KETIKA ini, negara kita sedang dilanda musim graduasi dengan ramai pelajar institusi pengajian tinggi sah bergelar graduan menerusi majlis konvokesyen disertai mereka.
Namun begitu, kehangatan musim tersebut tidak terhenti di Malaysia kerana ia turut dirasai dekat satu lagi negara Asia iaitu Uzbekistan.
Hal ini kerana, salah seorang bintang Liga Malaysia turut meraikan kejayaan berjaya menamatkan pengajian sekali gus menjadi sebahagian daripada kelompok footballers with brain.
BACA LAGI: [VIDEO] Bek Selangor dibuang padang aksi kelayakan Piala Dunia, mujur 'keeper' jadi hero
Pemain yang dimaksudkan adalah bintang pertahanan Selangor FC iaitu Umar Eshmurodov. Menerusi satu hantaran dikeluarkan oleh pihak kelab, pertahanan tengah itu berjaya menamatkan pengajian dalam peringkat ijazah sarjana muda di Karshi State University, Uzbekistan.
Menurut kelab, Eshmurodov menamatkan pengajiannya dalam Ijazah Sarjana Muda Budaya Fizikal yang merupakan sebahagian daripada cabang sains sukan.
"Kami ingin mengucapkan tahniah kepada Umar Eshmurodov di atas kejayaannya bergraduasi dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Budaya Fizikal daripada Karshi State University, Uzbekistan.
"Kerja keras dan dedikasi anda sudah terbalas dan semoga masa depan anda akan dipenuhi dengan nikmat dan kejayaan," kata Selangor.
Pencapaian Eshmurodov itu seiring dengan apa yang diraih oleh penjaga gol Sri Pahang FC iaitu Azfar Arif yang turut bergelar graduan pada tahun ini.
Azfar merupakan graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (Kepujian).
Kejayaan membanggakan Eshmurodov dan Azfar itu menjadikan mereka sebagai sebahagian daripada nama-nama bintang bola sepak negara yang menggenggam ijazah seperti Mahali Jasuli dan K. Reuben. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram