BAGAIKAN berada di alam berbeza seketika apabila dapat menjejakkan kaki di antara air terjun terindah terletak di Lumajang, Jawa Timur, Indonesia.
Ditambah pula dengan deruan dan percikan halus air yang mengalir dari tebing-tebing tinggi yang mirip seperti tirai berketinggian kira-kira 120 meter.
Tidak dapat dinafikan lagi dapat memberi ketenangan dan seolah-olah hilang seribu satu masalah ketika berada di tengah-tengah lingkaran air terjun itu.
BACA LAGI: Pesona Kawah Ijen: Keindahan dan pengorbanan di sebalik asap belerang
Pemandangan dari bawah iaitu di anak sungai Tumpak Sewu.
Apatah lagi, ia kali pertama penulis menjejakan kaki ke tempat yang indah seperti ini, maka benarlah kata penduduk tempatan, 'syurga dunia' itu wujud jauh dari kesibukan ibu kota Jakarta.
Namun, di sebalik keindahan yang memukau itu, terdapatnya individu yang bertungkus-lumus membangunkan dan menjaga kawasan tersebut daripada terus musnah dek pembangunan moden.
Mendengar kisah daripada seorang pemandu pelancong yang juga merupakan individu penting di Tumpak Sewu, ternyata tempat itu tidaklah sama seperti sekarang.
Hanya mahu dikenali sebagai Pak Min, katanya, seluruh kawasan di Tumpak Sewu dibangunkan sendiri oleh penduduk setempat tanpa dibantu oleh kerajaan sekitar sebelum Covid-19 melanda.
Gua Tetes yang terletak di kawasan air terjun Tumpak Sewu.
Menurut Pak Min, semua penduduk sanggup membuat kerja-kerja pembersihan dan penambahbaikan untuk pelancong dan pengunjung dengan menggunakan hasil pendapatan sendiri.
"Mereka juga dari mula memang tak ambil sebarang gaji atau upah. Semua tangga dan pembaharuan di sini kami sediakan sendiri.
"Daripada 44 orang yang bekerja jadi 22 orang sebab tak ada pendapatan langsung.
"Tetapi, Alhamdulillah, bila dah tular dan jadi trend di media sosial sekarang, kami dapat tampung bayar gaji kesemua pekerja," katanya kepada Majoriti.
Batu yang ditambah dengan tangga besi bagi memudahkan pengunjung melaluinya.
Dikelilingi hutan tropika yang subur, Tumpak Sewu juga sebenarnya mempunyai beberapa 'syurga tersembunyi' iaitu Gua Tetes dan Kapas Biru.
Kedua-dua lokasi itu terletak di sekitar kawasan air terjun tersebut yang pastinya memikat hati si pengunjungnya.
Sempat berkongsi serba sedikit tentang maksud di sebalik nama Tumpak Sewu, Pak Min berkata, Tumpak adalah tumpahan manakala sewu bermaksud seribu dalam bahasa Jawa.
"Nama itu juga diambil sempena tangga-tangga batu yang banyak hampir seperti seribu ini," jelasnya.
Bagi mereka yang gemar melakukan aktiviti pendakian sambil menikmati keindahan alam semula jadi, pastinya tidak menyesal ke Tumpak Sewu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram