Kes buli UPNM: 5 pegawai kadet ditamatkan perkhidmatan, kena bayar ganti rugi


  • Primer
  • Rabu, 27 Nov 2024

Seramai lima kadet UPNM yang terlibat dalam kes buli akan dibatalkan pelantikannya. — Gambar hiasan/The Star

MESYUARAT Majlis Angkatan Tentera Malaysia (MAT) bersetuju membatalkan pelantikan lima kadet daripada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang terbabit dalam tiga kes buli di universiti itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kesemua kadet terbabit juga perlu membayar pampasan kepada kerajaan berdasarkan jumlah perbelanjaan yang ditanggung sepanjang tempoh pengajian mereka.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat berikutan cadangan daripada Akademi Latihan Ketenteraan (ALK).

BACA LAGI: Pelatih UPNM pijak junior guna 'spike boot' hingga parah mengaku tak bersalah

BACA LAGI: [VIDEO] Kalah 5 perlawanan berturut-turut, Pep Guardiola tertekan sampai cakar muka09:48 AM

3030080

Terdapat pelatih lain yang pernah dihadapkan ke mahkamah kerana terlibat dalam kes buli. — Gambar hiasan

Menurutnya, ALK mengesyorkan tindakan terhadap lima orang pelaku tersebut kepada MAT termasuklah pembatalan pelantikan sebagai Pegawai Kadet (PK), pemberhentian kerja daripada perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan mengenakan bayaran ganti rugi kepada Kerajaan Malaysia yang dikira daripada keseluruhan perbelanjaan yang telah dibelanjakan sepanjang tempoh pengajian.

"Ia melibatkan tiga kes iaitu penganiayaan terhadap PK Muhammad Salman Mohd Saiful Surash yang dilakukan oleh PK Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan.

"Kes penganiayaan itu melibatkan tekapan seterika ke dada mangsa oleh pelaku yang dikesan jurulatih bertugas ALK semasa melaksanakan pemeriksaan tubuh berkala pada 28 Oktober 2024.

"Susulan itu, satu siasatan dijalankan dan mendapati PK Amirul Iskandar, pelajar jurusan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (pengambilan 2021) telah melakukan penganiayaan fizikal terhadap mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pelaku dibatalkan pelantikan sebagai PK, ditamatkan perkhidmatan dalam ATM dan dikenakan bayaran ganti rugi kepada Kerajaan Malaysia sejumlah RM44,600.20.

Pelaku juga sudah dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan pada 8 November lalu dan prosiding masih berjalan.

Manakala, bagi kes kedua pula adalah penganiayaan terhadap PK Alief Ahsreihan Ahslemy melalui maklumat awal yang diterima oleh Ketua Kompeni daripada seorang pensyarah di UPNM.

Beliau berkata, pihak atasan ALK mengarahkan untuk satu siasatan segera dijalankan.

Pelaku, PK Izzat Izuddin Mohammad Arif yang merupakan pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Pertahanan (pengambilan 2021) mengarahkan pelaku kedua, PK Muhammad Hidayat Haqimi Mohd Yuslan untuk mengenakan Hukuman Pembetulan (Corrective Punishment) terhadap mangsa, bertentangan dengan peraturan ditetapkan di bawah Perintah Tetap PK ALK.

Ia juga melibatkan pelaku ketiga, PK Ku Muhammad Irfan Ku Zaimi, pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Pengambilan 2021) membuat tindakan salah laku secara fizikal dan tindakan pengasingan yang menyebabkan gangguan emosi terhadap mangsa.

"Ketiga-ketiga pelaku dibatalkan pelantikan sebagai PK, ditamatkan perkhidmatan dalam ATM dan masing-masing dikenakan bayaran ganti rugi kepada Kerajaan Malaysia sejumlah RM48,452.75, RM19,481.70 dan RM44,600.20.

"Kes ketiga pula melibatkan penganiayaan terhadap PK Yeong Kian Rui yang mana pelakunya, PK Ammar Hafiy Muhammad Habib melakukan tindakan salah laku secara fizikal yang menyebabkan kecederaan soft tissue injury over lower back secondary to trauma kepada mangsa.

"Kes ini yang dikenal pasti selepas jurulatih merasa curiga ketika mangsa meminta untuk mendapatkan rawatan perubatan," jelasnya.

Pelaku dibatalkan pelantikan sebagai PK, ditamatkan perkhidmatan dalam ATM dan dikenakan bayaran ganti rugi kepada Kerajaan Malaysia sejumlah RM32,115.95.

Beliau pada masa sama ingin menegaskan bahawa Kementerian Pertahanan sama sekali tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penganiayaan dalam mana-mana institusi ketenteraan dan akan terus menambah baik mekanisme pencegahan bagi mengelakkan kejadian penganiayaan berulang.

"Kami memberi komitmen untuk memastikan sebarang tindakan yang bertentangan dengan etika dan peraturan yang telah ditetapkan akan ditangani dengan tegas dan keras.

"Kami berharap agar keputusan ini menjadi pengajaran kepada semua pihak serta dapat memulih dan memperkasa nilai-nilai ketenteraan (military value) yang sepatutnya diamalkan," tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram