Kuarters guru tak berpenghuni boleh didiami agensi kerajaan lain — Fadhlina Sidek


  • Primer
  • Khamis, 21 Nov 2024

Kemudahan disediakan buat guru sebagai agensi kerajaan sepatutnya dimanfaatkan secara optimum.

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) menawarkan kuarters guru tidak berpenghuni untuk didiami agensi kerajaan lain bagi memanfaatkan semula kemudahan berkenaan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ia langkah dilakukan pihaknya terhadap kuarters rumah guru bertingkat Sekolah Kebangsaan (SK) Utan Aji di Kangar, Perlis yang tidak berpenghuni.

Jelas beliau, walaupun tawaran sudah dilakukan, pihaknya belum menerima sebarang permohonan setakat ini.

BACA LAGI: KPM guna sistem peperiksaan berbeza, tiada rancangan perkenal semula UPSR, PT3 — Fadhlina

BACA LAGI: Langkah KPM bendung mpox dibuat berdasarkan nasihat KKM — Fadhlina Sidek

WhatsApp Image 2024-11-21 at 11.50.31 AM

Jawapan Fadhlina itu diberikan kepada persoalan Zakri Hassan mengenai status kuarters kosong di SK Utan Aji.

“Kuarters rumah guru bertingkat di SK Utan Aji terdiri daripada dua blok yang mengandungi 16 unit tidak berpenghuni kerana tiada permintaan untuk diduduki oleh warga KPM.

"Walaupun keadaan kuarters tersedia adalah baik dan berada di lokasi yang strategik, namun disebabkan oleh sewaan harga rumah bertanah di persekitaran kuarters guru di SK Utan Aji adalah lebih rendah berbanding kadar potongan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) dan elaun Bantuan Sara Hidup (BSH) jika menduduki kuarters, maka warga KPM lebih memilih untuk menyewa di luar.

"Sehubungan itu, bagi mengoptimumkan penggunaan kuarters kosong yang tidak berpenghuni ini, KPM membuka tawaran kepada agensi kerajaan lain yang berminat untuk menduduki kuarters terbabit namun sehingga kini masih belum menerima sebarang permohonan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen pada Rabu.

Penjelasan itu sebagai menjawab pertanyaan dikemukakan Zakri Hassan (PN-Kangar) yang mahu KPM menyatakan status kuarters guru di SK Utan Aji kerana didapati kuarters berkenaan tidak digunakan sepenuhnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram