'Hikmah tak jadi kahwin', Umar guna modal duit pernikahan bina perniagaan rumah inap, raih pendapatan hampir sejuta sebulan


  • Bizz
  • Rabu, 12 Feb 2025

Umar (kiri) pada awalnya memulakan perniagaan rumah inap sejak ketika belajar di AS.

SEMASA sedang melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat (AS), Umar Abdul Aziz, 31, sering kali tinggal berseorangan di rumah disewa bersama rakannya ketika setiap kali tiba cuti musim panas.

Pada waktu itu, Umar yang juga berasal dari Shah Alam, Selangor berkata, lazimnya, rakan rumah akan pulang ke Malaysia untuk tempoh waktu lama.

Ini kerana, di negara tersebut, tempoh cuti musim panas adalah agak panjang iaitu kira-kira tiga hingga empat bulan.

BACA LAGI: 'Walau penuh ranjau, percayalah ia berbaloi diharungi', keluarga Tun Daim kongsi pesanan Allahyarham mahu lihat Malaysia lebih baik

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

Situasi tersebut kemudiannya menimbulkan idea kepadanya untuk mengubah bilik di rumah berkenaan untuk dijadikan tempat inap. Umar mula mengiklankannya di platform sewaan dalam talian Airbnb yang ketika itu sudah mula bertapak di AS.

Graduan bidang perniagaan dan pemasaran daripada Universiti Drexel, Philadelphia, AS, tersebut berkata, langkah itu dilakukannya ketika beliau masih menuntut dalam tahun kedua pengajiannya di sana.

Bermula dengan rumah sewaan sendiri, beliau kemudian menyewa sebuah lagi rumah untuk dijadikan rumah inap.

"Bila saya sewa rumah sendiri dan buat kira-kira, saya boleh dapat pulangan yang positif jika sewa sebuah rumah lagi.

"Jadi sebab itu saya ambil langkah untuk sewa rumah lain.

"Tambahan pula, untuk waktu itu, pendapatan yang saya perolehi juga agak tinggi bagi seorang pelajar," katanya kepada Majoriti.

640387-img-lg

Antara rumah inap yang dioperasikan oleh Umar. — SmartHomestay

Menurutnya, pada waktu itu, beliau memperoleh pendapatan agak lumayan iaitu sebanyak kira-kira AS$2,000 (RM8,932).

Ujarnya, perniagaan rumah inap tersebut dijalankannya ketika musim panas kemudiannya diteruskan selama dua tahun sehingga dia pulang ke Malaysia pada sekitar 2017.

Sebaik pulang ke tanah air, Umar pada awalnya bekerja sebagai pegawai pemasaran platform digital di sebuah rangkaian hotel antarabangsa di Kuala Lumpur.

Penglibatannya dalam industri perhotelan itu didorong antara lain ekoran pengalamannya dalam mengendalikan perkhidmatan rumah inap di AS.

"Jadi bila saya bekerja di situ, saya belajar macam mana industri perhotelan ini beroperasi di Malaysia.

"Pada waktu itu juga saya mula sedar macam mana kebimbangan dialami oleh hotel-hotel di KL terhadap kehadiran platform seperti Airbnb yang mula memasuki pasaran tempatan.

"Ini membuatkan saya lebih bersemangat dan menguatkan lagi kepercayaan saya terhadap potensi yang ada dalam perkhidmatan rumah dan bilik inap di Malaysia," ujarnya.

Titik perubahan

Selepas lebih setahun bekerja, Umar sepatutnya mendirikan rumah tangga bersama gadis pilihannya.

Malah, dia juga sudah membuat perancangan untuk berpindah ke luar negara bagi mengikuti bakal isterinya itu bekerja.

Bagaimanapun, apa yang dirancang tidak menjadi kenyataan apabila teman wanitanya itu membuat keputusan untuk tidak meneruskan perhubungan kira-kira sebulan sebelum tarikh perkahwinan.

"Bila perkahwinan saya tak jadi, tentulah saya kecewa. Tapi pada waktu itu juga saya ada duit simpanan yang sepatutnya digunakan untuk perkahwinan.

"Jadi bila jadi macam itu, saya cakap ok, daripada saya terus bersedih, lebih baik saya gunakan simpanan yang ada untuk buka balik perniagaan yang saya buat sebelum ini," ujarnya.

640389-img-lg

Umar ketika ini mengoperasikan sebanyak 140 rumah inap di dalam negara. — SmartHomestay

Berbekalkan dengan duit simpanan perkahwinan tersebut, Umar berkata, beliau mula membuka perkhidmatan rumah inap dengan menyewa lima buah unit di i-City, Shah Alam.

Ketika itu, katanya, modal permulaan dikeluarkan dianggar kira-kira sebanyak RM75,000.

"Saya ambil keputusan untuk menggunakan model sublet. Maknanya kita buat kontrak dengan pemilik rumah selama satu atau dua tahun, tapi dalam itu ada klausa kata kita akan gunakan rumah ini sebagai tempat inap.

"Alhamdulillah, bila kita buka lima unit itu, bulan pertama sampai bulan ketiga sentiasa penuh.

"Waktu itulah kita tahu bahawa model perniagaan itu turut boleh dilaksanakan di Malaysia," ujarnya yang juga merupakan ketua pegawai eksekutif syarikat perniagaan piza tempatan, Mokky's Pizza.

Hikmah Covid-19

Dengan sambutan yang menggalakkan, Umar bersama seorang rakan kongsinya membuat keputusan untuk menambah jumlah rumah inap yang diuruskan mereka kepada 20 unit.

Proses pengembangan dibuat pada 2019 itu dilakukan beberapa bulan sebelum pandemik Covid-19 dengan menggunakan modal dipinjam daripada keluarga dan kenalan.

Pada peringkat awal tempoh pandemik, Umar mengakui agak risau terhadap kesan bakal dihadapi oleh perniagaannya.

"Sebab bila Covid-19 terjadi, kerajaan arah hotel semua tutup. Bila jadi macam itu, pekerja hotel ini kebanyakannya dah balik ke kampung.

"Namun, beberapa minggu kemudian, kerajaan umum hotel boleh beroperasi kembali. Cuma masalahnya pada waktu itu, hotel ada isu untuk kembali beroperasi sebab pekerja mereka masih di kampung.

"Sedangkan masa itu masih lagi ada orang yang bekerja, keluar melancong dan pergi hospital.

"Jadi Alhamdulillah, waktu itu kami dapat jadi penyedia perkhidmatan kepada orang yang cari tempat penginapan alternatif sebab hotel tak buka," ujarnya yang dibesarkan dalam keluarga terdiri daripada bapa yang bekerja sebagai jurutera dan ibu suri rumah.

Fg-NFzMUYAAy4Jb

Umar ketika ini dibantu oleh 43 orang pekerja. — Twitter/UmarMaggi

Umar berkata, kebanyakan pengembangan unit operasinya juga dilakukan ketika pandemik dibantu dengan peningkatan pendapatan diperolehi mereka pada tempoh tersebut.

Sehingga kini, Umar berkata, dia menguruskan sebanyak 140 unit rumah inap dengan 95 peratus daripadanya terletak di Lembah Klang dan baki lima peratus di Perak dan Melaka.

Ujarnya, pada waktu ini, operasi mereka dibantu 45 pekerja dengan 85 peratus daripadanya bertanggungjawab menguruskan pengemasan dan penyelenggaraan unit manakala selebihnya terbabit dalam aspek pengurusan.

Katanya, daripada 140 buah rumah terbabit, hanya tiga daripadanya adalah unit dibeli manakala selebihnya adalah dijalankan menerusi penyewaan sublet.

Dalam pada itu, untuk mengiklankan perkhidmatannya, mereka masih banyak bergantung kepada platform agensi pelancongan dalam talian atau OTA.

"OTA yang paling banyak menyumbang adalah Airbnb. Selain itu kami juga menggunakan platform lain seperti Agoda dan Booking.com," ujarnya.

Pada masa sama, Umar berkata, pihaknya turut menguruskan platform tempahan sendiri iaitu SmartHomestay untuk mengiklankan perkhidmatannya.

Kataya, buat masa ini, 20 peratus daripada keseluruhan tempahan yang diterima dibuat menerusi platform berkenaan.

"Sebabnya untuk platform OTA, kelemahannya untuk kita adalah dia ambil komisen agak tinggi iaitu sekitar 15 peratus hingga 20 peratus.

"Jadi kalau kita buat sendiri, kita dapat semua tak perlu komisen," kongsinya.

Dalam pada itu, Umar mengakui mereka perlu sedikit kreatif lebih-lebih lagi untuk memastikan agar 140 unit kediaman yang diuruskan sentiasa mendapat tempahan daripada pelanggan.

Selain membuat kerap membuat promosi di platform OTA, anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, dia juga perlu sentiasa peka terhadap sasaran pelanggan yang ingin dicapai.

"Macam Airbnb, mungkin sasarannya lebih kepada orang muda. Booking.com dan Agoda lebih kepada orang luar bandar.

"Pada masa sama, kita juga cuba buat penjenamaan peribadi mengikut keperluan unit rumah inap kami.

"Jadi setiap unit rumah inap kami akan ada akaun Instagram sendiri contohnya," ujarnya.

GYKTYUBaMAA89oe

Antara kediaman rumah banglo yang dioperasikan Umar menjadi rumah inap. — Twitter/UmarMaggi

Menurut Umar, untuk memastikan kemapanan perniagaannya, mereka perlu memastikan mencapai purata kadar huni bulanan sebanyak 60 peratus dan ke atas.

"Kita banyak unit di i-City. Jadi kalau ada acara misalnya di UiTM Shah Alam seperti pendaftaran atau konvokesyen, bulan itu biasanya kadar huninya akan tinggi mencecah 90 peratus hingga 100 peratus.

"Tapi ada bulan yang agak perlahan macam bulan puasa atau raya. Waktu itu biasa mungkin kita dapat kurang 60 peratus.

"Tapi biasanya untuk setahun itu setiap bulan secara purata kita akan pastikan lebih 60 peratus," katanya.

Menurut Umar, pada waktu ini, mereka memperoleh pendapatan bulanan purata antara RM600,000 hingga RM700,000 daripada kesemua unit rumah inap yang dioperasikan.

Bergerak ke hadapan, Umar berkata, mereka menjangkakan peningkatan persaingan penawaran dalam rumah inap khususnya dengan lebih banyak pembinaan bangunan kediaman bertingkat.

Disebabkan itu, katanya, mereka akan mula beralih kepada segmen rumah seperti banglo.

"Sebab rumah banglo ini kita dapati sebenarnya ramai orang yang cari untuk waktu hujung minggu bagi kumpul bersama keluarga.

"Kalau nak pergi resort macam terlalu mahal. Jadi kita cuba penuhi keperluan segmen ini," katanya.

Umar berkata, pada waktu ini, mereka sudah mengoperasikan tujuh buah banglo yang terletak di Lembah Klang, Melaka dan Ipoh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram