PANDEMIK Covid-19 meninggalkan impak besar kepada ramai pekerja di negara ini, termasuk Zainab Shaari, seorang bekas kerani syarikat insurans yang kini beralih kepada perniagaan burger.
Hubungan kerja rapat dengan majikannya yang berbangsa Cina memberi pengalaman bermakna, dalam tempoh lima tahun berkhidmat.
Namun, segalanya berubah apabila majikannya meninggal dunia akibat kanser payudara, menyebabkan wanita berumur 38 tahun itu terpaksa mencari rezeki di tempat lain.
Zainab mula mempelbagaikan menu menarik seperti burger crispy.
“Selepas bos meninggal dunia, saya teruskan kerja sebagai ejen insurans tapi apabila pandemik datang, agak sukar untuk kejar jualan dalam keadaan macam itu,” katanya kepada Majoriti.
Kongsi Zainab, inspirasi untuk memulakan bisnes muncul ketika melihat adik-adiknya yang pernah mengendalikan gerai burger secara kecil-kecilan.
“Adik-adik dulu ada berniaga burger, tapi mereka buat sekadar suka-suka. Jadi selepas mempertimbangkan beberapa perkara, saya memutuskan untuk menjualnya secara serius bermula Februari 2023 dengan memperkenalkan jenama Enab Burger.
"Masa itu saya masih bekerja sebagai kerani di syarikat lain, jadi siang buat kerja dari rumah, malam pula meniaga burger," ujarnya yang kemudian mengambil keputusan untuk berhenti bagi memberi fokus sepenuhnya terhadap perniagaan.
Zainab (dua dari kiri) bersama kedua adiknya (kiri dan kanan) serta anak (dua dari kanan), yang sering membantu membangunkan bisnes.
Dengan modal permulaan kira-kira RM250, wanita berasal dari Kampung Londang, Masjid Tanah, Melaka ini membuka gerai burger menggunakan kanvas kecil sebagai tempat berniaga di Desa Pandan, Ampang, Kuala Lumpur pada 2022.
Sokongan suami, yang memberi idea untuk menawarkan set burger mampu milik kepada penduduk setempat, terutamanya pelajar, turut menjadi pemangkin buat ibu kepada dua cahaya mata tersebut.
“Suami banyak kembangkan idea untuk bisnes, antaranya menghasilkan beberapa set jimat seolah-olah di restoran makanan segera.
"Penduduk di kawasan ini ramai pelajar, jadi kami cuba tawarkan harga yang berpatutan untuk golongan tersebut,” tambahnya.
Tortilla wrap (kiri) merupakan antara menu popular di Enab Burger.
Sos lada hitam homemade
Dengan kreativiti suami dan pengalaman memasak burger bersama adik-beradik, perniagaan kecil-kecilan itu mula mencambahkan hasil.
Menurut anak kelapan daripada 11 beradik itu, tawaran beberapa pakej menarik ditambah harga mampu milik, juga menjadi faktor kepada sambutan hangat yang diterima dalam kalangan pelanggan.
Zainab berkata, dia mencuba pelbagai inisiatif untuk menonjolkan kelainan dalam setiap menu ditawarkan.
Tambahnya, ia termasuk mencipta sos lada hitam resipi sendiri (homemade), yang akhirnya menarik lebih ramai pelanggan untuk mengunjungi gerainya.
"Kalau dulu kita jual burger ayam dan daging biasa sahaja, namun sekarang kami mula mempelbagaikan menu menarik seperti burger crispy dan tortilla wrap yang kini menjadi pilihan pelanggan.
"Kita ada empat pakej Set Jimat dengan tawaran harga serendah RM6 hingga RM10," ceritanya lagi.
Enab Burger kini beroperasi di Desa Pandan, Ampang.
Hujan ribut
Meskipun kini Enab Burger sudah memiliki pelanggan tetapnya sendiri, perjalanan perniagaan buat Zainab tidaklah semudah disangka.
Pada awalnya, dia mengakui sambutan agak kurang memberangsangkan, dengan burger yang dijual setiap hari juga tidak kurang daripada 10 sahaja.
Situasi itu menyebabkan usahawan ini lelah, malah pernah juga dia berkira-kira untuk menutup perniagaannya.
Zainab memperkenalkan Set Jimat dengan harga mampu milik.
"Namun suami selalu bagi semangat dengan mengatakan bahawa ini semua adalah lumrah dalam berniaga.
"Katanya, tak semestinya kita buat bisnes hari ini, esok terus naik. Memang akan makan masa, mungkin dua atau tiga bulan orang akan nampak. Jadi saya bertahan sahajalah," tuturnya sambil mengimbau peristiwa lalu.
Menggunakan khemas kanvas sebagai bumbung, Zainab juga tidak terlepas daripada ditimpa ujian dek cuaca yang tidak menentu.
Mengimbau semula insiden pada tahun lalu, ujarnya, hujan dan ribut yang melanda kawasan tersebut menyebabkan peralatan memasaknya bertaburan.
“Hujan ribut buat semua (peralatan) terlungkup. Akhirnya (saya terpaksa) pinjam duit mak mentua untuk mendirikan tapak gerai baharu yang lebih kukuh,” jelasnya.
Ketika awal berniaga, Zainab menggunakan khemas kanvas sebagai bumbung gerai.
Kini, Zainab dengan bantuan adik-beradik, suami dan anak, berjaya menjual sekitar 80 burger sehari, dengan nilai jualan bulanan mencecah antara RM10,000 hingga RM14,000.
Bagi Zainab, gerai ini bukan sekadar sumber rezeki tetapi juga medan pembelajaran buat ahli keluarga, termasuk anak-anak yang membantu untuk mengumpul wang bagi membeli keperluan sendiri.
Dia juga menyuarakan keinginan untuk membuka gerai tambahan pada masa hadapan, tetapi masih dalam perancangan memandangkan perniagaannya masih baharu.
“Ramai yang suruh buka di tempat lain seperti Bangi atau Kajang, hasrat dan perancangan itu memang ada.
"Namun buat masa sekarang saya lebih kepada ingin memastikan operasi di sini stabil terlebih dahulu dan berharap agar jenama Enab Burger lebih dikenali dan dipercayai,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram