IKLAN jawatan kosong petugas kesihatan sekitar Sabah perlu diberi keutaaman kepada penduduk negeri itu, kata seorang pemimpin daripada parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Rizal Johari, yang juga merupakan Timbalan Setiausaha Umum STAR Sabah berkata, dia mengalu-alukan pengumuman Kerajaan Pusat untuk menghantar lebih ramai petugas kesihatan ke negeri itu.
“Kami terbuka dengan cadangan kerajaan untuk menghantar lebih 100 pakar kesihatan dan hampir 1,000 jururawat ke sini sebelum akhir tahun ini.
“Namun, adalah lebih bagus sekiranya jawatan-jawatan kosong itu diisi lebih ramai petugas berasal dari Sabah.
“Sudah tentu, ia adalah berdasarkan kelayakan dan kemampuan mereka, tetapi sekiranya kita mempunyai rakyat Sabah yang layak, keutamaan sepatutnya diberikan kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Jelas Rizal, akses kepada kemudahan kesihatan dan perubatan sangat diperlukan rakyat di negeri itu, terutama di kawasan pedalaman.
“Jururawat dari Sabah kemungkinan besar bertugas di hospital kerajaan dan swasta di negeri-negeri lain.
“Tetapi, sebahagian daripada mereka kemungkinan besar berhasrat untuk bertugas dan berkhidmat kepada masyarakat sendiri,” katanya.
Perkara itu katanya sebagai respons terhadap kenyataan dari Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang mengatakan masyarakat di Sabah dan Sarawak memerlukan kemudahan kesihatan yang lebih baik dan lebih ramai petugas berdasarkan tulisan awal Kertas Putih Kesihatan.
Khairy berkata, dia berharap Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Duchess of Kent di Sandakan serta Hospital Tawau memerlukan sehingga 49 pakar pada hujung tahun ini.
Ahli Parlimen Rembau itu juga mengumumkan cadangan untuk menambah baik kemudahan perubatan di kedua-dua negeri Borneo itu. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram