DI sebalik kehijauan ladang koko di Kampung Tambatuon, terdapat kisah inspirasi seorang wanita yang berani mencabar arus untuk mengubah nasib komuniti kampungnya.
Magret Darusin, seorang usahawan tani memiliki semangat yang kuat menghidupkan semula penanaman koko di kampung lamannya bagi tujuan mengeluarkan komuniti tersebut dari kemiskinan.
Magret, berumur 55 tahun dan berasal dari Kampung Tambatuon, bertekad untuk berkongsi kejayaannya dengan penduduk kampung melalui pelbagai inisiatif yang diusahakannya.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Magret Darusin sedang memangkas buah koko dari pokok.
Dia memulakan inisatifnya dengan penanaman padi organik yang menghasilkan beras merah dan tanaman lain sebelum mengembangkan perniagaannya ke penanaman koko yang kemudiannya diproses menjadi biji koko (coco nibs).
Magret Darusin yang juga ibu kepada enam orang anak itu percaya bahawa semangat berpasukan yang kukuh dapat meningkatkan moral, produktiviti dan mewujudkan suasana kerja yang positif.
Dengan strategi tersebut, dia berjaya menggerakkan penduduk kampung termasuk suri rumah untuk menghidupkan semula penanaman koko yang pernah mereka lakukan.
“Setakat ini, kampung kami telah menanam koko semula.
"Terdapat 18 petani aktif menanam koko termasuk saya.
"Pada masa ini, saya mempunyai 300 pokok koko dan boleh menghasilkan sehingga 100 kilogram setiap kali musim tuaian,” katanya.
Biasanya buah koko akan dituai pada bulan Mei dan Disember pada setiap tahun.
Kampung Tambatuon yang terletak di kaki Gunung Kinabalu, kira-kira 32 kilometer dari bandar Kota Belud dan 71 kilometer dari Kota Kinabalu.
Kampungnya terkenal sebagai destinasi pelancongan dan kebanyakan penduduknya adalah petani yang menanam padi organik, koko, getah, nanas dan lada hitam.
Magret berkongsi penanaman koko di kampungnya mula berpoerasi pada tahun 2012 namun terpaksa berhenti akibat kejatuhan harga komoditi pada masa itu.
“Disebabkan harga koko yang rendah ketika itu, kami tidak bermotivasi untuk meneruskan usaha kami, jadi kami tinggalkan ladang koko itu sehingga menjadi semak-samun,” katanya.
Antara produk koko yang dihasilkan bersama-sama komuniti di Kampung Tambatuon.
Namun, kehadiran Persatuan Keusahawanan Sosial Sabah (Sosea) di kampung itu pada tahun 2018 membuka lembaran baharu bagi Magret dan petani koko lain.
Mereka diberi kursus keusahawanan dan bimbingan untuk menghidupkan semula ladang koko mereka yang terbiar.
Keyakinan Magret terhadap potensi industri koko semakin bertambah selepas mendapat bimbingan dari Sosea.
Dia kemudiannya memperoleh lesen untuk memproses biji koko basah dari Lembaga Koko Malaysia (LKM), yang membolehkannya membeli biji koko basah dari petani lain.
Magret menawarkan harga yang kompetitif berbanding pemproses lain untuk meningkatkan semangat petani koko.
"Saya buat begitu kerana saya tidak mahu mereka kehilangan semangat untuk menanam koko.
"Tidak mengapa untuk saya membeli pada harga yang lebih tinggi kerana saya akan mencari cara lain untuk mencapai titik pulang modal," katanya.
Untuk menarik minat penduduk kampung terutamanya suri rumah untuk menceburi industri koko, Magret mengembangkan produk koko seperti serbuk koko, bar coklat dan koko kisar yang dijual kepada sebuah syarikat coklat swasta serta individu.
“Kami melibatkan suri rumah supaya mereka boleh menjana pendapatan dan seterusnya membantu meningkatkan ekonomi keluarga mereka,” katanya.
Magret juga berharap dapat merealisasikan impiannya untuk menjadikan kampungnya sebagai pengeluar koko yang terkenal sambil berusaha membina jenama coklatnya sendiri.
Usaha itu dijangka dapat dicapai tidak lama lagi apabila kilang coklat mini yang dibangunkan dengan bantuan Bank Islam siap sepenuhnya.
Pusat Pemprosesan Koko, Kluster Koko Kampung Tambatuon yang diuruskan oleh Magret.
Selain itu, Magret juga bertanggungjawab menguruskan Pusat Pemprosesan Koko, Kluster Koko Kampung Tambatuon yang merupakan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.
Melangkah ke hadapan, Magret merancang untuk menambah sekitar 2,000 pokok koko lagi merangkumi kawasan seluas kira-kira 2 hektar.
Dia juga bertekad untuk memperkukuh penglibatan golongan muda di kampungnya dalam tempoh dua tahun akan datang.
“Peranan golongan muda amat penting kerana jika kita tidak melibatkan mereka, siapa yang akan meneruskan usaha ini untuk membangunkan industri koko,” katanya sambil menambah beberapa inisiatif telah pun dimulakan termasuk kursus pembuatan coklat.
Apabila ditanya mengenai motivasinya, Magret berkata, dia sememangnya suka membantu komuniti secara sukarela.
Katanya, ia memberi peluang kepada para petani, ibu-ibu dan suri rumah untuk merasa dihargai dan dapat menyumbang sambil menjana pendapatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram