'Baik jadi bos diri sendiri,' bekas eksekutif pelancongan lebih 'bebas', ambil alih bisnes sayur nenek di pasar Batu Lanchang


  • Bizz
  • Isnin, 25 Nov 2024

Gayathiri meneruskan perniagaan neneknya di pasar Batu Lanchang, George Town, Pulau Pinang.

MEMILIKI ijazah sarjana muda, S. Gayathiri, 33, menghabiskan lapan tahun untuk membina kerjaya sebagai eksekutif pengurusan pelancongan.

Bagaimanapun pandemik Covid-19 yang melanda dunia bukan sahaja menjejaskan sektor pelancongan, malah menyebabkan dirinya kehilangan pekerjaan.

Dalam situasi sukar itu, Gayathiri melihat peluang dalam perniagaan yang dijalankan keluarga selepas mendapati bisnes sayur neneknya di pasar Batu Lanchang, Jelutong, Pulau Pinang terus mendapat sambutan baik walaupun dalam tempoh pandemik.

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

BACA LAGI: Gabung piza dan kopi 'culture', 4 usahawan muda ada rahsia pilih doh NY, sasar buka 108 cawangan Mokky’s

“Ketika membantu nenek, saya sedar adalah lebih baik jika saya menjadi bos kepada diri sendiri,” katanya.

Enggan menoleh ke belakang, Gayathiri akhirnya memutuskan untuk mengambil alih perniagaan tersebut.

Menguruskan perniagaan sendiri bagi Gayathiri, memberi lebih banyak kebebasan dan kelebihan kepadanya.

Namun, dirinya masih memegang tanggungjawab untuk memastikan gerainya beroperasi pada waktu puncak bagi memenuhi keperluan pelanggan.

“Saya bekerja setiap hari dan jarang bercuti. Malah semasa Deepavali, saya hanya menutup gerai selama empat hari. Pelanggan juga kerap hubungi untuk bertanya waktu operasi semula,” ujarnya.

Berbekalkan pengalaman dalam sektor pelancongan, Gayathiri sentiasa meletakkan perkhidmatan pelanggan sebagai keutamaan.

Usahawan wanita itu turut memperkenalkan sistem pesanan dalam talian untuk pelanggan tetap selain menawarkan penghantaran terus ke rumah.

“Ramai yang tiada masa untuk ke pasar, jadi perkhidmatan ini memudahkan mereka. Ia juga dapat menarik lebih ramai pelanggan terutamanya selepas pandemik,” tambahnya.

WhatsApp Image 2024-11-21 at 18.06.16

Peng Peng mengambil alih perniagaan menjahit ibunya.

Fleksibiliti masa

Sementara itu, tukang jahit, Chew Peng Peng, 46, sudah menjangkakan bahawa dia akan mengambil alih perniagaan ibunya suatu hari nanti.

“Ibu bekerja keras untuk membina perniagaan ini dan saya mahu meneruskannya.

"Dengan peningkatan pembelian pakaian secara dalam talian, permintaan untuk perkhidmatan jahitan dan ubah suai pakaian juga semakin meningkat,” katanya.

Bagi Peng Peng, bekerja sendiri memberikan lebih fleksibiliti kepadanya, terutama dari segi masa.

“Saya boleh menjaga anak-anak kerana tidak terikat dengan mana-mana majikan,” katanya.

Sepupunya, Chai Li Yin, 24, turut menyertai perniagaan tersebut selepas menjalani latihan selama tujuh tahun.

“Saya tertarik dengan seni jahitan ini. Ibu bapa mahu saya bekerja di kilang, tetapi saya tidak suka jadual waktu yang ketat.

“Bekerja di sini bukan sahaja memberikan saya pendapatan, tetapi juga fleksibiliti masa,” jelasnya.

Walaupun tidak menyumbang kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Li Yin berkata, dirinya mempunyai kaedah lain untuk menyimpan.

“Saya memperoleh lebih banyak pendapatan apabila bekerja lebih lama dan saya suka pekerjaan ini kerana sentiasa ada permintaan,” tambahnya.

Kisah Gayathiri dan Peng Peng mencerminkan bagaimana pandemik Covid-19 membuka peluang kepada mereka untuk menguruskan perniagaan keluarga, memberikan bukan sahaja kebebasan tetapi juga kepuasan diri.

Dengan usaha gigih dan keupayaan menyesuaikan diri, mereka kini menikmati kejayaan dalam bidang masing-masing. — The Star/N.Trisha

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram