Polis bantuan TNB maut, kereta bertembung 4X4 terlibat kemalangan dengan 9 ekor lembu


  • 112
  • Selasa, 03 Dis 2024

Keadaan kereta mangsa selepas bertembung dengan pacuan empat roda di Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Kampung Rhu 10, Terengganu, pada Selasa. — IPD Setiu

SEORANG anggota Polis Bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB) maut selepas kenderaan dipandunya bertembung sebuah pacuan empat roda (4x4) yang terlibat dalam kemalangan dengan sembilan ekor lembu di Kilometer (KM) 57, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Kampung Rhu 10, Permaisuri, Terengganu, pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Mohd Zain Mat Dris memaklumkan bahawa kemalangan yang berlaku sekitar pukul 6 pagi itu meragut nyawa seorang mangsa, Che Mohd Nasir Jaafar, 56, dari Pasir Mas, Kelantan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Menurut beliau, insiden tersebut berlaku ketika mangsa, yang memandu kereta jenis Honda Civic dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu, manakala pemandu pacuan empat roda pula sedang menuju dari Penarik ke Kuala Terengganu.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pacuan empat roda itu bertembung dengan sembilan ekor lembu yang berada di atas jalan.

“Akibat perlanggaran tersebut, kenderaan itu disyaki telah terbabas ke lorong bertentangan dan berhenti di tengah jalan.

“Beberapa minit kemudian, ketika pemandu berkenaan keluar dari kenderaan untuk menguruskan situasi, namun kereta mangsa yang datang dari arah bertentangan melanggar pacuan empat roda tersebut,” katanya pada Selasa.

Mohd Zain berkata, kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan, manakala pemandu pacuan empat roda tidak mengalami kecederaan.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambahnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram