ADUNAN minyak wangi ibarat seni kreativiti dalam melukis atau memasak. Dalam penghasilan haruman, deria bau memainkan peranan penting.
Semburan minyak wangi yang bagus adalah apabila komposisi haruman digabungkan dapat memberikan teka-teki kepada deria bau.
Perkara itu diakui oleh pakar minyak wangi, Aien Mokhtar, 49, yang mempelajari teknik gubahan haruman eksklusif sejak 2002.
Mengimbas kembali, usahawan ini memberitahu, perjalanan sebagai pakar haruman bermula apabila salah satu jenama minyak wangi digemarinya dihentikan pengeluaran.
Keadaan itu membuatkan wanita genit dengan perwatakan ceria tersebut mula mengembara ke beberapa negara untuk mempelajari tentang ilmu minyak wangi.
“Saya mula mencari peluang dan mengikuti bengkel bersama pengilang mengeluarkan produk mandian dan kosmetik di Australia pada 2005.
“Latihan praktikal dikendalikan banyak mengajar saya tentang kepelbagaian haruman sedia ada.
“Pada masa sama, sebagai pelengkap ilmu saya banyak membaca buku dan sumber dalam talian,” ujarnya yang gemar menghasilkan haruman unik.
Latihan praktikal dikendalikan banyak mengajar Aien tentang kepelbagaian haruman sedia ada.
Kongsi Aien, bagi membolehkan dirinya biasa dengan haruman, dia turut mengeluarkan modal untuk membeli pati minyak wangi lalu dibancuh sendiri di rumah.
Haruman yang dihasilkan ketika itu dihadiahkan kepada keluarga dan kenalan, mereka menggemari kehalusan adunan minyak wangi tercipta.
Rata-rata memuji minyak wangi dihasilkan Aien persis koleksi premium diketengahkan oleh pasaran ketika itu.
Minat mendalam terhadap dunia minyak wangi bagaimanapun membuatkan Aien nekad untuk keluar dari dunia korporat sebagai pengurus kanan pemaju hartanah.
Aien mula beralih angin dan banyak menghabiskan masa mencari ilmu tentang dunia selok-belok penghasilan minyak wangi terbaik.
Bakat dan kreativiti dimiliki, kemudian membawa kepada langkah penyelidikan dan pembangunan untuk wanita tersebut menjadikan hobi sebagai sumber pendapatan sekitar 2013.
Perancangan untuk menghasilkan jenama minyak wangi sendiri membuatkan Aien mula mengembara ke Turkiye, Greece, Perancis dan Sepanyol selama lebih dua tahun.
Pengembaraan ke negara terkenal dengan pengeluaran minyak wangi terbaik atau dikenali the nose itu memberikan pelbagai pendedahan.
“Saya mahu melakukan perbezaan dalam menawarkan haruman kepada pengguna.
“Pada masa sama, ingin menggunakan produk atau bahan terbaik untuk menghasilkan haruman premium,” jelasnya yang mula melancarkan jenama Olfac3 Perfumes ke pasaran tempatan pada Jun 2016.
Perancangan menghasilkan jenama minyak wangi sendiri membuatkan Aien mula mengembara ke beberapa negara.
Jenama
Ujarnya, Olfac3 Perfumes, membawa maksud perkataan olfactory yang juga teknik sastera bagi membangkitkan imej atau gambaran menarik minat dan deria bau.
Jenama itu turut menjadi landasan perkongsian cinta dan minat pengasas berkenaan terhadap dunia dan dia percaya haruman dapat memberikan kegembiraan, keseronokan dan kenangan.
Koleksi pertama dilancarkan Olfac3 adalah haruman berasaskan aroma bunga mawar kerana nilai bunga itu berharga dalam dunia minyak wangi dan aromaterapi.
Katanya, pemilihan aroma itu juga sebagai penghormatan kepada empat tokoh wanita terkemuka dalam sejarah Islam iaitu Maryam, Khadijah, Fatimah dan Asiyah.
Bermula dengan haruman berbentuk salap, Olfac3, kemudian beralih kepada rangkaian eau de parfum.
Kemudian, Aien melancarkan koleksi Skin, haruman uniseks dengan sentuhan aroma menyegarkan seperti sitrus, rempah ratus dan kayu yang menyejukkan.
Pakar ini menggunakan produk dan bahan terbaik untuk menghasilkan haruman premium.
“Permulaan berniaga saya banyak menyertai bazar di pusat beli-belah seperti Bangsar Shopping Centre dan Publika, Kuala Lumpur.
“Dari situ, saya mendapat maklum balas mengenai haruman dicari pelanggan. Mereka juga menggemari koleksi dihasilkan saya sendiri,” ujarnya jenama itu turut dijual secara dalam talian dan di rangkaian fizikal.
Mengakui dirinya ibarat ‘ketagihan’ untuk mencipta haruman, setiap koleksi haruman turut menyelitkan komposisi pengaruh Asia. Inilah salah satu ciri yang membezakan jenama berkenaan dengan jenama haruman lain.
Diilhamkan oleh persekitaran, destinasi, individu dan pengalaman, tuturnya, haruman disediakan sentiasa memberikan nafas baharu dan segar.
Jelasnya, permulaan ciptaan minyak wangi memerlukan masa untuk proses cuba adun sampel sehingga berpuas hati dengan produk akhir sebelum dihantar kepada pengeluar wangian.
Pengeluar wangian mendapat perhatian wanita itu adalah dari pelbagai negara Perancis, Sweden dan Hong Kong bergantung pada keperluan bahan untuk menghasilkan minyak wangi.
“Setiap rekaan diketengahkan mampu mengimbau memori tanpa sedar. Itulah kekuatan minyak wangi,” ujarnya.
Aien memberikan sentuhan kepada pencinta pulau menerusi aroma menggamit kenangan.
Bali
Perusahaan minyak wangi Olfac3 Perfumes, kini berkembang kepada lebih 15 haruman. Haruman paling mendapat sambutan adalah koleksi Ombak.
Katanya, Ombak yang menggabungkan kesegaran dan keenakan aroma bunga megimbau kenangan sewaktu bersama ibunya, Amizan Zakariah dan tafsiran peribadi terhadap laut.
“Banyak kenangan manis saya dengan laut. Antaranya, memori setiap hujung minggu saya dan ibu berkunjung ke pantai Port Dickson, Negeri Sembilan.
“Selain itu, haruman seperti Borneo, Matahari, Aphrodite, Amun-ra dan Bois De L’Lest juga antara pilihan yang mendapat sambutan.
"Setiap satu koleksi itu menampilkan elemen mewah, karismatik, berani dan menggoda mengikut kesesuaian cita rasa,” jelasnya.
Koleksi Ombak turut memenangi Anugerah Best Fresh Fragrance of the Year bagi Her Beauty Awards 2019.
Haruman kompleks itu turut mengeluarkan sembilan koleksi khas untuk Golden Members, yang juga pembeli dan pengguna setia jenama tersebut.
Aien juga mencipta enam minyak wangi dalam rangkaian Kembali diilhamkan oleh pemandangan dan bau Bali menerusi Nusa, Senja, Pura, Karma, rama dan Shinta.
Ini adalah eksklusif untuk pembelian di Bali, Indonesia walaupun ia tersedia untuk ahli Golden Circle.
“Saya kini menetap di Bali kerana pulau itu begitu indah dan dekat dengan saya. Saya juga memberikan sentuhan kepada pencinta pulau menerusi aroma menggamit kenangan,” ujarnya lanjut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram