HAMPIR separuh peminjam dana Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional yang belum membuat sebarang pembayaran semula pinjaman merupakan penerima bantuan kewangan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), kata Kementerian Pengajian Tinggi.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, setakat 31 Ogos, seramai 415,109 peminjam masih belum membuat sebarang pembayaran.
Daripada jumlah itu, 189,580 atau 45.7 peratus daripada mereka merupakan penerima bantuan STR sementara baki 225,529 peminjam tidak menerima bantuan tersebut.
BACA LAGI: Rangka model pembiayaan PTPTN lebih efisien, Dewan Rakyat diberitahu
BACA LAGI: 'Hasrat nak PTPTN mansuh tak tercapai, ada sampai minta kurangkan tunggakan jadi RM150'
Jumlah tersebut diperolehi setakat data yang dimiliki perbadanan tersebut.
"Ketika ini, PTPTN hanya memiliki data pada masa permohonan ketika peminjam kebiasaannya masih belum mempunyai pendapatan," katanya menerusi jawapan bertulis di Parlimen.
Hal itu disampaikan sebagai jawapan kepada Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) yang bertanya jumlah peminjam PTPTN yang bekerja dan menerima gaji melebihi RM3,000, tetapi tidak pernah membuat bayaran semula.
Khairil juga bertanya mengenai jumlah peminjam dari daerah Jerantut.
Zambry menjawab, berdasarkan data diperolehi, 1,710 peminjam dari daerah tersebut masih belum membuat sebarang pembayaran yang menyaksikan tunggakan mencecah RM38.17 juta. — The Star/ARFA YUNUS, TEH ATHIRA YUSOF dan HO JIA WEN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram