Pandu ulang-alik 600km Muar-Kuantan setiap hari, asalkan pelanggan puas hati beli hasil laut segar


  • Bizz
  • Isnin, 10 Feb 2025

Raja Hasbi tidak kisah berulang-alik Muar dan Kuantan membeli hasil laut ibarat peribahasa Melayu alah bisa tegal biasa

DEMI memastikan pelanggan mendapat hasil laut segar pada harga murah, seorang peniaga sanggup berulang alik sejauh kira-kira 600 kilometer (km) atau 287km sehala setiap hari dari Muar, Johor ke Kuantan, Pahang.

Itu merupakan rutin harian Raja Hasbi Raja Othman, 53, sejak dua bulan lalu selepas membuat keputusan membuka tapak niaga di Kampung Parit Keroma, Muar bagi menjual hasil laut.

Antara hasil laut segar yang dijual dan mendapat permintaan tinggi ialah sotong, ketam, udang, ikan pari dan mayo.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Sebelum ini, Raja Hasbi yang menetap di Kuala Terengganu terlebih dahulu menjadi pembekal hasil laut dari negeri tersebut ke beberapa kawasan Semenanjung termasuk di Lembah Klang dan Johor sejak kira-kira empat tahun lalu selepas pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, beliau kemudiannya membuat keputusan menjual sendiri hasil laut diperoleh selepas mendapati rata-rata barangan dibekalkannya itu dijual semula pada harga agak mahal.

"Pada asalnya, saya banyak bekalkan hasil laut seperti ikan ke kedai-kedai makan di sekitar Terengganu.

"Tapi kemudiannya saya buka pasar di Muar selepas melihat ikan yang saya bekalkan dijual pada harga agak mahal. Walhal, saya ditolak pada harga murah," katanya kepada Majoriti.

6138954450648284877 (1)

Raja Hasbi mengambil bekalan hasil laut segar daripada bot nelayan di Kuantan.

Susulan itu, anak kelahiran Muar tersebut memilih kampungnya sebagai tempat untuk membuka tapak menjual hasil laut segar.

Menurut Raja Hasbi, berbeza dengan peniaga lain, hasil jualannya dapat dijual pada harga murah kerana mendapat bekalan terus daripada bot nelayan.

Ujarnya, langkah tersebut membolehkannya mengurangkan kos terpaksa dibayar jika bekalan berkenaan diambil daripada orang tengah atau peraih.

"Kalau di pasar, sotong biasanya peniaga ambil pada harga RM35 dan jual RM45 sekilogram. Jadi untung RM10 sebab ambil kira risiko kalau terpaksa jual sotong pada harga lelong kerana kualiti kurang baik.

"Tapi kalau macam saya yang ambil terus dari bot dapat RM30 sekilogram. Kos perjalanan katalah RM2. Jadi saya jual pada harga antara RM37 atau RM38 dengan untung sekitar RM5.

"Tapi risiko untuk kualiti bekalan tidak cantik pun kurang sebab ambil sendiri," kongsinya.

Menurut Raja Hasbi, bagi mendapatkan bekalan segar, beliau perlu berulang alik dari Muar ke Kuantan setiap hari.

6206252890209764096

Raja Hasbi turut menjual hasil laut udang.

Beliau akan bergerak dari Muar pada pukul 10 malam dan tiba di Kuantan sekitar pukul 1 pagi.

"Kemudian rehat sebentar. Pukul 2.30 pagi mula gerak ambil ikan. Pukul 5 pagi gerak balik ke Muar.

"Saya akan sampai pukul 8 pagi dan terus jual di pasar," katanya yang memandu kenderaan pacuan empat roda ulang-alik Muar dan Kuantan.

Sebelum memulakan perniagaan membekal ikan, Raja Hasbi terlebih dahulu memulakan perniagaan pusat tuisyen bersama isteri, di Kuala Terengganu.

Meskipun lahir di Muar, beliau membuat keputusan menetap di Kuala Terengganu, kampung neneknya selepas menamatkan 10 tahun perkhidmatan dalam tentera.

Menurut Raja Hasbi, beliau berkecimpung dalam perniagaan pembekalan hasil laut selepas mula terdedah dan berhubung dengan peniaga ikan di sekitar negeri tersebut.

Dalam pada itu, bapa kepada tiga anak berkenaan mengakui perjalanan berulang-alik hampir 600km setiap hari itu sememangnya meletihkan.

"Tapi dalam berniaga kita tak boleh cakap penat," ujarnya yang turut pergi ke Terengganu dua kali seminggu untuk mendapatkan bekalan ikan.

Berkongsi lebih lanjut, Raja Hasbi berkata, beliau mengeluarkan modal harian sekitar RM7,000 hingga RM10,000 bagi perniagaannya itu.

6206252890209764097

Ketam merupakan hasil laut segar yang laris terjual di tapak niaga Raja Hasbi di Kampung Parit Keroma, Muar.

Untuk hasil laut seperti udang, ketam dan sotong pula, ia sedikit mahal iaitu kira-kira RM5,000.

"Jadi dari segi pendapatan, kalau modal untuk ikan dalam RM7,000, mungkin untung saya sekitar RM2,000. Kalau modal RM10,000 jadi untung RM3,000 ke RM4,000.

"Kita tidak akan ambil untung sampai separuh daripada modal sebab kita nak jual harga mampu milik," ujarnya yang turut dibantu lima orang pekerja termasuk isteri.

Dalam pada itu, Raja Hasbi juga mengakui gembira terhadap sambutan penduduk di sekitar Kampung Parit Keroma terhadap hasil laut dibawanya.

Meskipun lebih mahal berbanding ikan, hasil seperti sotong dan ketam sememangnya menjadi antara jualan terlaris di tapak perniagaan kerana harga yang agak murah berbanding di tempat lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram