WALAUPUN baru berusia 17 tahun, Sofia Sacoor menunjukkan tekad luar biasa dalam bidang keusahawanan dengan menubuhkan jenama pakaian sukan kasual SU1.
Jenama itu diperkenalkan yang bukan sahaja bertujuan memenuhi minatnya tetapi juga membawa misi membantu kanak-kanak penghidap diabetes jenis 1 (T1D).
Sofia yang berasal dari Lisbon, Portugal dan menetap di Dubai selama lebih satu dekad, disahkan menghidap T1D pada usia lapan tahun.
Sofia bersyukur keluarga banyak membantu memudahkan urusan hariannya.
Keadaan autoimun itu memerlukan dirinya menjalani rawatan insulin sepanjang hayat, di samping perlu menyesuaikan gaya hidupnya.
“Saya satu-satunya dalam keluarga yang menghidap T1D, tetapi keluarga banyak membantu menjadikannya sebagai isu bersama.
"Mereka membantu memantau kesihatan saya dan menyesuaikan jadual jika saya kurang sihat,” ujar Sofia, yang mempunyai dua adik lelaki masing-masing berusia 10 dan 14 tahun.
Menurut usahawan itu, dia memerlukan lima hingga tujuh suntikan insulin setiap hari, selain sentiasa membawa peralatan pemantauan gula darah dan suntikan insulin ke mana-mana.
Semasa pandemik Covid-19, Sofia dimaklumkan terdapat kanak-kanak penghidap T1D yang meninggal dunia akibat kekurangan akses kepada insulin disebabkan masalah kewangan.
Situasi itu mendorongnya untuk mewujudkan perniagaan dengan tujuan sosial.
Produk seperti baju-T dan hoodie dibuat daripada bahan semula jadi dan dibungkus dengan bahan kitar semula.
“Ia memberi inspirasi kepada saya untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik. Selain itu, inspirasi juga datang daripada bapa yang merupakan seorang ahli perniagaan,” katanya.
Jenama SU1, yang ditubuhkan pada Julai 2023, menyumbangkan AED20 (kira-kira RM26) daripada setiap jualan kepada institusi yang membantu kanak-kanak penghidap T1D.
“Pakaian sukan kasual adalah sesuatu yang saya gemari. Ia selesa, mudah dihasilkan dan permintaannya juga tinggi,” katanya sambil menambah bahawa produk seperti baju-T dan hoodie dibuat daripada bahan semula jadi dan dibungkus dengan bahan kitar semula.
Selain menguruskan SU1, Sofia kini mengikuti program International Baccalaureate (IB) dengan memberi fokus terhadap subjek Ekonomi, Fizik dan Pengurusan Perniagaan, selain turut aktif dalam sukan seperti tenis dan ragbi tag.
“Saya cuba memperuntukkan masa setiap hari untuk menguruskan perniagaan sambil bekerjasama dengan pasukan logistik dan teknikal, sementara saya sendiri lebih fokus kepada pemasaran,” jelasnya.
Sofia turut menyasarkan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Ekonomi, Matematik atau Fizik sebagai jurusan utama, dengan Perniagaan sebagai jurusan kedua.
Pada Mac lalu, Sofia berada di Malaysia untuk melancarkan kedai pop-up pertama SU1 di pusat beli-belah Sunway Pyramid serta menyerahkan sumbangan sebanyak RM15,000 kepada bahagian pediatrik Sunway Medical Centre, Petaling Jaya, bagi membantu kanak-kanak dengan T1D.
“Saya ingin terus membantu dan membuat perubahan kepada kehidupan mereka yang menghadapi cabaran seperti saya,” katanya penuh semangat. — The Star/JADE CHAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram