Buka restoran autentik Indonesia-Malaysia tanda penghormatan usahawan asal Jerman terhadap Ibu Ruby


  • Bizz
  • Isnin, 02 Dis 2024

Muhammad Imran (kiri) melancaran restoran berlokasi di Bangsar, Kuala Lumpur itu sebagai penghormatan kepada Ibu Ruby.

MEMBESAR di Indonesia memberi pengalaman hidup berbeza buat Muhammad Imran Abdullah, 56, yang kini dikenali sebagai seorang usahawan berjaya.

Selepas kejayaan mengendalikan Positano Risto, sebuah restoran Itali mesra Muslim terkemuka di Kuala Lumpur, lelaki berasal dari Jerman itu kini melebarkan sayap dengan memperkenalkan restoran berkonsepkan sajian Indonesia di negara ini.

Pelancaran restoran berlokasi di Lucky Garden, Bangsar, Kuala Lumpur itu adalah sebagai penghormatan kepada salah seorang individu paling berpengaruh dalam kehidupan kanak-kanaknya, iaitu Ibu Ruby.

BACA LAGI: Rentas beratus kilometer demi 5 lokasi popular nasi kandar kuah banjir di P. Pinang

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

Mengimbau kembali perjalanan hidupnya, Muhammad Imran berkata, dia sekeluarga berpindah ke Jakarta pada 1978.

Pada Januari 1979, ketika berusia 10 tahun, mereka menetap di sebuah rumah yang berdekatan dengan masjid.

"Setiap hari, seruan azan yang berkumandang dari masjid menjadi sebahagian daripada rutin hidup saya.

"Walaupun bapa beragama Hindu dan ibu pula Kristian, saya rasa terpanggil dengan panggilan azan tersebut.

"Dari tingkap di tingkat dua rumah, saya sering memerhatikan masjid dan perasaan ingin tahu untuk mempelajari tentang Islam dengan lebih lanjut semakin membuak-buak," katanya kepada Majoriti.

Untitled design (55)

Muhammad Imran merakam gambar kenangan bersama keluarga tercinta.

Cerita bapa kepada tiga cahaya mata itu, pada tahun sama, ibu bapanya mengupah seorang cef Indo-Melayu berbakat dari Yogyakarta, Ibu Ruby untuk memasak hidangan halal Indonesia dan Melayu untuk keluarga.

Ibu Ruby, yang dibesarkan dengan resipi tradisional turun-temurun bukan sahaja menyajikan hidangan yang lazat, tetapi juga gemar berkongsi cerita mengenai kehidupan dan semangatnya untuk menyediakan masakan rumah.

Tahun demi tahun berlalu, Muhammad Imran membesar dengan kasih sayang yang ditumpahkan kepada Ibu Ruby, yang dianggap sebagai ibu keduanya.

"Saya juga banyak menghabiskan masa di dapur untuk mempelajari rasa dan teknik masakan yang unik.

"Dia juga yang memperkenalkan makanan halal dan mendidik saya tentang Islam," ujarnya yang kini menetap di Mont Kiara, Kuala Lumpur.

Snapinsta.app_468707368_2688824834653867_6581985271712879093_n_1080

Restoran Ibu Ruby’s berlokasi di Lucky Garden, Bangsar, Kuala Lumpur.

Berkongsi lanjut, usahawan itu menjelaskan, hubungan mendalam antara dirinya dengan masakan Ibu Ruby, ditambah rasa ingin tahu rohaninya yang semakin bercambah membawa lelaki itu memeluk Islam pada Disember 1994 di sebuah masjid dekat Jakarta.

Ujar pengasas bersama Positano Risto itu lagi, 10 tahun selepas pemergian Ibu Ruby, dia menubuhkan Restoran Ibu Ruby’s sebagai tanda penghormatan kepada wanita yang membentuk kehidupannya.

"Di sini kami menumpukan pada dua elemen penting dalam kehidupan saya sendiri, iaitu masakan Indonesia, yang menceritakan perjalanan spiritual dan masakan Malaysia yang kini dianggap sebagai rumah saya.

"Mencipta legasi melalui makanan adalah usaha untuk menghidupkan semula kenangan masakan Ibu Ruby dengan memberi sentuhan moden yang sesuai dengan cita rasa Malaysia," tambahnya sambil memberitahu ibu bapanya juga kini menetap di Kuala Lumpur sejak beberapa tahun lalu.

Snapinsta.app_465735960_597307115961468_8484585997650314618_n_1080

Restoran ini menyajikan hidangan Indo-Melayu ikonik yang disediakan dengan bahan-bahan segar dan berkualiti tinggi.

Sajian tanpa MSG

Restoran itu katanya, menyajikan hidangan Indo-Melayu ikonik yang disediakan dengan bahan-bahan segar dan berkualiti tinggi tanpa pes komersial atau monosodium glutamate (MSG) dengan harga berpatutan.

Kongsi Muhammad Imran lagi, antara hidangan ditawarkan termasuk nasi ayam penyet, nasi ambang, nasi lemak ayam rendang, nasi sela kunyit, daging dendeng Minang, terung bakar sambal, pisang bakar, urap kacang botol, teh Malaya dan jus tiga rasa.

Akuinya, menjalankan perniagaan restoran di tengah persaingan yang sengit bukanlah tugas mudah.

Namun usahawan ini percaya bahawa dedikasi, doa dan sokongan keluarga memainkan peranan penting dalam kejayaannya.

WhatsApp Image 2024-12-01 at 13.11.41

Antara aneka hidangan yang ditawarkan di Restauran Ibu Ruby’s.

“Apabila dalam keadaan tertekan dengan kerja, saya akan bermain dengan anak-anak.

"Ia memberi kegembiraan dan ketenangan untuk saya memulihkan semangat,” ujarnya yang menunaikan ibadah haji pada 2012.

Dengan konsep restoran kasual dan kepelbagaian menu, restoran yang beroperasi secara rasmi pada 28 November lalu menyasarkan untuk menjadi pilihan utama bagi pencinta makanan Indonesia-Malaysia.

Bagi Muhammad Imran, memberi makanan halal kepada masyarakat adalah suatu dakwah dan keberkatan.

Dia berharap agar para pengunjung dapat merasai dan menghargai masakan ditawarkan serta mengenali Ibu Ruby sebagai wanita yang memberikan impak mendalam dalam perjalanan hidupnya.

“Saya rasa diberkati kerana dapat menyumbang kepada dunia dengan memberi makanan yang baik dengan nama ALLAH SWT.

"Restoran ini lebih daripada sekadar tempat makan, sebaliknya ia adalah sebuah penghormatan dan legasi kepada wanita yang telah mengubah hidup dan iman saya," katanya yang berhasrat untuk menambah cawangan Ibu Ruby’s pada masa hadapan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram