Kerjasama Malaysia-China galak pelajar Malaysia terokai teknologi automotif baharu


  • Massa
  • Sabtu, 30 Nov 2024

Delegasi Malaysia di Sidang Kemuncak Saintis Muda Dunia (WYSS) 2024 yang diadakan di Wenzhou, China.

SERAMAI 30 peserta mewakili Malaysia di Sidang Kemuncak Saintis Muda Dunia (WYSS) 2024 yang diadakan di Wenzhou, China, baru-baru ini.

Acara tersebut memberi tumpuan kepada kerjasama global dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta pertukaran idea antara beberapa negara di seluruh dunia.

Ini merupakan tahun kedua berturut-turut Malaysia dijemput untuk menyertai acara berprestij tersebut, dengan penyertaan lebih 400 delegasi dari pelbagai negara selama empat hari.

BACA LAGI: Star Media Group rangkul Anugerah Ikon Kepimpinan SDG

BACA LAGI: 'Bumi tidak diwarisi, tetapi dipinjam daripada anak-anak kita', Star Next-Gen Eco Innovators teroka perspektif baharu sisa plastik

Sebagai salah satu delegasi terbesar, Malaysia membawa wakil dari pelbagai institusi termasuk Majlis TVET Negara (MTVET), Jabatan Pembangunan Kemahiran, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tafe College, Politeknik Sultan Azlan Shah dan beberapa Institut Latihan Industri di Kuantan, Pahang; Pasir Gudang, Johor serta Kota Kinabalu, Sabah.

Turut serta, Institut Automotif, Robotik & IoT Malaysia (MARii) dan Advance Retro Solution (ARS).

Delegasi Malaysia diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Pembangunan Kemahiran, Dr Azmi Ahmad.

Azmi berkata, terdapat potensi besar untuk kerjasama antara Beifang Automotive School di China dan TVET Malaysia.

Menurutnya, dengan kemudahan latihan dan sumber pengajaran yang cemerlang, pelajar Malaysia berpeluang untuk meneroka teknologi automotif baharu.

"TVET kini tanpa sempadan dan kerjasama merentas wilayah akan meningkatkan daya saing serta keberkesanan latihan,” katanya.

Ujar Azmi, pelajar dari Beifang Shijiazhuang juga menantikan peluang untuk memulakan program pertukaran pelajaran mereka di Malaysia.

Beliau menambah, Malaysia juga dapat memanfaatkan sokongan teknologi dan rangkaian industri melalui Inisiatif Jalur dan Jalan yang menghubungkan negara-negara di Asia.

Pada acara tersebut, kerjasama Malaysia-China juga diperkuatkan dengan majlis menandatangani surat niat antara Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Yalong dan ARS.

Dekan Fakulti Reka Bentuk dan Teknologi Inovatif UniSZA, Profesor Dr Saiful Bahri Mohamed memaklumkan bahawa terdapat dua pelajar sedang menjalani latihan industri di Yalong dan seorang lagi di ARS.

Tahun ini, Malaysia-China terus memperkukuhkan hubungan dalam bidang TVET dengan lawatan delegasi Malaysia ke Zhejiang Industry & Trade Vocational College di China.

Pada Oktober lalu, ARS menamatkan latihan pertukaran industri pertama Malaysia ke luar negara dengan Pusat Latihan Instruktur dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) di Yalong.

Selain itu, tiga kumpulan pensyarah dari GiatMara dan Bahagian Kemahiran dan Teknikal Mara kini sedang menjalani latihan dalam bidang pembuatan pintar, penyelenggaraan fasiliti serta teknologi untuk Internet of Things (IoT).

Tidak ketinggalan, 24 pelajar dan pensyarah dari Kolej Yayasan Pelajaran Johor dan Johor Skills akan segera menamatkan latihan automasi industri mereka di China.

Sementara itu, 10 pelajar dan pensyarah dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) akan menyertai latihan pertanian pintar pada Disember ini.

Dengan perkembangan pesat ini, Malaysia terus membuktikan komitmennya dalam memperkukuhkan kerjasama antarabangsa dan memajukan TVET untuk memenuhi keperluan industri global. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram