[VIDEO] Wanita dipenjara seumur hidup, zip dan kurung teman lelaki dalam bagasi pakaian hingga mati


  • Benua
  • Selasa, 03 Dis 2024

Boone (kanan) mendakwa Torres sering bertindak ganas terhadapnya. — Agensi

SEORANG wanita dari Florida, Amerika Syarikat (AS) dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada Isnin selepas didapati bersalah atas tuduhan membunuh teman lelakinya.

Sarah Boone, 47, disabitkan kesalahan pada Oktober tahun lalu selepas pendakwa raya membuktikan bahawa dia memasukkan Jorge Torres Jr ke dalam bagasi pakaian, merakam video sambil mengejek lelaki itu sebelum meninggalkannya selama beberapa jam hingga mati akibat sesak nafas.

Dalam kenyataan sebelum hukuman dijatuhkan, Boone mendakwa dia menjadi mangsa penderaan fizikal dan emosi oleh Torres.

BACA LAGI: [VIDEO] Zip teman lelaki dalam bagasi pakaian, wanita enggan mengaku salah rancang kes pembunuhan

BACA LAGI: ‘Teman lelaki durjana’, bekas posmen angguk faham ketika didakwa bunuh Bella

Wanita itu dan pasukan pembelaan berhujah bahawa dirinya menderita sindrom pasangan yang didera dan mendakwa Torres sering bertindak ganas terhadapnya.

“Saya memaafkan diri saya kerana jatuh cinta dengan seorang raksasa,” kata Boone.

Namun, bukti yang dikemukakan di mahkamah mendedahkan sisi lain insiden itu.

Video daripada telefon pintar Boone menunjukkan dia mengejek Torres yang merayu untuk dilepaskan daripada beg pakaian berkenaan.

“Itulah yang kamu dapat dan rasa apabila kamu curang pada saya,” kata Boone menerusi rakaman video tersebut.

Menurut dokumen mahkamah, kejadian dilaporkan berlaku pada Februari 2020 semasa pasangan itu bermain permainan sorok-sorok dalam keadaan mabuk.

Torres dikatakan secara sukarela masuk ke dalam beg pakaian sebelum Boone menutup zipnya.

Dia kemudian merakam video sambil mentertawakan Torres sebelum naik ke tingkat atas untuk tidur.

Boone mendakwa dia menyangka Torres dapat membuka beg pakaian itu sendiri kerana dua jarinya terkeluar.

Namun, keesokan paginya, dia mendapati Torres tidak lagi bernafas dan menghubungi 911.

Boone memfailkan permohonan untuk perbicaraan baharu atas alasan salah laku pendakwa raya, tetapi permohonan itu ditolak oleh Hakim Michael Kraynick sebelum hukuman dijatuhkan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram