Mahu orang ramai merasa masakan Barat sebenar, bekas cef hotel pusing Parit Raja jual menu 'western' serendah RM3


  • Bizz
  • Rabu, 27 Nov 2024

Amer (kiri) mula berjualan makanan dengan bergerak menggunakan keretanya sejak awal November lalu.

KENAIKAN kos sara hidup merupakan antara isu utama yang mempengaruhi kehidupan rakyat Malaysia ketika ini.

Dalam membincangkan hal tersebut, antara faktor utama menyumbang kepada perkara tersebut tentunya adalah kenaikan harga makanan.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, harga makanan yang semakin meningkat memberi tekanan yang besar terhadap tahap kewangan mereka.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Pada masa sama, peniaga makanan juga tidak seharusnya dipersalahkan seratus peratus dalam hal tersebut.

Ini kerana mereka turut berdepan dengan bebanan apabila perlu menangani kenaikan kos operasi khususnya dalam perolehan bahan mentah.

Bagaimanapun, di sebalik situasi berkenaan, masih terdapat segelintir peniaga mengambil keputusan menjual makanan pada harga rendah bagi membantu masyarakat yang memerlukan.

WhatsApp Image 2024-11-24 at 10.57.34 (1)

Amer ketika menyediakan hidangan di dapur gerainya.

Di Parit Raja, Batu Pahat, Johor, seorang peniaga makanan membuat keputusan menjual aneka hidangan Barat pada harga serendah RM3.

Amer Yusof Rahman, 34, yang juga bekas cef di rangkaian hotel antarabangsa di dalam negara berjualan makanan dari but kereta miliknya dengan bergerak di sekitar Parit Raja.

Antara menu bajet masakan Barat yang disediakan ialah chicken chop, bebola daging,cheezy wedges, spageti carbonara.

Kesemua hidangan tersebut dijual pada harga RM3.

Berkongsi kepada Majoriti, Amer berkata, dia dan isterinya pada asalnya meniaga makanan di sebuah gerai di bawah Majlis Perbandaran Batu Pahat.

Bagaimanapun, perniagaannya ketika itu kurang mendapat sambutan disebabkan persaingan agak tinggi meskipun sudah menetapkan harga makanan pada harga agak rendah.

WhatsApp Image 2024-11-24 at 10.57.17

Hidang chicken chop yang dijual pada harga RM3.

Susulan daripada itu, menurut Amer, dia dan isterinya, Nurshahera, 36, membuat keputusan menjual masakan Barat pada harga bajet dengan bergerak di sekitar kawasan Parit Raja dan menggunakan gerai tersebut sebagai dapur utama bermula awal November lalu.

"Kami asalnya meniaga di gerai. Tapi bila kedai kurang pelanggan, saya dan isteri berbincang apa yang kita perlu buat untuk nak bagi semua orang dapat makan.

"Sebab di Malaysia ini bukan semua orang senang. Jadi kita ambil keputusan kita buat masakan Barat pada harga bajet.

"Mula-mula buat sikit dalam 20 hingga 30 bungkus sebab nak cuba. Tapi lepas saya kongsi di Facebook, tak sangka makin ramai yang minta," katanya.

Amer berkata, jumlah makanan yang disediakan kini meningkat kepada 300 bungkusan setiap hari.

Menurutnya, meskipun hidangannya dijual pada harga bajet, dia setakat ini masih belum berdepan kerugian bagi menampung kos operasi.

WhatsApp Image 2024-11-24 at 11.03.55

Amer menyediakan sendiri kesemua bahan masakan Barat yang dihidangkan termasuk sos digunakan.

Ujarnya, kesemua jualan makanan yang disediakan juga habis hampir setiap hari dengan ada kalanya ia turut ditempah oleh individu tertentu untuk diinfakkan kepada orang ramai.

"Kalau kita jual murah, ia akan jadi rugi jika pelanggan kurang. Tapi kalau kita berjaya jual banyak, kerugian itu kita tak rasa.

"Jadi Alhamdulillah setakat ini kita belum lagi alami kerugian" ujarnya.

Pada masa sama, dia berkata, pihaknya boleh mengoptimumkan kos operasi kerana kebanyakan daripada bahan digunakan dimasak secara sekali gus.

"Kita juga boleh elak kerugian sebab kita buat dalam kuantiti yang banyak sekali masak.

"Macam sos lada hitam, cili, kuah keju dan sos carbonara, memang kita buat hari-hari sebab benda tu saya tak suka simpan," kongsinya yang turut dibantu isteri dan seorang pekerja.

Menurut Amer, pada waktu ini, perniagaannya mencatatkan keuntungan bersih harian sekitar RM100 hingga RM300.

Meskipun dijual pada harga bajet, Amer yang berpengalaman bekerja sebagai cef di sebuah rangkaian hotel antarabangsa di Melaka selama enam tahun sebelum diberhentikan akibat pandemik Covid-19 berkata, dia sama sekali tidak berkompromi soal kualiti hidangan.

WhatsApp Image 2024-11-25 at 11.49.40

Amer dan isteri turut dibantu oleh seorang pekerja dalam proses penyediaan dan jualan makanan mereka.

Malah katanya, dia juga menyediakan kesemua hidangan tersebut bermula daripada A hingga Z termasuk dalam penyediaan bahan utama seperti sos lada hitam.

"Saya kalau boleh biar orang rasa macam mana nak masakan Barat yang sebenar termasuk dengan sos yang digunakan," katanya.

Dengan permintaan yang tinggi daripada pelanggan, Amer berkata, dia kini turut memperkenalkan satu hidangan baharu iaitu burger daging ayam rangup.

Mengulas mengenai rutin hariannya, Amer berkata, mereka mula memasak di dapur gerai pada pukul 12 tengah hari.

Ujarnya, dia akan bergerak dengan keretanya di beberapa lokasi di sekitar Parit Raja sekitar pukul 5 petang dan memerlukan kira-kira sejam lebih untuk menghabiskan jualan.

"Kadang-bila kami buka siang, ada pelanggan yang tak dapat. Jadi kita akan cuba jual pada waktu malam," ujarnya yang beroperasi setiap hari.

Dalam pada itu, bergerak ke hadapan, Amer berkata, dia dan isterinya merancang membuka restoran masakan Barat di Parit Raja dengan kesemua menunya ditetapkan pada harga RM3. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram