SERAMAI 122,062 murid Tahun 1 dikenal pasti belum menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M), kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Beliau menyatakan jumlah itu merangkumi 27.24 peratus daripada 448,113 murid yang disaring.
Menurutnya, ia dikenal pasti melalui fasa pertama program intervensi yang dilaksanakan tiga bulan selepas sesi akademik 2024/2025 bermula.
BACA LAGI: Tak jadi ulat buku semata-mata, 4 langkah KPM diharap bantu murid kuasai 3M — PIBGN
BACA LAGI: Tahap penguasaan UASA diubah kepada peratus, gred mulai tahun ini — Fadhlina Sidek
“Murid-murid ini telah diberikan bimbingan lebih berfokus dan pengajaran intensif menerusi fasa pertama program intervensi yang berlangsung dari Julai hingga September tahun ini.
“Daripada analisis data sehingga 30 Oktober 2024, seramai 48,308 murid (39.58 peratus) berjaya menguasai kemahiran asas ini dan kembali ke kelas biasa.
“Namun, baki 73,754 murid (60.42 peratus) yang belum mencapai tahap kemahiran diteruskan dengan fasa kedua intervensi selama tiga bulan lagi (Oktober hingga Disember),” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) di Dewan Rakyat pada Selasa.
Fadhlina berkata, murid-murid tersebut telah diberikan bimbingan lebih berfokus dan pengajaran intensif menerusi fasa pertama program intervensi.
Ka Siong meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjelaskan status semasa Intervensi Kurikulum bagi murid Tahap Satu serta kesannya terhadap beban tugas guru sains dan matematik di sekolah rendah dan menengah.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, murid yang masih bergelut selepas fasa kedua layak mengikuti Program Pemulihan Khas kendalian guru pemulihan Tahun 2 bagi memastikan bimbingan intensif disesuaikan mengikut keperluan mereka.
KPM juga telah memperkenalkan dokumen penjajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) edisi ketiga untuk subjek termasuk Sains, Matematik, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
“Dokumen ini memberikan fleksibiliti kepada guru sama ada untuk mengguna pakai kurikulum baharu atau meneruskan yang sedia ada.
“Kurikulum yang disemak ini memberi tumpuan kepada konsep teras, mengurangkan beban pengajaran dan direka untuk digunakan bersama Modul Bimbingan Tahap Satu (MOBIM).
“MOBIM bertujuan membantu guru merancang pengajaran yang lebih tersusun dan sesuai dengan tahap murid,” tambahnya.
Fadhlina dalam pada itu turut memaklumkan, berdasarkan tinjauan dalam talian yang dijalankan antara 6 hingga 21 Jun 2024 melibatkan 20,930 guru Sains dan Matematik sekolah rendah, seramai 18,321 pendidik telah mengintegrasikan dokumen penjajaran KSSR dalam pengajaran mereka.
“Guru memilih untuk menggunakan dokumen ini bagi merancang strategi pengajaran yang lebih sistematik dan berkesan,” katanya.
Kementerian juga melaksanakan saringan awal celik huruf dan angka bersama Program Intervensi Tahun 1, tiga bulan selepas sesi akademik bermula.
Bekerjasama dengan Kementerian Kewangan menerusi program ‘Anak Kita’ yang dipimpin oleh Unit Pantau Madani dan Yayasan Hasanah, inisiatif itu memberi tumpuan kepada peningkatan tahap literasi dan numerasi murid Tahun 2 hingga Tahun 6.
“Program ini melibatkan 53,252 murid dari 1,288 sekolah rendah di tujuh negeri termasuk Kedah, Perak, Selangor, Johor, Kelantan, Sabah dan Sarawak.
“Sebanyak RM100 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan program ini pada 2024, dengan tambahan RM30 juta dirancang untuk 2025,” katanya. — The Star/ JUNAID IBRAHIM/MARTIN CARVALHO/RAHIMY RAHIM
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram