SEORANG bekas guru berjaya membuktikan bahawa kemahiran dalam bidang kejuruteraan elektronik mampu menjadi batu loncatan untuk membina empayar perniagaan.
Berbekalkan kemahiran ketika Diploma Kejuruteraan Elektronik Industri dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Nassry Mardee Ismail kini mengendalikan perniagaan kamera dan gajet yang semakin dikenali di media sosial.
"Ketika di Tingkatan 5, saya menuntut di sebuah sekolah vokasional dan mengambil kursus elektronik. Waktu diploma pun saya ambil bidang kejuruteraan elektronik industri.
"Jadinya, saya ada kemahiran untuk baiki alat elektronik seperti televisyen dan telefon," katanya sambil mengenang kembali kemahiran yang dipelajarinya pada waktu itu.
Cikgu-E (kanan) bersama pelanggannya di kedai telefon miliknya.
Mengimbau kenangan lama, Nassry yang juga popular sebagai Cikgu-E berkata, minatnya terhadap bidang perniagaan sudah berputik sejak kecil lagi.
"Seawal usia 12 tahun, saya sudah mulai berniaga. Ketika itu, saya menjual pelekat (sticker)," ujarnya.
Bakat keusahawanannya terus berkembang dari masa ke masa yang seterusnya menjadi asas kepada kejayaan beliau bergelar usahawan sehingga kini.
"Waktu usia 23 saya sudah menjadi pembekal telefon. Saya mula-mula berniaga di rumah dahulu secara kecil-kecilan apabila sudah stabil barulah buka kedai.
"Saya punya strategi apabila berniaga adalah utamakan untuk guna duit simpanan terlebih dahulu dan elak berhutang daripada mana-mana pihak." kata Cikgu-E.
Cikgu-E (kiri) bersama pelanggannya di kedai kamera miliknya.
Sekitar 2003, lelaki berusia 44 tahun itu berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bercham dan Sekolah Kebangsaan Dato' Ahmad Said Tambahan, Ipoh sebelum meneruskan kerjayanya sebagai guru di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yuk Choy sekitar 2010 hingga 2012.
"Sebelum ini, saya ambil Ijazah Sarjana Muda dalam Sukan (Kejurulatihan) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), jadinya saya juga ada kebolehan untuk mengajar," katanya.
Namun, anak jati Sungai Petani, Kedahi itu terpaksa membuat keputusan untuk berhenti mengajar demi menumpukan perhatian sepenuhnya kepada perniagaan miliknya.
"Saya mempunyai minat mendalam dalam bidang pendidikan dan perniagaan.
"Tetapi kekangan masa menjadi cabaran utama. Akhirnya, saya memilih untuk fokus pada perniagaan kerana komitmennya yang tinggi," katanya.
Pada tahun 2011, Nassry membuka kedai Kamera E-poh dengan sambutan yang menggalakkan.
"Walaupun zaman sekarang ramai guna kamera di telefon. Tetapi masih ada ramai orang yang bekerja sebagai jurugambar yang memerlukan kamera.
"Ramai juga yang berminat untuk guna digital single-lens reflex (DSLR). Jadi kedai kamera sangat penting sekarang," katanya.
Cikgu-E menyambung pelajaran dalam peringkat Sarjana di UPSI.
Menaikkan ilmu keusahawanan dalam diri, Nassry juga bertindak melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang Perniagaan di UPSI pada 2014 hingga 2017.
"Saya sambung pengajian master kerana memang minat berniaga. Jadinya, pada 2017, saya buka pula kedai bernama Gajet E-poh," katanya.
Perjalanan sebagai usahawan bukanlah semudah yang disangka, Cikgu-E mengakui pernah terpaksa menutup dua kedainya akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik Covid-19 melanda negara ini.
"Berniaga memang penuh cabaran terutama ketika menghadapi situasi seperti ini (PKP). Waktu Februari 2020 saya cuba buka cawangan kedua gajet iaitu E-poh Gajet dan kedai lain iaitu E-poh Mart (kedai runcit). Tetapi mampu bertahan hingga November 2020 sahaja kerana Covid-19.
"Kini, saya hanya ada satu kedai gajet dan satu kedai kamera,” katanya.
Walau bagaimanapun, Nassry tidak mudah berputus asa dan mengambil langkah proaktif dengan merancakkan jualan melalui platform dalam talian seperti Shopee dan Facebook.
"Sekarang ramailah pelanggan daripada Facebook. Sebab saya agak aktif di Facebook. Kami juga gunakan platform Shopee untuk attract lebih ramai pembeli," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram