[VIDEO] 'Minum air dulu', Dr Dzulkefly ditenangkan lepas menangis di Parlimen terbayang akses kesihatan rakyat Sabah


  • Primer
  • Selasa, 26 Nov 2024

Dr Dzulkefly beremosi ketika mengimbau pengalaman yang dikongsikan oleh Riduan dan Richard mengenai kekurangan akses kepada perkhidmatan kesihatan bagi penduduk di kawasan mereka.

MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad tidak dapat menahan sebak ketika memulakan sesi Penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 Peringkat Jawatankuasa Bagi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pada Selasa.

Dr Dzulkefly menjadi agak beremosi ketika mengimbau pengalaman yang dikongsikan oleh Riduan Rubin (BEBAS-Tenom) dan Dr Richard Rapu (GPS-Betong) mengenai kekurangan akses kepada perkhidmatan kesihatan bagi penduduk di kawasan mereka.

Emosinya agak terusik mengenangkan kisah seorang penduduk Tenom, Sabah yang memilih tidak membuat rawatan dialisis sehingga akhirnya mengorbankan nyawanya sendiri.

BACA LAGI: GRS gesa lebih ramai petugas kesihatan ke Sabah

BACA LAGI: 'Doa saya dimakbulkan,' bapa Zulfarhan mahu kes anaknya jadi pengajaran untuk pembuli

"Setiap seorang kita mungkin sudah mendengar perbahasan sahabat Ahli Yang Berhormat (YB) lain yang sebentar tadi di penghujung (perbahasan), YB Tenom menceritakan betapa rakyatnya menderita.

"Fasiliti umpama dialisis dan hemodialisis yang bukan saja sukar didapati, tetapi tidak mampu membayar caj RM80 yang dikenakan setiap sesi, malah ada yang perlu bayar dengan RM120.

"Mungkin itu pun mampu dibayar tetapi dengan kos pengangkutan akhirnya (dia) memilih untuk tidak melakukan dialisis berakhir dengan nyawanya dibayar nyawa.

"Kesemua ini mengingatkan saya akan tanggungjawab besar, menteri yang...," katanya dengan suara tersekat-sekat.

Yang Dipertua Datuk Mohd Shahar Abdullah kemudian meminta Dr Dzulkefly untuk berehat sebentar dan minum air supaya bertenang.

"Yang Berhormat Menteri, minumlah dahulu. Sila...ya..," katanya.

Selepas meminum air, Dr Dzulkefly meneruskan sesi penggulungan dengan menyatakan bahawa caj tersebut sebenarnya tidak wajar dikenakan kepada rakyat sekiranya terpaksa dibayar dengan nyawa.

"Saya mahu menjawab soalan YB Tenom walaupun yang terakhir, caj yang kepada rakyat tidak berkemampuan itu tidak wajar dikenakan oleh kerajaan kalau sampai akhirnya dibayar dengan nyawa.

Seramai 21 ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan di peringkat jawatankuasa.

Terdahulu semasa perbahasan, Dr Richard berkata, terdapat kekurangan pusat dialisis di kawasannya, sehingga ada sebuah keluarga terpaksa menempuh perjalanan sejauh 200 kilometer (km) ke pusat dialisis terdekat hanya untuk menjalani rawatan dua kali seminggu.

Beliau menambah bahawa pusat dialisis di Betong sudah penuh.

Riduan pula berkata, dua kampung di bawah kawasannya iaitu Kampung Rayoh dan Kampung Pangi, ada penduduk yang meninggal dunia kerana tidak mendapat rawatan perubatan tepat pada masanya.

"Salah seorangnya adalah terdapat seorang kanak-kanak yang terjatuh ke dalam sungai dan tidak mendapat rawatan perubatan tepat pada waktunya.

"Seorang lagi pula dipatuk ular. Kedua-duanya meninggal dunia kerana tidak sempat mendapatkan rawatan perubatan," katanya.

Beliau kemudian menggesa KKM untuk membuka klinik kesihatan di Kampung Rayoh dan Kampung Pangi.

Dr Dzulkefly turut menyatakan bahawa kedua-dua kampung tersebut hanya boleh diakses melalui perjalanan kereta api. — The Star/HO JIA WEN/KHOO GEK SAN/GERARD GIMINO

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram