MENTERI Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir memaklumkan pihaknya sedang menunggu laporan berhubung kematian seorang kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan atau juga dikenali dengan singkatan Palapes yang dulunya dikenali sebagai ROTU dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.
"Kami akan menunggu laporan daripada pihak berkuasa," katanya pada Rabu.
Sebelum ini, media melaporkan, mangsa, Muhammad Amir Rusyaidi Muhammad Zaidi meninggal dunia pada 13 November lalu selepas menjalani sesi latihan tidak berjadual yang didakwa melibatkan penderaan fizikal.
BACA LAGI: Doktor antara 8 rakyat Malaysia saman kerajaan, WHO berhubung kesan vaksin Covid-19
BACA LAGI: Kes buli UPNM: 5 pegawai kadet ditamatkan perkhidmatan, kena bayar ganti rugi
Zambry menyatakan bahawa pihaknya sedang menunggu laporan berhubung kejadian tersebut.
Dalam laporan polis yang dibuat, bapa mangsa, Muhammad Zaidi Abdul Rahman mendakwa anaknya mengalami pelbagai penderaan termasuk dipijak dadanya, dipaksa melakukan aksi seperti kuda dengan ditunggang jurulatihnya.
Zaidi juga mendakwa anaknya dipaksa melompat seperti kanggaru.
Insiden yang didakwa berlaku pada 10 November lalu itu sempat dirakam oleh jurulatih terbabit.
Mangsa berusia 25 tahun itu juga didakwa dibiarkan pengsan di tengah padang dan di bawah terik matahari selama kira-kira 30 minit.
Lebih mengecewakan Zaidi apabila anaknya dibiarkan tanpa pertolongan kecemasan dan tidak menghubungi ambulans untuk membantu.
Menerusi laporan sama mengatakan bahawa dia yang bergegas membawa mangsa ke pusat perubatan di UiTM berhampiran berbanding Hospital Shah Alam, Selangor ketika itu.
Susulan kejadian itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim dilaporkan sedang menyiasat kejadian tersebut sebagai kematian mengejut.
Manakala, Timbalan Komandan Palapes UiTM, Ariff Md Ab Malik menggesa agar siasatan rapi dilakukan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum sebarang tindakan tatatertib diambil terhadap pegawai terbabit. — The Star/JAAYNE JEEVITA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram