SERAMAI lapan rakyat Malaysia termasuk seorang doktor bertindak menyaman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebanyak RM60 juta berhubung dakwaan komplikasi kesihatan dan kematian berikutan vaksin Covid-19.
Plaintif yang berumur antara 26 dan 77 tahun itu memfailkan writ saman melalui Tetuan Mohamad Zainuddin & Co yang memfailkan saman sivil pada 23 Oktober lepas.
Selain Anwar dan WHO, plaintif juga menamakan 23 defendan lain iaitu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan, dan Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.
BACA LAGI: Kes buli UPNM: 5 pegawai kadet ditamatkan perkhidmatan, kena bayar ganti rugi
Plaintif menuntut agar kerajaan menghentikan kewajipan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di Malaysia. — Gambar hiasan/The Star
Bukan itu sahaja, ia juga termasuk Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Datuk Seri Dr Adham Baba dan Khairy Jamaluddin; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Datuk Seri Hamzah Zainudin; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zaliha Mustafa dan bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Permodalan Nasional Bhd, Amanah Saham Nasional Bhd, Parkson Corporation Sdn Bhd dan Lembaga Kemudahan Awam (Singapura) turut dinamakan atas kapasiti mereka sebagai majikan, manakala Pfizer Inc, Pfizer Malaysia dan Sinovac Biotech Ltd dinamakan sebagai pengeluar dan pembekal vaksin Covid-19.
Menurut pernyataan tuntutan, beberapa plaintif mengalami kesan buruk berikutan imunisasi sendiri manakala ada yang kehilangan orang tersayang dikatakan akibat komplikasi kesihatan selepas menerima vaksin.
Dua daripada plaintif merupakan anak kepada ibu bapa masing-masing yang meninggal dunia akibat komplikasi kesihatan selepas mengambil dos Sinovac dan suntikan penggalak, Pfizer.
Seorang lagi plaintif adalah seorang pekerja yang didakwa mengalami strok dan gangguan pertuturan dan kini menggunakan tongkat untuk berjalan selepas mematuhi arahan kerajaan untuk menerima dua dos vaksin Pfizer.
Seorang lagi plaintif pula adalah seorang tukang urut wanita yang mendakwa dirinya sihat sebelum menerima dos pertama Pfizer.
Namun, dia mendakwa mengalami muntah-muntah kronik, sakit kepala teruk dan sakit badan dengan gegaran selepas menerima dos dan kini hanya menggunakan kerusi roda.
Mereka juga menuntut agar kerajaan mengisytiharkan bahawa Covid-19 adalah wabak palsu. — Gambar hiasan/Agensi
Tiga plaintif mendakwa diskriminasi atas keengganan mereka untuk mematuhi polisi syarikat yang melibatkan vaksinasi dan terpaksa mengambil cuti tanpa gaji atau meletakkan jawatan secara sukarela.
Lapan plaintif memohon pengisytiharan mahkamah bahawa Covid-19 adalah wabak palsu dan senjata biologi buatan manusia yang dicipta menyerupai selesema bermusim.
Mereka memohon pengisytiharan bahawa virus hidup itu tidak pernah dibuktikan wujud oleh KKM dan WHO kerana mereka dikatakan gagal menjalankan proses pengasingan mengikut piawaian perubatan.
Plaintif juga memohon pengisytiharan bahawa penggunaan rawatan awal, alternatif atau konvensional seperti ivermectin, hydroxychloroquine, favipiravir, kortikosteroid, colchicine dan ubat-ubatan lain yang serupa tanpa mengambil vaksin harus dibenarkan untuk merawat mangsa Covid-19.
Plaintif seterusnya memohon pengisytiharan dan larangan untuk Anwar, KKM serta pihak kerajaan menghentikan suntikan vaksin Covid-19 dan membatalkan semua jenis dan bentuk program seperti 'Covid-19 Kebangsaan Program Imunisasi (PICK)' dengan segera.
Mereka pada masa sama menuntut RM60 juta sebagai ganti rugi, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. — The Star/NURBAITI HAMDAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram