WANITA berasal dari China, Wang Shuo muncul sebagai salah seorang individu termuda dan terkaya di negaranya setelah disenaraikan dalam Hurun China Rich List 2024 dengan kekayaan bersih bernilai 8.5 bilion yuan (kira-kira RM5 bilion).
Selepas senarai orang kaya Tanah Besar China itu diterbitkan pada 29 Oktober, nama Shuo, 35, menjadi sebutan ramai.
Lebih menarik, dia juga tersenarai dalam Richest Self-Made Women in America 2024 oleh Forbes, namun Forbes menganggarkan kekayaannya sebanyak dolar Amerika Syarikat (AS) $850 juta (kira-kira RM38 juta), menduduki tempat ke-39 dan berkongsi kedudukan dengan ikon muzik pop, Madonna.
Shuo turut mencuri perhatian sebagai salah seorang wanita termuda dalam senarai itu, memandangkan kebanyakan yang lain berusia lebih 60 tahun.
Persoalannya, siapakah Wang Shuo dan bagaimana dia berjaya mengumpulkan kekayaan sebanyak itu?
Shuo tersenarai dalam Richest Self-Made Women in America 2024 oleh Forbes, berkongsi kedudukan dengan ikon muzik pop, Madonna.
Perjalanan dari Shenyang ke AS
Dilahirkan di Shenyang, wilayah Liaoning di timur laut China, Shuo berpindah ke AS bersama ibunya pada usia 16 tahun dan menetap di Baltimore, Maryland.
Ketika di sekolah menengah, dia membantu ibunya dengan menjual skuter di pasar lambak pada hujung minggu.
Walaupun masih baru dengan bahasa Inggeris, keperibadian Shuo yang mesra dan senantiasa bersemangat membantu meningkatkan jualan.
“Itulah pengalaman pertama saya dalam berniaga. Saya perlu belajar cara menjual supaya dapat membantu ibu,” katanya kepada Forbes.
Pengalaman awal itu menjadi langkah pertama Shuo dalam dunia keusahawanan. Dia juga menyedari pentingnya menawarkan sesuatu yang unik.
“Jika semua orang menjual makanan dan hasil tani, tetapi kami menjual skuter, itu pastinya memberi kami kelebihan,” jelasnya.
Cipta Aeris Cleantec
Dalam kesibukan membantu perniagaan keluarga, wanita cantik ini berjaya melanjutkan pengajian ke Massachusetts Institute of Technology (MIT).
Dia menamatkan pengajian ijazah sarjana muda dalam kejuruteraan mekanikal dengan fokus pada robotik, sebelum memulakan pengajian sarjana.
Semasa di MIT, Shuo bertemu Alex Bouaziz, yang kemudian menjadi rakan kongsi perniagaannya.
Pada 2015, Shuo mengambil keputusan besar untuk meninggalkan pengajian siswazahnya dan menubuhkan Aeris Cleantec AG, sebuah syarikat yang menghasilkan penapis udara berkualiti tinggi.
Sebagai Ketua Pegawai Teknologi Aeris, dia kembali ke Beijing untuk mereka bentuk dan menghasilkan produk tersebut sebelum menjualnya ke pasaran antarabangsa.
Pada 2021, Aeris dibeli oleh iRobot dengan nilai sekitar AS$100 juta (kira-kira RM4 juta), memberikan keuntungan besar pertama kepada Shuo dan mengukuhkan reputasinya sebagai usahawan berkaliber.
Shuo mengambil keputusan besar untuk meninggalkan pengajian siswazahnya dan menubuhkan Aeris Cleantec AG.
Trend kerja jarak jauh
Shuo bersama Bouaziz dan Ofer Simon menubuhkan Deel pada 2019, sebuah syarikat yang memfokuskan pada perkhidmatan sumber manusia untuk pekerja jarak jauh.
Syarikat berkenaan mampu memudahkan proses penggajian, pengambilan pekerja dan imigresen bagi syarikat yang memiliki kakitangan bekerja secara jarak jauh.
Idea itu timbul ketika pandemik Covid-19 melanda dunia, apabila Shuo melihat potensi besar dalam trend kerja jarak jauh.
Melalui perancangan rapi dan wawasan tepat pada masanya, Deel dilancarkan dengan pantas dan mula berkembang pesat.
Dedikasi wanita itu terhadap kejayaan Deel terbukti melalui etika kerjanya.
Dia sering bekerja dari pukul 8.30 pagi hingga 11 malam, dengan hanya berehat seketika untuk bersenam sebelum makan malam.
Lebih mengagumkan, dia secara peribadi menemuduga 400 pekerja pertama Deel untuk memastikan budaya kerja syarikat kekal konsisten dan selaras dengan visinya.
Bermula dengan menjual skuter di pasar lambak hingga menerajui syarikat bernilai berbilion dolar, perjalanan hidup Shuo membuktikan bahawa keberanian, dedikasi dan keupayaan mencari peluang boleh membuka jalan kepada kejayaan luar biasa. — The Star/YATING YANG
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram