FENOMENA cuaca di Malaysia boleh dicirikan oleh dua rejim monsun iaitu Monsun Barat Daya yang bermula dari akhir Mei hingga September dan Monsun Timur Laut dari November hingga Mac.
Berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) di bawah Kementerian Sumber Asli dan Keselamatan, Monsun Timur Laut kebiasaannya menyebabkan hujan lebat terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia termasuk barat Sarawak dan timur Sabah.
Manakala, Monsun Barat Daya secara relatifnya memberi impak cuaca yang lebih kering.
Fasa peralihan monsun di Malaysia. — MetMalaysia
Tempoh peralihan di antara dua monsun itu dikenali sebagai fasa peralihan monsun sekali gus memberi impak besar kepada masyarakat dan kawasan setempat apabila berlakunya banjir besar.
Sebut sahaja tentang banjir, tidak dapat dinafikan lagi ia menjadi antara bencana paling kerap berlaku iaitu hampir setiap tahun di negara ini.
Kejadian banjir terburuk pernah direkodkan adalah pada 2014 yang menyaksikan lebih 300,000 penduduk di Kelantan, Terengganu dan Pahang terpaksa dipindahkan.
Tragedi digelar 'bah kuning' itu sekali gus menjejaskan urusan harian serta kemusnahan harta benda.
Sama seperti keadaan di ibu kota Kuala Lumpur pada 22 Ogos lalu apabila dibanjiri dan ditenggelami air akibat hujan lebat berterusan.
Penduduk terjejas dengan banjir pada masa sama selalunya berdepan kesukaran untuk bergerak ke sesuatu lokasi sehinggakan ada yang terpaksa menggunakan bot kecil atau sampan terutamanya di kawasan luar bandar.
Individu terjejas terpaksa menggunakan sampan atau bot kecil sebagai medium pergerakan. — Gambar hiasan
Namun, dengan perkembangan teknologi kini membuatkan orang ramai lebih kreatif dan inovatif dalam aspek infrastruktur bangunan lebih sistematik sebagai persediaan ketika banjir.
Idea pembinaan rumah terapung merupakan inisiatif yang pernah dicipta oleh beberapa penduduk tempatan dengan menggunakan bahan seperti tong dram plastik di bawah rumah.
Alternatif yang bermodalkan sekitar RM1,000 itu juga memerlukan kira-kira 16 atau lebih tong dram plastik dan diletakkan di bawah tapak khususnya rumah kayu bagi membolehkan ia terapung dan tidak ditenggalami air.
Rumah tersebut pula diikat pada batang pokok besar supaya tidak hanyut sekiranya berlaku arus deras.
Inovasi itu ternyata berhasil menjadi penyelamat pemiliknya seperti yang pernah dialami oleh seorang penduduk di Terengganu.
Rumah terapung yang diberikan nama 'Rumahku, Rakitku' milik Bakar Che Ahmad atau dikenali Pokwe berjaya terapung beberapa kali dan menyelamatkan tiga beranak serta mampu bertahan di atas air selama empat hari.
Inisiatif itu bagaimanapun boleh diperluaskan dengan mencipta teknologi baharu bagi mengurangkan risiko lemas di dalam air seperti yang digunakan di negara lain iaitu Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Jepun sejak 2021.
Kapsul keselamatan ciptaan jurutera dalam industri di IDEA International, Julian Sharpe dengan berbentuk pod bulat direka khas untuk melindungi seseorang jika berlaku bencana alam khususnya banjir dan tsunami.
Diperbuat daripada aluminium gred terbaik dan dindingnya mempunyai ketahanan seperti pesawat sekali gus mampu menahan hentakan kuat, haba serta daya apungan yang tinggi.
Berdasarkan sesi wawancara Julian bersama media antarabangsa, The Sun UK, kapsul itu dilengkapi dengan tali keselamatan, ventilasi udara, oksigen, ruang simpanan bekalan, Sistem Pengesan Kedudukan Global (GPS) bagi memastikan jaraknya dapat dikesan menggunakan rangkaian internet.
Bukan itu sahaja, pemilihan warna yang terang dapat membantu memberi amaran jelas kepada penyelamat terutamanya pada waktu malam.
Reka bentuk kapsul keselamatan banjir yang dicipta. — Agensi
Model tersebut juga dicipta dengan pelbagai saiz yang boleh memuatkan sehingga 10 orang di samping menyediakan ruang selamat sementara menunggu pasukan penyelamat.
Mengikut tempoh ujian yang sudah dilakukan oleh Julian dan pasukannya di Air Terjun Palouse dengan kedalaman air 200 kaki ternyata membuktikan bahawa teknologi berkesan apabila ia mampu terapung bersama seorang individu walaupun terdapat kesan calar sedikit apabila melanggar serpihan batu atau objek tajam.
Tetapi, menurutnya kapsul tersebut direka untuk individu terbabit duduk dalam posisi selamat ketika dihanyutkan ombak atau arus deras.
Teknologi sama justeru boleh dilaksanakan di Malaysia sebagai alternatif lain bagi membantu individu terjejas dengan banjir.
Dengan kemampuan pakar-pakar teknologi kini juga tidak mustahil dapat menghasilkan inovasi tersebut sebagai antara usaha melakukan kerja-kerja kecemasan luar jangka dalam Rancangan Malaysia Malaysia Ke-12 (RMK12). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram