli yang dinikmati bersama aneka sambal," jelasnya.
Sejak itu, dia berjaya menyesuaikan resipinya dan kini menawarkan empat jenis sambal dengan tahap kepedasan berbeza iaitu manja, biasa, pedas dan super hot.
Mohd Syafraf menggunakan pengukus khas dikenali sebagai Apollo untuk memasak nasi.
Buka tapak
Meskipun pernah membuka kedai fizikal di Johor pada 2020, akuinya, premis itu bagaimanapun tidak dapat bertahan lama, hanya sempat beroperasi kurang dari dua tahun.
Sehubungan itu, Mohd Syafraf mengambil pendekatan untuk menaikkan jenama bisnesnya terlebih dahulu dengan mempromosikan Nasi Apollo dalam pelbagai acara dan program.
"Kami memilih untuk bergerak dengan penganjur program kerana ia memberikan lebih fleksibiliti dan peluang untuk berinteraksi langsung dengan pelanggan yang mencari kami," katanya.
Keputusan untuk berhenti bekerja dan menjalankan perniagaan sendiri juga hadir daripada keinginannya untuk mencari sesuatu yang lebih memuaskan.
Namun, akui anak keempat daripada lima beradik itu lagi, perniagaan F&B datang dengan cabaran tersendiri.
Kongsinya, persaingan dalam industri makanan sangat tinggi, namun dia yakin dengan kekuatan dalam penyampaian produk dan inovasi yang ditawarkan jenamanya.
"Untuk sekarang, cabaran yang paling besar adalah mengawal kos bahan mentah dan memastikan harga tetap berpatutan dengan keadaan ekonomi semasa," ujarnya.
Meskipun menghadapi pelbagai kesukaran, termasuk kegagalan dalam beberapa acara dan penutupan kedai di Johor, usahawan ini tetap kekal positif.
"Saya belajar daripada pengalaman pahit, terutamanya ketika kami tidak dapat menjual apa-apa pada bulan puasa tahun lalu di bazar Ramadan.
"Namun di sebalik kegagalan itu, saya tetap tekad untuk terus bergerak dengan menyewa tapak dalam pelbagai program kerana ia memberi saya lebih banyak peluang berbanding membuka kedai tetap," jelasnya sambil memberitahu bahawa berniaga dalam sesebuah acara lebih membawa keuntungan berbanding membuka kedai fizikal.
Kini, Mohd Syafraf yang mempunyai seramai 12 kakitangan sedang fokus untuk mengembangkan jenama dan nama perniagaan yang dibinanya.
Dia juga berkongsi tentang visinya untuk mengangkat hidangan unik ini ke peringkat nasional dan antarabangsa.
"Meskipun perjalanan untuk memperkenalkan hidangan ini tak mudah, namun saya menyimpan hasrat untuk mencipta satu jenama yang boleh dikenali ramai dan terus berkembang di seluruh Malaysia, bukan hanya di Johor atau Perlis," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram