Tong kumpul botol plastik elektronik cetusan idea pasukan M.eco, bawa pulang RM10,000


  • Massa
  • Sabtu, 30 Nov 2024

Pertandingan Star Next-Gen Eco Innovators bermatlamat mengurangkan pencemaran plastik dan memperbaiki pengurusan sisa plastik dengan pendekatan kreatif berorientasikan masa depan.

PLASTIK memainkan peranan begitu penting dalam kehidupan seharian kita.

Bahan yang diklasifikasikan sebagai murah, serba boleh dan tahan lama itu digunakan dalam pelbagai keperluan, menjadikannya penting dalam kebanyakan industri termasuk elektronik, pembinaan, bekalan perubatan, tekstil serta pembungkusan makanan.

Walau bagaimanapun, bahan yang sering memudahkan kehidupan manusia ini juga sebenarnya mempunyai impak negatif tersendiri.

BACA LAGI: Star Media Group rangkul Anugerah Ikon Kepimpinan SDG

BACA LAGI: 'Bumi tidak diwarisi, tetapi dipinjam daripada anak-anak kita', Star Next-Gen Eco Innovators teroka perspektif baharu sisa plastik

Hari ini, disebabkan penggunaannya yang meluas, plastik bukan hanya terdapat dalam produk yang digunakan, ia juga sudah mulai masuk dalam tubuh, makanan dan malah air yang kita minum.

Antara penyumbang terbesar kepada isu tersebut adalah botol plastik yang sering dibuang dengan kaedah yang salah.

Akibatnya, tapak pelupusan sampah boleh tersumbat seterusnya menyebabkan pencemaran alam sekitar.

Namun kemunculan idea-idea inovatif daripada sekumpulan pelajar universiti dijangka dapat membantu mengubah botol-botol terbuang sebagai alat untuk pemerkasaan sosial.

Team M.eco, dari Universiti Sunway yang memperkenalkan penyelesaian inovatif mereka, MecoBin berjaya memenangi hadiah utama sebanyak RM10,000 dalam pertandingan akhir antara universiti, Program Star Next-Gen Eco Innovators anjuran Kumpulan Media Star Bhd (SMG).

Pertandingan yang berlangsung pada Jumaat di Menara Star, Petaling Jaya, Selangor itu menyaksikan pasukan tersebut muncul sebagai juara daripada 10 pasukan yang bersaing di peringkat akhir.

MecoBin merupakan tong pengumpulan botol plastik elektronik yang direka khusus untuk komuniti B40.

Star Next Gen Eco Innovator Finale at Menara Star, Petaling Jaya. — YAP CHEE HONG/The Star

Pelajar universiti memanfaatkan studio SMG, Studio Maya, untuk mempersembahkan penyelesaian inovatif mereka kepada juri semasa pertandingan akhir Program Star Next-Gen Eco Innovators.

Penyelesaian yang mudah namun berkesan itu membolehkan individu menggunakan tong berkenaan untuk mengumpul mata bagi setiap botol dikitar semula, yang akan dimasukkan ke dalam akaun mereka melalui aplikasi yang disertakan.

Mata terkumpul kemudian boleh ditebus untuk barangan keperluan harian, sekali gus meringankan beban keluarga berpendapatan rendah.

Pasukan tersebut juga menyasarkan untuk bekerjasama dengan syarikat luar bagi menyediakan diskaun atau barangan percuma bagi sistem penebusan hadiah.

Usaha itu bertujuan memastikan sokongan yang berterusan terhadap inisiatif mereka.

“Kami sangat gembira dan bersyukur kerana diberi peluang untuk meneroka idea dalam menangani cabaran sisa plastik.

"Memenangi pertandingan ini menjadikan segala usaha keras, penyelidikan tanpa henti dan mesyuarat yang tak terkira jumlahnya, berbaloi.

“Di luar program, kami berharap dapat meneruskan idea ini dan mencari rakan kongsi atau penaja bagi memperluas MecoBin ke peringkat seterusnya,” kata pasukan tersebut.

Dalam pada itu, Team M.eco juga sempat memberikan kata-kata nasihat buat peserta program akan datang.

Antaranya termasuk memulakan proses pencarian idea dengan hal yang mudah namun berimpak tinggi.

“Mulakan dengan yang mudah dan jangan fikir terlalu besar. Kadang-kadang idea paling mudah itulah yang mampu mengubah dunia.

"Ia bukan semata-mata tentang kemenangan, sebaliknya melakukan sesuatu yang boleh membantu orang lain,” ujarnya.

Selain pasukan juara, peserta lain turut tidak terkecuali menerima penghargaan atas usaha dan kreativiti masing-masing.

Gelaran naib juara disandang Team FS² dari Universiti UCSI, yang menampilkan penyelesaian inovatif mereka, PEGnology.

Ia merupakan kaedah untuk menukar polyethylene terephthalate (PET) yang tidak boleh dikitar semula menjadi polyethylene glycol (PEG).

Penyelesaian menghasilkan botol plastik yang 100 peratus boleh dikitar semula membantu mereka membawa pulang hadiah RM7,000.

Sementara tempat ketiga disandang pasukan PlastX juga dari Universiti UCSI, membawa pulang hadiah RM3,000.

Mereka mempersembahkan penyelesaian untuk menggunakan trak kitar semula mudah alih untuk menukar botol plastik menjadi filamen PET bagi pencetakan 3D.

Konsep mereka memberi tumpuan pada kitar semula terdesentralisasi dan mengubah sisa plastik menjadi barangan yang praktikal dan lestari.

Finalis lain juga menerima sijil sebagai penghargaan atas penyertaan mereka dalam program tersebut.

Memupuk generasi inovator baharu

Program Star Next-Gen Eco Innovators dilancarkan pada September untuk memupuk pelajar universiti dalam mentakrifkan semula cara kita menangani cabaran sisa plastik dunia sebenar.

Dengan tema 'Mengubah Sisa Plastik Menjadi Penyelesaian Lestari', program ini mencabar mereka untuk membangunkan penyelesaian lestari.

Ia berpusatkan pendekatan ekonomi melalui pemikiran inovatif secara kolektif, yang dipersembahkan sebagai cadangan perniagaan yang boleh dilaksanakan.

Matlamatnya adalah untuk mengurangkan pencemaran plastik dan memperbaiki pengurusan sisa plastik dengan pendekatan kreatif berorientasikan masa depan.

Program tersebut diadakan di lima universiti di Lembah Klang, iaitu Universiti Sunway, Universiti UCSI, Universiti Taylor's, Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik dan Universiti Antarabangsa UNITAR.

Sebagai penaja, Coca-Cola Malaysia menyatakan sokongan terhadap program Star Next-Gen Eco Innovators dalam mencari penyelesaian kepada cabaran sisa plastik yang kompleks.

Star Next Gen Eco Innovator Finale at Menara Star, Petaling Jaya. — YAP CHEE HONG/The Star

Para pelajar berpeluang merasai pengalaman ditemu bual oleh StarTV milik SMG sendiri.

Menggalakkan inovasi dan kelestarian

Ketua Pegawai Perniagaan SMG dan ketua juri program Star Next-Gen Eco Innovators, Lydia Wang berkata, program itu bertujuan membentuk generasi akan datang menjadi pemimpin yang lebih lestari.

Program itu juga menyediakan mereka dengan kemahiran dan platform untuk mengorak langkah ke arah persekitaran yang lebih positif, selain memberi persediaan dalam mendepani cabaran global yang lebih mencabar berbanding isu sisa plastik pada masa kini.

“Di SMG, kami sangat komited untuk memimpin kelestarian sebagai salah satu nilai teras.

"Program ini sejajar dengan misi kami untuk meningkatkan kesedaran, memupuk pendidikan dan memberi inspirasi kepada tindakan terhadap isu-isu alam sekitar.

“Pelajar universiti menunjukkan pemahaman yang mendalam terhadap cabaran kelestarian yang sangat kompleks," katanya.

Jelas beliau, melalui program berkenaan, mereka diperkenalkan dengan konsep seperti ekonomi kitaran, yang memberi pemahaman mereka untuk membentuk penyelesaian secara komersial.

Tambahnya, dengan menangani kebimbangan iklim dan isu sisa plastik yang meluas, SMG menggalakkan peserta untuk memahami cabaran-cabaran ini dan membangunkan penyelesaian yang holistik serta relevan untuk jangka masa panjang.

"Kemahiran kritikal ini akan mempersiapkan mereka melaksanakan perubahan lestari pada masa hadapan,” ujarnya.

Panel hakim yang berkaliber dan pakar industri menilai penyelesaian inovatif berdasarkan pelbagai kriteria seperti kaitan, pelaksanaan, kreativiti, keaslian, kebolehlaksanaan dan potensi impak yang ditonjolkan peserta.

Barisan juri termasuk Lydia sebagai ketua juri, bersama-sama dengan Pengurus Kanan Hal Ehwal Awam, Komunikasi dan Kelestarian Coca-Cola Malaysia, Wan Ahmad Syazwan Mohamed, serta wakil Persatuan Pengitar Semula Plastik Malaysia (MPRA) dan Pengarah Precious Plastics Malaysia, Yoong Yi.

Sementara itu, juri bersama Yoong Yi menekankan kepentingan memupuk pemikiran inovatif sedemikian dalam kalangan minda muda.

“Saya bekerja dalam industri kitar semula plastik dan ini bukanlah sesuatu yang mudah dipelajari di sekolah atau oleh orang awam.

“Ia adalah topik yang tidak ramai orang sentuh, namun sangat penting untuk mendidik generasi akan datang kerana mereka hidup dengan plastik setiap hari.

“Program ini adalah cara yang baik untuk melibatkan mereka dalam kitar semula plastik, kerana ia membantu mereka memahami lebih lanjut mengenai plastik, sisa plastik, cara untuk mengitar semula atau mengitar semula semula dan peranan yang mereka boleh mainkan dalam mewujudkan masa depan yang lestari," jelas beliau. — The Star/MARK RYAN RAJ

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram