Tiada keperluan tangguh SPM, STPM — KP Pendidikan


  • Primer
  • Isnin, 02 Dis 2024

Azman Adnan (kiri) mengadakan tinjauan ke beberapa buah sekolah terjejas dengan banjir.

KEMENTERIAN Pendidikan menyifatkan tiada kepentingan untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ditangguh susulan isu bencana banjir yang melanda negara ketika ini.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan menjelaskan pihaknya mempunyai mekanisme komprehensif bagi menangani isu calon SPM dan STPM yang dilanda banjir.

BACA LAGI: Lebih 800 sekolah seluruh negara berisiko terjejas banjir

BACA LAGI: [VIDEO] Sering dilanda banjir, penduduk Pantai Timur boleh 'pujuk' kerajaan tiru inovasi pod kapsul

"Menerusi Ops Payung, Kementerian Pendidikan yakin isu melibatkan pelajar yang menduduki peperiksaan semasa bencana itu dapat diuruskan dengan baik.

"Kami telah melaksanakan mekanisme dan bersiap sedia untuk menghadapi musim tengkujuh yang berlaku hampir setiap tahun di seluruh negara, khususnya di negeri-negeri Pantai Timur.

"Jadual peperiksaan telah disusun dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk kemungkinan banjir. Jika kita tangguhkan, ia akan menjejaskan banyak perkara termasuk kemasukan pelajar ke universiti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses pembersihan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Payong, Terengganu yang dilanda banjir di Hulu Besut pada Isnin.

Sementara itu, Kementerian Pendidikan difahamkan akan mengenal pasti kerosakan dialami 132 buah sekolah yang dilanda banjir di seluruh negara dan sedang menunggu laporan daripada Jabatan Pendidikan Negeri.

Tambahnya, setakat ini hanya Sekolah Kebangsaan Tembila di Besut yang masih dinaiki air manakala 28 lagi sekolah yang dilanda banjir di Terengganu sedang menjalani kerja-kerja pembersihan pasca banjir. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram