MARIATULQABTIAH Mohd Ghali, 43, antara individu terkesan akibat penularan wabak Covid-19 yang melanda negara kira-kira empat tahun lalu.
Sama seperti kebanyakan pekerja lain, wanita berasal dari Kuala Lumpur itu diberhentikan kerja selepas tiga tahun berkhidmat di sebuah butik dekat kompleks beli-belah terkemuka di ibu kota.
Lebih malang, suaminya yang ketika itu bertugas sebagai pemandu p-hailing turut memutuskan untuk berhenti kerja atas faktor kesihatan pada 2020.
Menghadapi tekanan kewangan dan suaminya yang memerlukan rawatan perubatan berterusan, Mariatulqabtiah akhirnya cuba mencari jalan keluar melalui inisiatif dalam perniagaan.
"Saya cuba cari satu pekerjaan yang boleh kami buat bersama kerana saya mahu menjaga suami dan memastikan keadaannya baik sepanjang masa.
"Disebabkan saya ini 'hantu laksa' dan menu tersebut antara yang biasa masak, jadi saya pilih untuk memulakan bisnes jualan laksa bermula 6 Jun 2020," katanya kepada Majoriti.
Bercerita tentang Laksa Penang Tokmak, Mariatulqabtiah memberitahu bahawa keistimewaan kuah laksa tersebut terletak pada kualiti bahan yang digunakan.
"Saya sangat teliti dalam pemilihan ikan, cili, asam keping dan belacan.
"Untuk ikan pula, saya hanya menggunakan ikan sardin segar, bukan tin, kerana sardin tin mempunyai bau hanyir yang kurang menyenangkan," bicaranya.
Keistimewaan kuah laksa hasil air tangan Mariatulqabtiah terletak pada kualiti bahan yang digunakan.
Kekurangan modal
Wanita ini juga mengakui, pada awal perniagaan dia turut berdepan kekangan dari segi penyediaan modal.
Namun berbekalkan modal sebanyak RM4,000 hasil bantuan Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), usahawan ini berjaya membuka tapak niaga di Kilang Kitchen Setapak, Kuala Lumpur.
Ujarnya, bantuan dana itu juga digunakan untuk membeli antaranya mesin pengisar berkapasiti tinggi.
"Mesin kisar yang saya beli dengan harga sekitar RM2,700 ini banyak memudahkan kerja hingga mampu menyediakan kuah (laksa) dalam kuantiti yang banyak untuk memenuhi permintaan di pelbagai lokasi perniagaan.
"Kemudahan ini juga membolehkan saya meluaskan pasaran ke kawasan lain seperti Putrajaya dan Bukit Bintang," jelasnya yang menjual laksa dengan harga RM7 hingga RM8 sebungkus, bergantung lokasi.
Selain menawarkan bantuan modal, PPZ-MAIWP juga katanya, menyediakan pelbagai kursus keusahawanan untuk membantu dirinya yang baru memulakan perniagaan.
Apatah lagi akui Mariatulqabtiah, dia langsung tidak memiliki pengetahuan asas dalam bidang tersebut.
"Kursus berkenaan merangkumi pelbagai aspek penting dalam bisnes seperti pengurusan kewangan, strategi pemasaran dan cara menguruskan operasi harian.
"Ia juga menyediakan kita panduan macam mana nak susun bisnes dengan lebih sistematik," katanya yang turut aktif menyertai acara jualan dan program seperti Pasar Saloma.
Mariatulqabtiah ketika menyertai Pasar Saloma di salah satu lokasi sekitar ibu kota.
Ketidaktentuan ekonomi
Kongsi anak ketiga daripada 10 beradik itu lagi, sambutan terhadap perniagaannya sejak kebelakangan ini agak kurang berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Jelasnya yang juga dikenali sebagai Akak Laksa dalam kalangan pengikut di TikTok, untuk menghadapi cabaran penurunan jualan di tapak niaga, dia mengambil langkah proaktif dengan mempelbagaikan strategi perniagaan, termasuk membuka gerai di pelbagai lokasi lain.
Selain itu, Mariatulqabtiah turut menyediakan pakej katering untuk pelbagai acara termasuk majlis pernikahan dan pertunangan, sebagai usaha menambah sumber pendapatan.
"Dulu, untuk satu kedai (di Setapak) sahaja, saya boleh capai jualan anggaran RM500 hingga RM600 sehari.
"Namun sekarang keadaan sudah berubah, paling banyak pun RM300 lebih sahaja. Jualan makin kurang mungkin sebab orang lebih memilih untuk berjimat.
"Penurunan ini semakin ketara sejak beberapa bulan kebelakangan ini, malah saya pernah mencapai tahap paling rendah, dengan jualan harian hanya mencecah RM80," katanya.
Mariatulqabtiah juga dalam perancangan untuk mengeluarkan produk kuah laksa retort.
Ketidaktentuan ekonomi yang semakin mencabar mengakibatkan ramai peniaga termasuk Mariatulqabtiah untuk perlu lebih fleksibel dan kreatif dalam mencari rezeki.
"Sekarang semua bisnes terkesan, bukan saya seorang, tapi Alhamdulillah dengan usaha tambahan ini, saya masih dapat meneruskan perniagaan," ujarnya yang pernah memperoleh lebih RM20,000 jualan dalam sebulan.
Walaupun menghadapi cabaran ekonomi semasa, kenaikan kos bahan mentah, dan persaingan sengit, wanita ini tetap optimis.
Kongsi Mariatulqabtiah, dia juga dalam perancangan untuk meluaskan pasaran produknya melalui platform e-dagang, sama seperti kebanyakan peniaga lain.
Dengan produk utama berupa kuah laksa retort yang boleh bertahan sehingga dua tahun tanpa perlu disimpan dalam peti sejuk, dirinya menyuarakan keyakinan terhadap potensi jualan dalam talian.
"Sebenarnya saya dah buat R&D (penyelidikan dan pembangunan) untuk kuah retort ini menggunakan resipi daripada mak sendiri.
"Kuah ini pekat dan sesuai untuk sesuai mengikut cita rasa semua lapisan masyarakat termasuk dewasa, kanak-kanak, warga emas atau sesiapa yang ada penyakit seperti gastrik kerana ia tak terlalu pedas atau masam.
"Saya percaya bahawa potensi pasaran lebih besar dapat dicapai dengan memperkenalkan laksa retort sebagai produk siap," tuturnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram